CONTOH NEGATIF POLITIK SEMPIT

Saya bersimpati kepada kedua2 belah pihak, Rektor UIA dan Prof Aziz Bari atas kekecohan yang berlaku begitu besar dan kelihatan amat serius. Tanpa sebarang campur tangan politik kepartian, isu ini mungkin tidak kelihatan begitu besar. Simpati saya lebeh besar kepada Rektor UIA, kerana beliau nampaknya berada dalam posisi pertahanan, setelah di kecam dan di hukum dari segala penjuru.

Saya percaya bahawa Rektor UIA bertindak adalah berdasarkan peruntukan undang2, dan beliau mungkin telah bertindak adalah juga kerana banyak pihak, terutamanya media yang membangkitkan kenyataan Prof Aziz itu sebagai satu kenyataan yang perlu di pandang serius oleh Universsiti. Hal ini menjadi satu tekanan yang hebat kepada Universiti, terutamanya dalam kes yang melibatkan Sultan dan Islam.

Prof Aziz juga telah mengeluarkan kenyataannya yang agak samar2, iaitu kalau tak salah fahaman saya, beliau mengatakan bahawa Sultan Selangor boleh bertindak begitu dalam kes Jais dan DUMC, tetapi tindakan Baginda itu adalah tidak selari dengan amalan Islam (Saya perlu dibetulkan sekiranya kenyataan saya ini tidak tepat.) Tambahan pula Prof Aziz mengeluarkan kenyataan ini melalui satu portal yang sememangnya cenderung kepada pembangkang.

Apabila ahli2 politik mempolitikkan isu ini untuk mencari keuntungan masing2, maka media yang terkenal dengan sokongan mereka, sama ada kepada pemerintah atau kepada pembangkang, terus meneruslah memainkan peranan masing2 sehingga mempengaruhi banyak pihak dan menjadikan konflik ini amat besar dengan tersibar beritanya yang telah diputar belitkan oleh banyak pihak, melalui media cetak, atau portal yang berat sebelah.

Permainan media banyak menggambarkan persepsi yang salah atau samar2 tentang kes ini, seolah2 dalam kampus akademik, maka para ahli akademik, bebas sepenuh2nya untuk mengeluarkan sebarang kenyataan kepada umum, dan membuat kenyataan akhbar menurut apa2 saja yang hendak mereka perkatakan, dan tindakan ahli2 akademik kelihatan seolah2nya tidak mungkin ditegur atau dibawa berbincang atau diadili oleh Universiti.

Ekoran dari keadaan dan persepsi inilah, maka banyak pihak yang mengaturkan demonstrasi, termasuk para pelajar UIA sendiri, dengan disertai oleh MP pembangkang yang memasuki kampus dan bertindak dengan amat bebas sekali menyokong para pelajar yang memperotes tindakan UIA itu.

Hal ini ditambah dengan curahan minyak ke atas bara api, apabila banyak pemimpin parti politik yang terus menerus membesar2kan hal ini, sehingga timbul usul untuk dibincangkan kes ini di dalam Parlimen Malaysia !

Saya fikir sekiranya isu ini tidak dilihat dari kaca mata politik partisan dan kepartian yang sempit, maka ianya akan berakhir dengan cepat tanpa menimbulkan banyak kekecohan dan konflik pemikiran yang mengelirukan masyarakat umum tentang erti kebebasan dan tata susila, serta etika dan adab yang menjadi budaya bangsa kita.

Ahli politik, akademik, pendidik, peniaga, pengusaha, pentadbir dan lain2 sebenarnya tidak sentiasa hanya bertindak atas dasar perundangan dan peraturan, kerana disamping dasar itu, kita mempunyai komitment moral dan akhlak, nilai2 etika dan budaya yang menjadi pegangan kita turun temurun, yang menghasilkan keharmonian dan keamanan masyarakat kita selama ini. Dan hal inilah juga yang sebenarnya yang menjadi falsafah pendidikan kita dalam institusi pengajian semua peringkat untuk mendidik anak2 kita supaya menjadi orang2 yang berilmu dan berakhlak.

Bagaimana pun, oleh kerana isu ini, saya percaya, akan berakhir dengan segera, maka saya berharap pihak UIA dan Prof Aziz Bari telah benyak mendapat faedah dan pelajaran dari peristiwa dan insiden ini, iaitu sekiranya masing2 mahu merujuk dan surut kembali kepada adab dan etika kita sebagai orang Islam dan orang Timur.

Namun, kes ini bagaimana pun, amat mendukacitakan, iaitu merupakan satu lagi kes yang terlalu dipolitikkan oleh ahli2 politik, dan merupakan satu lagi insiden di dalam insiden2 sebelum ini yang menjadi heboh dan kecoh kerana hasutan dan pembicaraan yang hanya dilihat dari sudut politik kepartian. Hal inilah yang berlaku ketika pihak JAIS bertindak memeriksa DUMC tempoh hari, sehingga telah timbul banyak komen di dalam portal dan blog yang amat berbau perkauman dan keagamaan tanpa beerselindung dan beretika lagi.

Kita tidak dapat menelah apakah isu dan kes seterusnya yang akan timbul di dalam masyarakat kita esok atau lusa, minggu depan atau bulan depan, yang telah sedia akan dipolitikkan secara sempit oleh media dan ahli2 politik serta orang awam yang terpengaruh dengan keadaan politik negara kita.

Kita tidak mahu masyarakat kita menjadi masyarakat hitam puteh seperti yang disebut oleh Presiden Bush ketika memberi amaran kepada penduduk dunia sejagat selepas peristiwa 11 September, iaitu dengan kenyataannya yang kira2 bermaksud begini "Sama ada tuan2 bersama dengan kami (Amerika Syarikat) atau bersama2 pengganas (iaitu orang Islam)" seolah2 di dunia ini pada masa itu sesiapa yang bersama dengan Amerika Syarikat maka mereka sajalah merupakan orang2 yang cintakan perdamaian, dan sesiapa yang tidak bersama2 dengan Amerika Syarikat, maka mereka adalah golongan pengganas.

Masyarakat yang mempunyai aliran dua ekstremis ini tidak akan aman damai, dan rakyatnya tidak akan dapat hidup dalam harmoni dan mesra, kerana kita mahukan masyarakat yang pertengahan dan berwibawa dengan nilai2 ilmu, akhlak dan cintakan perdamaian, bukan masyarakat yang sering mencari permusuhan dan perbezaan, dengan menolak persaudaraan dan persamaan.



Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....