Agama Bukan Isu Peribadi
Mutakhir ini masyarakat kita mengalami kegawatan yang agak mencemaskan tentang perkauman, agama dan taksub politik. Ulamak kita turut terbabit dengan kekecohan isu agama kerana terdapat segelintir diantara mereka yang memandang isu agama sebagai isu politik kepartian, atau politik kumpulan mereka.
Kalau di dalam Parlimen atau Dewan Undangan Negeri, terdapat komponan parti pemerintah dan komponan parti pembangkang, maka kadang kala terdapat isu agama yang juga dibicarakan atas nama dua pihak yang bertentangan ini. Satu pihak mengatakan persoalan agama yang tertentu itu sebagai putih, maka pihak yang lain mengatakan hitam terhadap isu yang sama.
Bagaimana pun saya tidaklah berniat untuk membicarakan isu ini di dalam tulisan saya yang sependek ini, dan saya bercadang akan mengolah perkara ini di dalam tulisan saya yang lain, yang akan menggambarkan kepelbagaian wajah para ulamak kita dalam masyarakat kita sekarang ini, kerana saya merasakan bahawa ulamak Islam pada hari ini telah lahir di dalam berbagai-bagai wajah dan rupa.
Hal ini tentulah menjadi lebeh kritikal dan kompleks lagi apabila terdapat orang-orang yang melantik dirinya sebagai mufti untuk memberikan begitu banyak fatwa tentang agama, atau para pejuang dan intelek yang merasakan dirinya cukup releven untuk membicarakan isu-isu agama tanpa had dan sempadannya. Hal ini juga akan saya cuba memberikan komen dalam tulisan saya yang lain.
Melaui tulisan ini saya hanya ingin memfokuskan kepada persoalan agama yang sering dikaitkan oleh pihak-pihak tertentu dengan ideologi sempit beragama yang diwarisi dari kefahaman sekular tentang agama yang metafsirkan bahawa agama itu adalah soal peribadi diantara seorang makhluk dengan Tuhannya. Oleh kerana agama merupakan hal peribadi, maka peribadi itu berhak menyempit atau meluaskannya, mentafsir dan mengamalkannya mengikut kefahaman dan analisisnya tersendiri tentang agama itu, dan baginya Tuhan itu adalah bersifat pengasih dan penyayang, maka Tuhan akan menerima apa sahaja yang dikerjakannya.
Bagi saya sebagai seoran Islam, pentafsiran tentang agama bukanlah menurut pentafsiran sekularisme itu. Perbicaraan tentang agama bukanlah boleh dibuat secara sewenang-wenangnya seperti membicarakan persoalan lain yang lebeh berbentuk peribadi. Oleh itu apabila kita menegakkan gagasan kebebasan beragama, maka kita seharusnya memahami dengan sedalam-dalamnya tentang kebebasan beragama ini, dan kita juga seharusnya faham apakah persoalan lain yang termasuk di dalam konsep kebebasan beragama ini.
Seorang Profesor dari sebuah institusi pengajian tinggi tempatan pernah mengulas bahawa "Dalam kuliah-kuliah saya di merata tempat, saya kerap menegaskan bahawa kebebasan beragama bukan sahaja bermakna kebebasan untuk keluar dari agama seperti yang sering dilaung-laungkan oleh para pejuang hak asasi manusia yang sering juga membidas dasar agama Islam yang terlalu keras dan tegas tentang isu pertukaran agama ini. Isu meninggalkan satu pegangan agama untuk memeluk agama lain adalah merupakan salah satu makna kecil sahaja dari prinsip ini Makna teras dari prinsip kebebasan beragama ialah kebebasan untuk mengamalkan sesuatu agama yang ditafsir oleh mereka yang dianggap berwibawa dalam agama tersebut dalam sesuatu masyarakat seperti yang telah diamalkan sepanjang sejarah perkembangan Islam di seluruh dunia ini, termasuk di Malaysia"
Pandangan ini amat saya setujui kerana agama adalah merupakan satu pegangan hidup yang seharusnya membimbing seseorang itu sepanjang hayatnya. Agama bukanlah merupakan seperti baju dan seluar yang sekian kali dapat ditukar ganti di dalam sehari semalam, atau merupakan sebuah kenderaan yang juga boleh dijual kembali dengan mengambil kenderaan yang lebeh baru dan lebeh bergaya. Sikap beginilah yang tidak seharusnya wujud bagi seorang manusia berwibawa yang telah meyakini akan pegangan agamanya.
