MALAYSIA DAN LIBYA

Berita terbaru menyatakan bahawa Ghadafi telah terbunuh, habislah eranya memerintah Libya lebeh dari empat dekad, dengan segala kelakuan ganjil dan pemerintahan bercelaru yang menjadikan rakyat juga tidak merasa aman dan selesa, kecuali sebahagian kecil saja di sekelilingnya yang merasa gembira dengan layanannya.
Namun bagi yang meneruskan perjuangan dalam mentadbir negara dan kekayaan minyak dan gas Libya, maka era baru sebenarnya hanya akan bermula selepas kematiannya. Perang saudara haruslah berhenti, kemusnahan yang banyak melanda negara dari segi fizikal dan kejiwaan rakyat terbanyak haruslah mulai segera dipulehkan, pemerintahan haruslah segera menyusun strategi dan perancangan untuk membangunkan Libya baru kembali kepada sistem syura dan demokrasi untuk kepentingan seluruh rakyat.
Mesir mengalami keadaan yang sama, pemberontak tidak membunuh Presiden Hosni Mubarak, malah Hosni sendiri rela mengundurkan diri dan sanggup menerima apa saja akibatnya, sebab itulah Mesir tidak mengalami peperangan saudara yang panjang. Tetapi selepas kejatuhan Hosni Mubarak, banyak kerisis yang timbul, kemarahan rakyat yang segera keluar semula ke jalan2 raya kerana kesetabilan politik dan ekonomi yang mereka harap2kan tidak menjelma, dan peristiwa permusuhan di antara orang Islam dan Kristian, tiba2 marak mengakibatkan kematian yang banyak, maka sekali lagi Mesir dilanda kerisis, yang sepatutnya telah berakhir dengan pengundduran Hosni.
Apa2 yang akan berlaku di Libya selepas kematian Gadhafi, hanya dunia yang akan menyaksikannya mulai dari sekarang, dan tiada sesiapa pun yang dapat menelahnya. Mungkin kerana Libya kaya dengan minyak dan gas, Amerika Syarikat dan Barat akan segera menolong Libya mensetabilkan kehidupan rakyat dan memulehkan demokrasi dan membangunkan ekonomi di sana, tetapi tentulah dengan harga yang mahal yang seharusnya dibayar oleh Libya sebagai balasannya, minyak dan gasnya yang banyak.

**************

Kalau dunia Arab menyaksikan kerisis besar kerana pemerintahan yang berbentuk kuku besi, yang ingin terus memerintah untuk selama2nya, seperti yang berlaku di Tunisia, Mesir, Libya, Yaman, Syria, Bahrain dan seterusnya, yang sekali gus mengakibatkan kerisis ekonomi dan sosial yang meruncing, pengangguran, berkurangnya peluang pekerjaan, kekurangan bahan makanan, kenaikan harga barang, malah kehakisan kuasa rakyat tanpa sistem demokrasi yang adil, semuanya ini telah menjadi bibit2 kerisis yang telah lama dan akhirnya meletus seperti meletusnya gunung merapi yang mencurahkan labanya yang banyak menghancur leburkan negara itu.
Maka dengan itu tidak hairanlah jika kerisis ini berlaku secara yang amat serius dan besar sekali, membunuh jiwa yang banyak, meruntuhkan kebanyakan bangunan yang telah sekian lama di bina, menghantar rakyat yang serba ketakutan keluar negara sebagai pelarian perang dari negara mereka sendiri, dan mengkucar kacirkan sistem ekonomi, sosial, pendidikan, serta segala2nya yang telah dibina dengan memakan masa dan perbelanjaan yang besar, selain dari mewujurkan trauma di kalangan rakyat yang akan memakan masa yang lama untuk puleh semula.

