MASYARAKAT HARUSLAH BERTENANG....

Saya melihat sesudah selesainya satu episod politik yang bergelora dalam masyarakat kita, maka kini telah sampailah ketikanya bahawa masyarakat rakyat negara kita bertenang semula dan kembali kepada proses pembangunan minda dan kehidupan kita keseluruhannya secara yang penuh rasional, berakal dan berhikmah.


Kehidupan kita ini sesungguhnya adalah seperti sebuah pementasan di panggung pertunjukan yang penuh dengan lakonan berbagai2 episod. Rasa tidak percaya tentang pemergian teman rapat Abdul Hamid Othman masih bermain di kepala saya. Rasa2nya baru semalam, kami bergurau, bersembang dan bercerita, tetapi kini dia telah tiada, hilang dengan cepat sekali.


Dulu ketika dia bertanding pilihan raya, saya turut berkunjung ke kampungnya di Sik, bukan untuk sangat berkempen, tetapi menunjukkan simpati atas dasar kawan. Saya juga sebanyak dua kali pilihan raya, berkunjung ke Permatang Pauh menunjukkan diri dan bersimpati juga dengan sdra Anwar Ibrahim ketika beliau bertanding pilihan raya, kalau tak salah saya, sekali ketika beliau melawan Mahfuz Omar.


Itu zaman dulu2, ketika babak drama ini berada di peringkat awal perkembangannya. Setelah itu takdir Allah memusingkan segala peristiwa dan hari2 yang dilalui manusia, maka perkembangan terkini telah menunjukkan senario yang berbeza. Kalau dua orang manusia yang saya dampingi itu merupakan satu penentuan sejarah, maka sdra arwah Hamid telah tiada lagi, dan sdra Anwar Ibrahim masih wujud dengan episod kehidupannya yang tersendiri.


Saya melihat semua yang berlaku adalah merupakan ketentuan Allah yang mempunyai rahsianya yang tersendiri. Segala peersepsi dan emosi yang meledak secara melulu tanpa hikmah haruslah dijauhi. Kembalilah kepada rasional dan pemikiran yang waras dan matang seperti yang ditegaskan Allah ketika Dia menyatakan bahawa kepada Nabi2 telah dikurniakan Al-Kitab dan Hikmah, iaitu ajaran ilmu dan petunjuk dari Al-Quran dan akhlak serta pemikiran yang waras.


Ukuran kita kepada manusia di sekeliling kita haruslah berdasarkan ilmu dan hikmah. Kadang2 manusia mempunyai ilmu yang tinggi tetapi tidak punya hikmah dan akhlak yang mulia, lalu timbullah rasa sombong dan bongkak, atau punya akhlak dan hikmah yang diwarisi dari ilmunya yang tinggi, tetapi pemikiran dan sikapnya dipengaruhi nafsu keduniaan yang boleh merosakkan dirinya.


Di Malaysia, kita menghadapi beberapa kenyataan yang seharusnya kita pertimbangkan di dalam semua gerak geri dan tindakan kita. Kita punya bangsa yang berbagai2, yang perlu hidup dalam aman damai dan punya hak masing2, yang perlu bertolak ansur, dan perlu menerima dan memberi.


Kita punya agama yang berbagai, dan tentunya agama samawi yang masih tulen yang sedang kita amalkan merupakan akidah, syariah dan akhlak yang tidak mungkin digadaikan begitu saja. Malah Alhamdulillah kita masih dapat mempertahankan keagongan agama kita itu walau pun sering diganggu dengan kepelbagaian cabaran dan ujian, tetapi dalam aman dan damai agama dan nilai2nya itu masih tertegak dengan baik di negara kita, bukan dengan keganasan dan bom, tetapi dengan kekuatan umat sendiri, berkat semangat cintakan agama dalam aman.


Politik kepartian hanya merupakan satu permainan yang boleh melekakan, dan permainan yang boleh membawa kepada ketegangan, malah dalam dunia pada hari ini, ketegangan itu sering membawa kepada pertumpahan darah, peperangan saudara, seperti yang dapat kita lihat di dalam dunia saudara2 seagama kita sendiri di bumi Arab.


Itulah permainan emosi, sentimen, persepsi salah, protes, dendam, fitnah dan pandangan yang dirosakkan oleh orang2 yang berkepentingan sempit. Malah kita sepatutnya bersikap lebeh berakal, menerima takdir ketentuan Allah dan berakhlak mulia dalam segala tindakan kita.


Hanya hikmah, pemikiran yang waras, penghayatan kahidupan yang jelas, pertimbangan akal budi yang sempurna saja, yang selama ini masih dapat dipertahankan di negara kita ini, iaitu yang merupakan unsur2 keamanan dan perdamaian di negara kita, maka pertahankanlah cara hidup dan gaya itu seterusnya, sama ada di peringkat kepimpinan dan rakyat jelata.


Saya sempat menonton saluran 111 Art tv Astro bahasa Arab baru2 ini tentang contoh negara2 Islam yang terbaik dalam dunia ini, iaitu satu tinjauan saluran itu terhadap para pendengar dalam perkembangan yang berlaku di dunia Arab sekarang ini, maka kebanyakan penonton dari berbagai peringkat menyatakan bahawa negara contoh terbaik dunia Islam ialah Malaysia dan Turki.


AMAT BAIK HAL ITU KITA PELAJARI, DAN AMAT BAIK HAL ITU KITA JADIKAN LANDASAN UNTUK PEMBANGUNAN NEGARA DAN BANGSA KITA SETERUSNYA DALAM MENGHADAPI EPISOD2 HIDUP KITA SETERUSNYA PADA HARI2 YANG MENDATANG INI.


Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....