SEKADAR FIKIRAN.....

Kita tidaklah harus keliru diantara Kerajaan dan Parti politik, termasuk diantara dasar yang diamalkan Kerajaan dan dasar parti politik yang memerintah. Semua orang haruslah tahu membezakan di antara dua perkara ini, termasuk parti yang memerintah sendiri, iaitu segala dasar dan sistem pemerintahannya adalah untuk semua rakyat, bukan hanya segala kebaikan dan perkhidmatan hanya untuk ahli2 parti yang memerintah sahaja.



Pihak parti pembangkang juga haruslah memahami prinsip ini, iaitu pihak Kerajaan yang memerintah adalah meerupakan Kerajaan yang berkhidmat untuk semua lapisan dan kalangan rakyat tanpa membezakan kaum dan agama, fahaman dan ideologi politik, budaya dan sebagainya.



Sebab itulah segala agensi dan institusi Kerajaan yang memerintah haruslah dilihat sebagai agensi dan institusi kepunyaan semua rakyat, dan dasar Kerajaan adalah merupakan sesuatu yang harus disanjung dan dilihat oleh rakyat dengan hati yang terbuka, iaitu sekiranya sesuatu dasar Kerajaan itu dilihat tidak adil atau tidak baik, maka rakyat berhak untuk menegur dan memberikan pandangan kedua untuk memperbaikinya, maka inilah gunanya DUN dan Parlimen yang sentiasa terbuka kepada wakil2 rakyat untuk bersuara, bukan untuk hanya mengecam dan berusaha memburuk2kannya.



Dalam konteks inilah saya rasa negara2 membangun, termasuk negara kita juga, apabila bercakap tentang Kerajaan, maka orang akan segera terlintas dalam kepalanya bahawa percakapan dan pembicaraan itu adalah mengenai parti politik yang memerintah, oleh itu parti yang memerintah sentiasa melihat dan menganggap bahawa segala sesuatu yang dibuat oleh pemerintah itu haruslah dipertahankan bermatian2, sedangkan pihak pembangkang pula akan mengira bahawa semua agensi, institusi, pejabat, jentera dan sebagainya yang bertugas dan berkhidmat bagi pihak Kerajaan adalah kepunyaan parti yang memerintah, sebab itulah juga, kalau boleh sepanjang masa maka segala agensi, institusi, jentera dan badan2 Kerajaan haruslah dihentam habis2an dan kalau boleh dikeritik secara melulu, difitnah, dan akhirnya mungkin diburuk2kan, dorosakkan dan sebagainya, sedangkan segala2nya itu adalah jentera dan badan Kerajaan yang berkhidmat dan bekerja untuk semua, dan mereka yang bermusuh ini pun sering menekmati segala perkhidmatan yang baik dari Kerajaan.

Inilah yang beerlaku ketika pembangkang berusaha menjatuhkan imej jentera Kerajaan seperti Polis dan tentera, agensi perkhidmatan Kerajaan seperti JPA, JKR, dan sebagainya, malah segala jentera Kerajaan lain juga sering dikeritik secara melulu.



Saya teringat semasa saya berkhidmat sebagai KP IKIM dulu, saya sering menegaskan kepada para kakitangan saya, bahawa kita berkhidmat adalah atas dasar menyokong dasar2 Kerajaan semasa, iaitu dasar Kerajaan, bukan dasar parti yang memerintah, kita haruslah membezakan di antara Kerajaan dan parti politik, serta aktiviti Kerajaan dan aktiviti parti politik, kerana Kerajaan adalah untuk semua, dan gerakan parti politik seringkali menjadi aktiviti partisan, taksub dan berat sebelah.



Apabila kita bekerja kerana Kerajaan semasa, maka kita berhak untuk memberikan pandangan kedua, ketiga dan sebagainya kepada Kerajaan, menegur dan menyatakan pandangan kita kepada pemerintah, tetapi secara beretika, beradab dan berhikmah, bukan secara melulu, atau bermuka2 di hadapan, sedangkan di belakang kita bekerja untuk merosakkan pemerintah kita sendiri. Sebaliknya jika berlaku peertukaran Kerajaan, maka kita haruslah pula bekerja dengan pemerintah semasa itu, bukan memusuhinya, malah masih mempunyai ruang untunk menasehati Kerajaan semasa itu. Saya sendiri sekarang berkhidmat dengan Kolej Universiti Insaniah Kedah atas dasar bahawa KUIN itu adalah institusi yang dibangunkan oleh Kerajaan, bukan oleh parti pemerintah yang memerintah Kedah.



