HIMPUNAN SEJUTA UMAT
Himpunan sejuta umat yang dicadang akan diadakan pada 22 Oktober ini membawa mesej yang berbeza-beza pada pandangan saya. Mesej pertama tentunya untuk menyedarkan orang Islam tentang cabran yang perlu mereka atasi, iaitu gerakan merosakkan akidah mereka dari golongan lain yang ingin memurtadkan mereka.
Kedua untuk mengingatkan masyarakat berbilang agama di Malaysia, supaya masing2 mempunyai rasa ikhlas dan jujur dalam negara ini, tanpa mencuba untuk merosakkan akidah dan pegangan para penganut agama lain, di luar lengkungan penganut agama mereka sendiri, iaitu secara khususnya untuk mengingatkan segelintir pihak pendiayah agama Kristian yang mungkin mencuba untuk mengkeristiankan orang Islam dengan berbagai2 cara tertentu. Agama kadang2 menjadi barangan komoditi yang ditawarkan kepada orang lain dengan berbagai2 umpan dan gula2, agar agama tertentu itu menjadi laku dan diingini oleh ramai.
Tetapi bagi saya, dalam mempertikaikan sesuatu, terutamanya ketika menyorok kelemahan kita yang mengakibatkan kita terlalu banyak menerima cabaran yang disedari atau tidak disedari, maka perbuatan menuding jari dan mempersalahkan orang lain adalah merupakan satu tindakan yang tidak berkesan.
Kalau kita sendiri yang lemah, perkuatkanlah diri kita dulu. Kalau akidah kita lemah sehingga boleh diganggu oleh orang lain, maka perkuatkanlah akidah kita. Kalau kita miskin sehingga orang lain sanggup membeli akidah kita juga, maka perkayalah masyarakat kita supaya umat kita sendiri tidak menjadi terlalu kelaparan sehingga akan menelan apa2 saja yang disuapkan ke dalam mulut mereka walau pun sehingga kadang2 terpaksa menggadaikan agama dan akidahnya..
Kalau kita berepecah belah kepada banyak golongan, maka perpecahan itu adalah merupakan satu kelemahan, dan orang lain akan mengambil kesempatan bagi menambahkan pecah belah kita, dan seterusnya menguasai kita, termasuk melemahkan akidah kita.
Oleh itu dalam menunjuk perasaan, dan mempamerkan kesatuan kita dalam isu akidah ini, maka kita juga haruslah mengkaji dan menyelidik dengan penuh teliti bagaimanakah hendak kita susun sistem pelajaran kita untuk menguatkan akidah generasi baru kita melalui bidang pendidikan rasmi dan tidak rasmi, bagaimanakah caranya untuk kita menjadikan pendidikan untuk menjadikan mereka kebal dan berpegang teguh kepada agama mereka, sehingga akidah dan keyakinan mereka kepada agama tidak mungkin digoyangkan semudah itu.
Kalau pemimpin2 kita, khususnya pemimpin politik orang Islam amat berpecah belah kerana politik kepartian, taksub dan fanatik kepada ideologi politik masing2 sebegitu rupa, sehingga sanggup menjualkan maruah agama dan kehormatannya juga, maka apakah tindakan yang seharusnya dimainkan oleh majoriti rakyat negara ini yang tidak berminat dan tidak terlibat dengan politiking dan taksub parti yang terlalu sempit.
Kesedaran akan perpecahan ini adalah penting, kerana umat Islam di Malaysia, dari perspektif politiknya telah berpecah kepada beberapa kumpulan. Parti terbesar umat Islam ialah UMNO dan PAS, tetapi kedua2nya tidak mungkin bersatu kerana masing2 mempunyai falsafah dan dasar perjuangan Melayu dan Islamnya yang agak berbeza, dan kedua2nya memerlukan simpati dan sokongan golongan bukan Islam untuk mereka memenangi kerusi rebutan dalam Pilihan Raya nanti. Apabila kepentingan kepartian begini menguasai pemikiran para pemimpin parti politik Islam itu, apakah hasilnya yang akan kita dapat, kerana yang terjadi hanyalah perpecahan kekuatan orang Islam, dan perpecahan ini akan dieksploitasikan oleh golongan lain, termasuk melemahkan misi agama Islam itu sendiri, yang selama ini mungkin dipandang sebagai satu faktor kekuatan orang Melayu, tetapi akhir2 ini ternyata bahawa agama adalah menjadi faktor kelemahan orang Melayu.
Bila menyebut perjuangan politik Islam, maka perjuangan itu sering memfokuskan kepada agenda syariah dan hukumnya, hukum hudud, khalwat, murtad, perselisihan aliran mazhab, masalah khilafiah, dan segala2nya, yang menjadi seribu satu masalah ibadat dan fardu ain, ritual dan hukum sahaja, yang lebeh banyak menyentuh disekitar individu sahaja, bukan masyarakat Islam sendiri, apa lagi masyarakat Islam dalam hubungannya dengan dunia luar.