Atas dasar inilah, agama itu seharusnya dipelajari dengan penuh ilmu dan hikmah, kerana Nabi-Nabi yang diutuskan Allah SWT juga telah diajar akan kitab, iaitu ilmu pengetahuan wahyu Allah, dan hikmah, iaitu kebijaksanaan memahami sesuatu isu dan persoalan hidup beragama itu melalui akal fikiran dan pengalaman serta ilmu ciptaan minda manusia yang tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip ilmu wahyu. Kitab dan hikmah inilah yang membawa manusia menjadi makhluk bertamadun dan berperadaban. Maka agama yang dipelajari dengan ilmu akan mampu menusuk ke dalam hati sanubari dan jiwa raga seorang penganut agama itu, dan agama yang berasaskan minda serta fikiran manusia yang berpandukan nilai moral kerohanian wahyu Allah akan mampu melahirkan manusia yang sempurna pembangunan fizikal dan kerohaniannya. Luaran dan dalamannya. Sebab itulah, agama haruslah dipelajari dari para guru yang berwibawa, iaitu yang mampu mentafsirkan agama berdasarkan kepelbagaian ilmu di dalam agama tersebut.
Agama bukanlah sesuatu yang dipelajari dari tepi-tepi jalan melalui orang-orang yang jahil, seperti membeli ubat-ubat dari para penjajanya yang berkeliaran di merata-merata tempat, sedangkan ubat-ubat itu tidak diketahui mutu dan kualitinya. Agama bukanlah sesuatu yang dipelajari secara mudah melalui dakyah dan petua-petua murahan di pentas-pentas pilihanraya umum atau pilihan raya kecil ketika para pejuang partisan berkempen untuk mendapatkan undi mudah melalui peralatan agama.
Agama juga bukanlah sesuatu yang seharusnya dipelajari dari ulamak yang mempunyai kepelbagaian wajah, dan wajah ini pula sering berubah-ubah mengikut tempat dan di mana ulamak itu berdiri, atau di pihak mana ulamak itu berjuang sama ada di dalam mencari wang, kuasa, glamor, pangkat dan segala keuntungan dunia tanpa kesedaran dan amanah kepada Allah SWT.
Agama juga bukanlah dapat dipelajari dari para pejuang kesamarataan gender yang diselubungi dengan sentimen melulu dan semangat persamaan yang dia sendiri tidak meyakininya, atau dari kumpulan para pejuang kebebasan mutlak wanita yang sering memperjuangkan keagongan wanita, yang kumpulan itu sendiri tidak tahu bagaimanakah merealisasikannya di dalam dunia yang serba konflik ini.
Agama haruslah dipelajarri menerusi kaedah asalnya yang menguatkan akidah dan syariah. Agama sendiri, khususnya agama Islam, mempunyai sistem dan struktur yang amat sukar difahami oleh orang lain, malah oleh penganut-penganut agama itu sendiri sekiranya mereka mempelajari agama itu tanpa melalui epestemologinya yang sebenar. Malah satu asas penting yang seharusnya ditekankan dalam konteks ini bahawa akidah dan syariah Islam tidak harus dilihat dari kaca mata orang lain, malah dari kacamata orang Islam sendiri yang tidak terlatih dalam bidang berkenaan, dan yang tidak diiktiraf sebagai ahlinya oleh masyarakat Islam.
Namun begitu pintu perbincangan umum tetaplah terbuka dengan seluas-luasnya untuk memberikan pentafsiran di luar bidang akidah dan syariah yang menjadi dasar dan prinsip asasi bagi agama tersebut, iaitu yang membicarakan persoalan umum di dalam berbagai-bagai bidang kehidupan manusia di dalam dunia yang terus menerus membangun dan beredar menurut perkembangan akal fikiran dan minda manusia, serta ilmunya yang berubah-ubah.
Islam sendiri sentiasa membuka pintu ijtihadnya, tetapi pintu ijtihad bukanlah terbuka untuk sesiapa sahaja yang merasakan dirinya mampu berijtihad. Berijtihad di dalam agama, terutamanya mengenai akidah dan syariahnya, bukanlah seperti tindakan tukang ramal dan ahli nujum yang sering mendakwa dirinya sebagai orang yang mempu membaca nasib dan masa hadapan orang lain. Berijtihad di dalam agama mempunyai syarat-syarat dan rukunnya yang ketat bertujuan supaya agama tidak akan menjadi satu komoditi yang boleh dijual beli menurut kemahuan individu yang tertentu.
