KETIKA PARA PEJUANG PALESTIN BERKERISIS :
SIAPAKAH YANG UNTUNG ?
Umat Arab dan Islam boleh diperkotak katikkan kerana umat Islam sendiri yang tidak mempunyai kepimpinan dan Kerajaan yang berani dan bebas. Gaza dan rakyat Palestin dibunuh dan diseksa tanpa mengenal jentina dan peringkat umur, tidak ada perbezaan diantara orang awam atau tentera, pada umumnya ialah kerana keseluruhan negara Islam, tidak bernai bersuara, apa tah lagi membantu perjuangan rakyat Palestin dalam semua bidang perjuangan mereka dari segi politik, ekonomi, sosial dan sebagainya. Negara Islam itu tidak berani berdetik kerana mereka haruslah menghormati kuasa besar dunia yang menjaga keselamatan dan periuk nasi mereka selama ini.
Ketika Hizbullah bertindak nekad menawan dua orang askar Israel disempadan Lubnan dan membunuh beberapa orang lagi dalam tahun 2006, dan sebagai balasannya, Israel telah bertindak ageresif mengebom Lubnan dan membunuh ribuan rakyatnya, Liga Arab tidak dapat membuat sebarang keputusan tegas untuk memberhentikan serangan itu, kerana ramai diantara anggotanya yang berkata bahawa Hizbullah yang memulakan tindakan, dan negara Arab tidak di beritahu, maka Liga Arab tidak perlu mengambil apa-apa keputusan, malahan biarlah PBB yang mengambil tindakan.
Memanglah Hizbullah yang bertindak di sempadan Lubnan dengan Israel itu, tetapi mereka berbuat begitu semata-mata untuk mencuba memaksa Israel membebaskan ribuan tahanan mereka yang sedang merengkok di dalam penjara Israel, termasuk kanak-kanak bawah umur dan wanita yang telah dipenjarakan sekian lama di dalam penjara Israel. Mereka bertindak sendiri kerana tindakan tegas dalam bidang diplomatik dan politik yang diharapkan akan dilakukan oleh negara Arab sendiri, tidak pernah menjelma menjadi kenyataan.
Atas dasar inilah Hizbullah mengambil tindakan, dan ternyata bahawa mereka dapat juga mengkucar kacirkan kekuatan tentera Israel untuk beberapa waktu, dan mengaibkan kerajaan Israel sehingga menimbulkan beberapa kerisis politik dikalangan tentera dan ahli politik Israel.
Kini Hamas yang dipilih oleh rakyat Palestin untuk memegang tampuk pemerentahan menghadapi nasib yang sama dan akan mengalami keadaan yang sama, iaitu hancur lebur segenap pelusuk negara mereka, malahan semua peringkat rakyat, kanak-kanak dan wanita serta orang tua, akan bermandi darah yang amat banyak sekali, akhirnya Hamas juga yang akan dipersalahkan.
Hamas, semenjak mendapat mandat rakyat untuk menubuhkan kerajaan, telah menghadapi keributan dalaman yang amat hebat ketika berkerisis dengan Fatah, disamping tekanan luaran yang lebeh hebat dari segenap pelosok dunia yang memusuhi mereka. Raja Abdullah, pelindung dua tanah suci, pernah membawa kedua-dua pihak yang bertegah ini mengadap baginda di Istana yang berdepan dengan Kaabah, untuk berjanji bagi menyelesaikan pertikaian mereka dan berjuang sebagai satu saf menentang musuh bersama. Tetapi janji depan Allah dan Kaabah dengan disaksikan oleh Raja Abdullah, akhirnya berkecai, lalu terjadi kembali pertelagahan bersenjata diantara Hamas dan Fatah, dan berlaku pecat memecat, sehingga Presiden Abbas telah bertindak melantik Perdana Menteri Palestin yang baru, dan berakhir dengan kehadiran dua orang Perdana Menteri yang menguasai negara Palestin, iaitu di Gaza dan Tebing Barat.
Dalam politik, adalah menjadi perkara biasa bahawa Hamas dan Fatah mempunyai kaedah dan pendekatan perjuangan masing-masing dalam mencapai matlamat memerdekakan negara mereka. Tetapi apabila kedua belah pihak bertindak secara bersendirian dalam menangani situasi yang amat rapuh ini, tambahan pula dalam menghadapi musuh bersama yang amat bijak dan berkuasa tinggi, maka kedua pihak ini sepatutnya tidaklah bertindak melulu sehingga berbunuhan sesama sendiri pula. Inilah jalan kompromi yang telah dilakukan percubaannya oleh Raja Abdullah. Tetapi amat menyedihkan, penyelesaian yang seharusnya dicapai dengan hikmah dan bermaruah itu, tiba-tiba menjadi isu partisan yang melampau, sehingga muncung senapang dan pistol telah digunakan untuk menembak rakan sendiri.