Dengan itu seolah2 agama kita tidak relevan lagi dengan agenda ekonomi dan pelajaran, alam sekitar dan perniagaan, jihad menghapuskan kemiskinan dan kejahilan, sebaliknya agenda Islam hanya berbalah tentang bila nak laksanakan hukum hudud, bila nak adakan undang2 murtad, bila nak jatuhkan golongan musuh politik sesama agama, dan bilakah nak melemparkan tuduhan sesama sendiri bahawa puak itu tidak islamik, tidak berjuang kerana Islam, tidak beragama dan sebagainya.
Pergilah berjalan di bandar kecil dan besar di negara kita pada hari ini. Lihatlah disekeliling kita, kondominium terdiri seperti cendawan selepas musim hujan, kompleks membeli belah yang tersergam besar di hadapan mata kita, restoran dan kedai makan moden yang menggiurkan, gudang pakaian dan perabut yang berkonsepkan rekaan antarabangsa, kereta besar menjalar ke sana kemari, orang2 korperat yang bergegas memasuki pejabat dan gedung perkasa mereka, siapakah yang menjadi tuan punya gudang dan kompleks membeli belah itu? Siapakah tauke kondominium berbilion ringgit itu? Siapakah golongan korporat yang bernilai jutaan atau bilion ringgit itu? Siapa mereka?Inilah kekuatan yang sebenarnya dalam negara kita, kekuatan yang amat berpengaruh, dan dalam dunia kepenggunaan sekarang, inilah kekuatan yang boleh membeli sesiapa saja yang berkuasa dan berpengaruh dalam negara ini.
Sebaliknya cubalah pulang kekampung pendalaman kita, atau tak perlu ke desa pendalaman, ke kampung perumahan orang Islam yang berjiran dengan badar besar atau kota tersergam ini, maka apakah yang kita lihat,? Mungkin sebuah dua kedai kecil yang kehabisan barang, sebuah dua kedai makan yang hanya menghidangkan sambal belacan, petai dan nasi campur, mungkin sebuah dua pejabat usang menempatkan beberapa orang yang sedang bermain dam, atau mungki sebuah dua kedai letronik yang menjual peti tv atau peti sejuk dan dapur letrik lama, dan...dan....
Lihat lagi di celah2 rumah atap dan papan kita, apakah yang kita lihat? Parit2 yang tidak mengalir airnya, longkang yang tersubat, tanah berumput dan berlalang, smpah2 yang tidak di pungut, dan laman yang tidak terurus, lalat dan tikus berkeliaran, nyamuk bersarang... Itulah yang dapat kita saksikan.
Bagi orang lain yang bukan Islam, mereka tinggal juga sebahagian kecilnya dicelah2 kampung, tetapi rumah mereka menjadi setor barang, bilik2 rumah mereka menjadi makmal atau studio untuk melakar perhiasan dan barang lukisan, tanah di luar rumah tidak mereka biarkan kosong, sebaliknya mereka usahakan dengan tanaman sayur, cili, terung, lengkuas, bunga kantan dan sebagainya untuk jualan kepada orang2 Melayu disekelilingnya.
Kalau beginilah keadaannya, kenapakah kita harus berontak apabila kita lemah dan terdesak? Kenapa kita harus marah sekirnya orang lain menghimpit dan menolak kita ke tepi?Apakah yang ada lagi pada kita untuk kita gunakan bagi mempertahankan diri kita dalam keadaan ini, termasuk mempertahankan akidah dan syariah kita sekiranya kita sendiri masih bertikai tentang hukum2 itu, dan masih lagi melihat saudara2 kita seagama dengan rasa cemburu, dan kadang2 dengan rasa benci? dan jika kita sendiri sedang berundur ketepi hutan dan bukit untuk kembali semula ke dalam belukar dan hutan rimba, mendirikan rumah2 di atas pokok seperti nenk moyang kita dulu? Apa lagi yang ada?
Maka dalam keadaan ini, memang wjar kita menyedarkan orang lain dengan perhimpunan sejuta orang, tetapi orang kita, insafkah mereka dengan kedudukan diri sendiri? Sedarkah mereka akan kelemahan kita? Tahukah kita dimana letaknya kelemahan dan kedaifan kita? Atau kita hanya seronok sendiri menyanyi2kan lagu patriotik kita tanda kebesaran dan keagongan keturunan kita dulu2?
Oleh itu disamping sambutan yang begitu ramai dalam himpunan sejuta orang, maka sambutan hebat itu mestilah disusun dengan mempunyai agenda, deklarasi, resolosi, susunan agenda perjuangan yang strategik, dan visi pembangunan ummah yang jauh ke depan, melintasi politik partisan dan konsep serta tasawwur Islam yang tidak disempitkan.
Comments
Post a Comment