Dalam mengamalkan agama, kebebasan mutlak dalam berhujah atau bersuara, malah dalam melaksanakan hukuman syariah dan prinsipnya bukanlah merupakan satu kebebasan mutlak mengikut pentafsiran individu yang jahil tentang agama itu. Seorang individu atau kumpulan yang tertentu juga tidak mempunyai hak mutlak untuk mempertikaikan urusan akidah agama lain, juga amal ibadat dan ajaran serta keyakinan yang terdapat pada penganut sesuatu agama itu, kerana akidah dan amalan penganut sesuatu agama itu adalah merupakan teras dan keyakinan mereka kepada agamanya, walau pun perkara itu salah pada pandangan agama lain, seperti yang dapat kita berikan contoh-contoh yang banyak tentang perbezaan amalan pelbagai agama yang terdapat di negara kita ini.
Dalam konteks ini benarlah pandangan yang mengatakan bahawa sekiranya diberikan kebebasan mutlak kepada segolongan penganut sesuatu agama untuk mempersoalkan akidah dan amalan penganut agama yang lain, maka hal ini seolah-olah seperti memberikan lesen yang murah kepada mereka untuk membuka gelangang pergaduhan dan perkelahian yang boleh membawa kepada huru hara dan mungkin juga pertumpahan darah sesama sendiri.
Tradisi ini tetap menjadi pegangan majoriti rakyat Malaysia, dan tradisi ini haruslah dipertahankan dengan penuh kejujuran dan keikhlasan. Kita seharusnya mencari titik pertemuan dan persamaan, bukan mencari titik perbezaan dan perselisihan. Perbincangan mengenai agama seperti yang saya tegaskan diatas bukanlah seperti kita membicarakan tajuk rukun tetangga atau dewan orang ramai, siapakah yang seharusnya mengambil giliran meronda, atau siapakah yang seharusnya menggunakan dewan orang ramai tersebut. Tetapi perbincangan mengenai agama adalah perbincangan pegangan hidup yang amat sensitif dan sering terdedah kepada percikan api yang mampu menjadi marak dengan besar sekiranya tidak ditangani dengan baik.
Dari satu segi saya bersetuju dengan pendapat yang mengatakan bahawa "Orang-orang yang membincangkan hal-hal agama di Malaysia adalah amat terikat dengan majikannya, partinya, ketuanya, penyokongnya, medianya, jirannya, saudara maranya dan sebagainya" Hal inilah yang cuba diatasi oleh pihak berkuasa agama Islam di negara kita, iaitu cuba membenteraskan perbicaraan agama yang berasaskan parti politik dan penyokongnya, mazhab yang menanamkan rasa fanatik dan taksub melulu, agama yang bercampur aduk dengan sentimen perkauman dan kelompok, dan sebagainya. Dalam konteks Islam, mimbar masjid adalah dilarang untuk digunakan oleh pihak-pihak yang tertentu untuk memperomosikan agama ala parti politik atau aliran kefahaman yang berasaskan taksub melulu atas nama islah atau pembaharuan ciptaannya sendiri.
Kerana itu, perbincangan tentang agama tidaklah seharusnya diwarnai dengan rasa taksub dan fanatik melulu. Namun keterbukaan dalam perbincangan tersebut juga haruslah dihadkan oleh sempadan-sempadannya yang tertentu. Kita melihat banyak contoh di dalan negara-negara yang tertentu yang memanifestasikan ketaksuban ini sehingga rumah-rumah ibadat menjadi sasaran kemusnahan dan pencabulan, penganut agama lain yang dianggap musuh dibunuh dan harta benda mereka dimusnahkan, serta berbagai-bagai kekacauan yang berlaku yang akhirnya melibatkan keruntuhan nilai moral, kehancuran pembangunan ekonomi dan kecelaruan peraturan sosial dan pendidikan.