Israel tahu bahawa kerajaan Palestin amat berpecah belah, dan mereka pun mengetahui bahawa kerajaan itu ibarat retak yang sedang menanti belah, maka mereka pun mengambil kesempatan mencari jalan melaga-lagakan sesama rakyat Palestin. Lalu berlakulah pertelagahan yang serius antara para pengikut politik yang berbeza itu.
Sementara itu Kerajaan Israel menyedari bahawa kerajaan mereka adalah amat kebal, "untouchable" mengikut istilah mereka sendiri, dan disokong kuat pula oleh penumpah darah utama dunia yang telah bertindak kejam di Iraq dan Afghanistan, yang mengorbankan jutaan manusia yang tidak berdosa atas alasan memerangi keganasan, dan meelindungi keselamatan dunia.
Israel sebelum ini , iaitu semenjak Hamas dipilih memerentah, telah bertindak memindahakan rakyatnya dari Gaza dengan penuh derama dan meloderama, dengan teriak tangis penduduk Israel yang telah sekian lama menghuni Gaza, dan dengan kekerasan pula mereka dipindahkan. Lakonan ini dilakukan oleh Israel dengan mempunyai motif yang amat jahat dan licin, iaitu untuk menjadikan Gaza sebagai penjara umat Palestin yang besar dikelilingi wilayah musuh, iaitu bumi Israel, dan laut, yang tidak mungkin ditembusi oleh umat Palestin, malah sempadan dengan Mesir pun akan sentiasa dikawal agar tidak dibuka bagi orang Palestin memasuki negara Mesir.
Maka sekarang penjara itulah yang telah digempur hebat sehingga penduduk Gaza terkapai-kapai tidak bermaya, kerana Palestin tidak dibenarkan oleh undang-undang antarabangsa untuk memiliki senjata berat, sedangkan Israel sebagai sebuah negara berdaulat boleh melengkapkan diri dengan segala jenis senjata, termasuk senjata nuklear.
Umat Palestin hanya dapat bersenjatakan batu untuk digunakan bagi membaling tentera Israel, dan api untuk membakar bendera Israel dan Amerika Syarikat, mereka boleh berteriak dan berdemonstrasi dengan penuh api kemarahan dan kutukan kepada para pembunuh dan konco-konconya yang amat kejam, tetapi mereka terpenjara dan tercekik di dalam negeri sendiri, sedangkan orang lain, termasuk saudara-saudara sesama rakyat Palestin, dan saudara sebangsa dan seagama, hanya berdakap tangan berpeluk tubuh melihat lakonan yang penuh tragedi ini.
Israel sering menjustifikasikan tindakan mereka menyerang Gaza secara besar-besaran dengan tujuan untuk memberhentikan serangan roket yang dilepaskan oleh Hamas ke wilayah mereka. Namun jika dibuat perkiraan, roket Hamas hanya menggegarkan beberapa buah rumah yang jauh dari Tel Aviv, dan memeranjatkan beberapa orang rakyat di kawasan Israel, bukan membunuh sekian banyak manusia yang tidak berdosa, termasuk kanak-kanak dan orang awam seperti yang dilakukan oleh tentera Israel.
Kesah sedih ini meninggalkan kesan yang penuh trauma kedalam jiwa orang Islam dan manusia yang waras fikirannya, tetapi rakyat dan orang biasa tidak dapat berbuat apa-apa, selagi negara Islam masih diterajui oleh pemerentah boneka yang berkiblatkan kepada "uncle sam" dan budaya "cowboy" yang dipaksakan keatas mereka kerana sebab-sebab yang hanya diketahui oleh pemerentah negara Islam itu sendiri.
Negara-negara Islam seperti negara kita yang agak bebas dan lantang bersuara, hanya dipandang sebagai melukut di tepi gantang, wujudnya pun tidak dapat menambah beras yang telah sedia ada, dan tanpa wujudnya pun tidak mengurangkan beras di dalam gantang yang telah sedia disukat itu.
Sekarang kita hanya dapat menunggu apakah hasilnya perundingan yang sedang dijalankan untuk mewujudkan perdamaian antara Palestin dan Israael, dan perjanjian dalaman untuk perdamaian diantara Hamas dan Fatah.
Comments
Post a Comment