*************

Negara kita juga mengalami kerisis yang kelihatan sama seperti Libya, Mesir dan Tunisia, atau sekurang2nya seperti Yaman, Bahrain dan Jordan, iaitu kerisis politik yang kelihatannya serius. Tetapi dorongan yang membawa kepada kerisis politik di negara kita tidaklah sama dengan dorongan yang menyebabkan kerisis di Afrika Utara atau Asia Barat. Kerisis di sana ialah antara rakyat yang kebuluran dan kelaparan, kemiskinan dan kemelaratan, sistem ekonomi dan sosial yang tidak seimbang dan tidak setabil, yang akibatnya dirasa dan menimpa kebanyakan rakyat jelata yang ramai. Kerisis ini sememangnya kerisis yang besar, monopoli kekayaan oleh sebahagian kecil rakyat sahaja, tetapi rakyat kebanyakan mengalami penindasan dan layanan yang tidak adil, terpinggir dan terbiar, penderitaan yang panjang dalam kehidupan seluruhnya.
Sebaliknya dorongan kerisis politik di negara kita mungkin kerana isu2 kecil yang diperbesar2kan oleh kalangan yang tertentu, ketaksuban ahli politik yang ingin mencari undi bagi memegang tampuk pemerintahan negara, malah isu kaum dan agama yang sengaja dicetuskan di dalam masyarakat oleh golongan tertentu sehingga kelihatan seolah2 negara kita berada dalam periok api yang menggelegak dijerang diatas api yang besar.
Permainan isu2 politik yang dibesar2kan oleh para ahli politik, yang kadang2 tidak merupakan isu besar, tetapi kelihatannya besar kerana disokong dan dimarakkan oleh media yang mencari berbagai2 keuntungan termasuk keuntungan wang dan perniagaan, maka isu yang kecil menjadi besar, dan diperkatakan dengan hebat di merata2 tempat.
Isu inilah yang sebenarnya menjadi perang mulut dan kata2, pengucapan dan tulisan, komen para bloger dan saluran lain di dalam internet dan laman sosial.
Dengan itu pembangunan sebenarnya yang dikehendaki rakyat hanya dibiarkan saja tanpa pembelaan. Orang kampung yang miskin tidak cukup makan, anak2 keciciran tanpa sekolah, tanah2 terbiar yang tidak diusahakan, penindasan golongan korporat dan ahli peniaga gergasi keatas peniaga kecil yang tidak adil, kekurangan air bersih dan makanan yang berzat, perindustrian makanan halal yang seharusnya di pertingkatkan di seluruh negara, malah kemunduran rakyat miskin, terutamanya orang Melayu yang tidak mampu memiliki rumah mahal di sekeliling mereka di bandar besar dan kecil, semuanya kelihatan tidak terbela dan tidak diindahkan oleh kalangan ahli politik dan wakil mereka di dalam Parlimen atau DUN, yang lebeh asyik bertelagah tentang isu2 perkauman dan agama yang telah lama diselesaikan, tetapi dibangkitkan semula, dengan sejarah komunis dan polis yang bekerja dengan kerajaan British, kita pernah di jajah atau tidak, kenapa tidak dilaksanakan hudud, siapa yang Islam sebenar dan siapa yang tidak mahu Islam, kuasa Sultan atas agama, dan isu2 teoritikal dan retorik yang tidak berpijak di bumi nyata, dan yang tidak mempunyai hubungan langsung dengan rakyat yang miskin dan seterusnya bertambah miskin, serta rakyat yang kaya dan seterusnya menjadi beertambah kaya.
Kalau kerisis di negara2 Arab mengenai hidup dan mati, makan dan atau mati kelaparan, membunuh atau di bunuh, tetapi kerisis kita di Malaysia tentang isu2 ciptaan semula tentang kaum dan agama, persoalan semula tentang sejarah yang tidak langsung difahami oleh rakyat umum, fitnah dan tuduh menuduh yang tidak nyata, dan hal ini mungkin lebeh serius dari kerisis di negara2 Arab yang sedang berlaku sekarang.
Kita terlalu banyak bercakap dan berbicara, menjaga tepi kain orang, mencari titik2 perselisihan, mengetepikan titik2 persamaan, mencari kesilapan orang tanpa menyedari kesilapan sendiri, maka lalu semuanya bercakap, dan terdapat pula media yang sengaja melaga2kan orang2 yang berkerisis ini.
Nabi Muhammad SAW mengingatkan kita bahawa " Sesiapa yang beriman kepada Allah dan rasul-Nya, maka hendaklah dia bercakap sesuatu yang baik, atau diam saja, sesungguhnya sesiapa yang banyak percakapannya, maka banyaklah kesalahannya" Tetapi kita banyak bercakap sesuatu yang tidak baik, maka banyaklah kesilapan kita.
Kita terlalu banyak bercakap, kadang2 kita berbicara terhadap sesuatu yang tidak kena mengena dengan kita, ahli akademik terheret dalam pertikaian politik partisan, ahli agama terbabit dalam fatwa politik kepartian, orang yang tidak kena mengena dengan agamanya sendiri akan bercakap tentang agama orang lain, orang politik yang tidak membuat kajian akan bercakap mengenai topik ilmu yang amat cetek.
Inilah senarionya yang membezakan diantara kerisis dan konflik yang berlaku di dalam masyarakat kita hari ini dengan kerisis yang berlaku di dalam negara2 Islam lain. Mereka mempunyai kerisis yang yang berbentuk kenyataan dan realiti, tetapi kerisis kita kadang2 sengaja direka2kan untuk penyedap mulut, dan orang ramai yang kadang tidak tahu hujung pangkalnya pula akan menelannya sebagai satu makanan yang amat enak. Kita mengamalkan demokrasi, keadilan sosial, menangani kerisis kekurangan bahan makanan dan mengawal harga barang, mewujudkan peluang pekerjaan, mendirikan institusi pengajian yang banyak, menjalankan program agama sebagai satu sistem hidup, mengurangkan kemiskinan, membuka peluang untuk rakyat memiliki rumah dan sebagainya, tetapi hal itu akan dinafikan berterusan oleh ahli2 politik yang mencari keuntungan diri.
Akibatnya rakyat umum yang menjadi kebingungan, keliru dan tidak tahu siapakah yang benar dan siapakah yang salah, termasuk orang2 yang berilmu sendiri.


Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....