Yang lebeh menyedihkan, terdapat di sesetengah negara yang mengamalkan dasar demokrasi di dalam pemerintahannya, maka rakyat yang taksub ini sering juga memilih parti politik yang taksub untuk menjadi pemerintah, golongan pelampau ini mendapat sokongan majoriti rakyat yang mengundi mereka dan memberikan kuasa kepada mereka untuk membentuk kerajaan sehingga parti yang radikal, yang mengamalkan dasar diskriminasi agama atau perkauman ini berjaya memegang tampuk pemerintahan. Akibatnya rakyat sendiri yang menjadi korban kezaliman dan ketidak adilan, kerana pada masa itu rakyat yang taksub ini akan diberi perlindungan. Mereka bebas menindas dan melakukan kekejaman kepada musuh agama mereka, kerana pemerintah berada di belakang mereka.
Tetapi hal ini masih belum berlaku di negara kita secara jelas, kerana majoriti rakyat Malaysia masih menolak fahaman dan tindakan pelampau dan golongan fanatik, sama ada pelampau perkauman atau keagamaan. Rakyat majoriti masih menolak aliran sempit ini, dengan itu kita tidak terancam dengan pergaduhan agama dan kaum, dan sebaliknya kita dapat menumpukan perhatian kita kepada pembangnunan ekonomi, teknologi, pendidikan, dan sosial untuk semua.
Bagaimana pun hal ini tidaklah seharusnya membuatkan kita merasa selesa dan leka selama-lamanya, kerana mutakhir ini, aliran pemikiran dan tindakan sesetengah golongan mulai menunjukkan rasa taksub agama secara melulu ini di dalam masyarakat kita, dan aliran ini telah mulai dihubungkan dengan perkauman, budaya dan cara hidup yang tidak bertamadun, yang selama ini tidak pernah wujud di dalam masyarakat kita secara berleluasa. Bibit-bibit taksub kaum dan agama kelihatan mulai ditanam di sana sini tanpa sebarang had dan kawalan, dan amat dibimbangkan bahawa biji-biji benih tanaman perosak ini kelak akan tumbuh dan membiak di tanah air kita yang bakal meruntuhkan kemajuan tinggi yang telah kita bangunkan di negara kita selama ini.
Negara-negara yang mengalami kekacauan kaum atau agama sering terbantut pembangunannya. Anak-anak keciciran dalam pelajaran, malah terdapat ramai anak-anak yang tidak dapat bersekolah, sama ada kerana kemiskinan atau kerana didiskriminasikan oleh golongan yang tertentu. Rakyat akan mengalami kebuluran, terutamanya yang ditindas secara rasmi atau tidak rasmi, penyakit akan merebak dengan hebatnya kerana ketiadaan kemudahan kesihatan yang mencukupi. Yang menjadi agenda golongan fanatik itu ialah berjuang dan berkerisis kerana agama dan kaum. Agenda keutamaan mereka amat menyeleweng daripada rukun-rukun hidup bertamadun di dalam masyarakat manusia yang maju dan berperadaban.
Pendeknya dalam negara demokrasi pun, ada kalanya demokrasi dapat dipergunakan oleh golongan yang tertentu untuk kepentingan golongannya sendiri pula, seolah-olah demokrasi menjadi tiket untuk menegakkan sikap dan pendirian radikal mereka melalui pemerentah yang radikal.
Bagaimana pun oleh kerana agama bukanlah merupakan soal peribadi yang boleh ditawar menawar, maka para penganut agama yang berbeza-beza haruslah mempunyai rasa hormat kepada agama orang lain. Malah kalau urusan peribadi pun, kita masih dapat menghormati peribadi orang lain, maka apatah lagi isu agama, tentulah kita seharusnya lebeh menghormati agama penganut yang lain. Hal ini rata-rata berlaku di dalam masyarakat kita sejak zaman berzaman. Cuma segelintir manusia saja yang saya rasa mempunyai perasaan permusuhan dan ingin berkonfrantasi dengan orang lain atas nama agama. Hal ini adalah satu kebiasaan di dalam mana-mana masyarakat manusia. Dengan pendidikan yang baik dan pembangunan insan serta negara yang teratur untuk menjadi negara maju dalam taknologi, ekonomi, moral dan akhlaknya, diharapkan kita akan dapat mengurangkan manusia yang bersikap demikian, dan kita akan terus menerus mempertahankan kerukunan hidup kita sehingga selama-lamanya sesuai dengan falsafah negara kita tentang konsep dan gagasan Satu Malaysia.
Comments
Post a Comment