Semasa saya menjadi Duta di Saudi Arabia, saya bekerja untuk pemerintah, segala dasar Kerajaan kita telah saya terangkan kepada negara tuan rumah dengan jujur dan ikhlas, telus dan benar, iaitu kepada Kerajaan tuan rumah,Saudi, dan negara2 lain, membuka peluang kerjasama, perhubungan diplomatik, pendidikan, perniagaan, perdagangan, impot eskpot dan sebagainya diantara dua buah negara. Malah tanpa memuji negara sendiri, orang lain dapat melihat contoh negara kita sebagai negara Islam yang baik.



Tetapi kalau orang politik lain pula halnya, bila dia keluar negara, dia seringkali mencerca dan mencela atau memburuk2kan dasar negaranya, sedangkan dia adalah rakyat negara ini, kerana dia juga salah faham tentang perbezaan diantara dasar politik parti pemerintah dengan pemerintah itu sendiri, walau pun dalam banyak hal kerajaan yang memerintah adalah menjalankan dasar parti yang memerintah itu, namun dalam banyak aspek Kerajaan dan Negara adalah sesuatu yang berasingan daripada parti politik yang memerintah.



Oleh itu ahli politik yang keluar negara berkempen memburuk2kan negaranya haruslah sedar bahawa dia sepatutnya di luar negara, kalau pun kerana mencari sokongan peribadi kepadanya dan partinya, dia haruslah menyatakan pandangannya tentang dasar parti yang memerintah, kerana dia mempunyai ideologi kepartian yang berbeza, terutamanya dia berkempen adalah atas nama parti politiknya, yang diharapkan akan dapat menggantikan parti pemerintah yang ada, tetapi sekiranya dia berkempen menentang segala2nya yang dilakukan oleh pemerintah, termasuk perkara2 yang baik, adil dan telus, maka orang akan dapat melihat peribadi dan perwatakannya yang tentunya mengalami sesuatu yang tidak kena dan tidak tabi'e. Malah orang akan memandangnya sebagai pengkhianat kerana memburuk2kan negaranya sendiri.



Kerana kecelaruan inilah maka kebanyakan negara membangun, negara dunia ketiga, termasuk negara Arab dan Islam, mengalami berbagai2 kerisis politik yang tidak habis2, membawa kepada pertentangan diantara pemerintah dengan rakyat seperti dua pihak bermusuh, yang seharusnya berperang, berbunuh2han, masing2 mendakwa berada di pihak yang benar, dan dalam masyarakat Islam masing2 mendakwa mereka adalah berjihad menentang musuh, dan masing2 berteriak "Allahu Akbar", lalu bertembung, bertelagah, berbunuhan dan melakukan segala macam tektik dan kelakuan yang tidak berlandaskan ajaran Islam, tidak berakhlak, dan tidak mengira dosa pahalanya lagi.



Inilah juga senario yang kita lihat di dalam negara kita pada masa ini. Kecelaruan fikiran dan tanggapan tentang dasar ini, maka berlakulah konfrontasi, pertelagahan, pertentangan diantara rakyat berbagai parti tanpa sempadan dan akhlak lagi, melanggar segala nilai moral, adab dan tidak segan silu lagi bermaki hamun, terutamanya melalui laman2 web, portal politik, blog partisan dan media untuk mengeluarkan kata2 lucah, maki hamun, cela mencela dan tuduh menuduh yang amat terkeluar dari sempadan2 moral Islam yang sebenarnya, termasuk oleh orang2 yang tahu tentang agama sendiri, yang kadang2 bercakap tidak lagi berlapis, tidak lagi mempunyai hikmah dan contoh teladan yang baik.



Saya tidak tahu sampai bilakah hal ini akan menjadi lunak dan beradab semula, terutamanya apabila kita melihat ketua2 parti politik sendiri yang menjuarai tingkah laku dan amalan yang tidak berakhlak ini, malah mengapi2kan para pengikutnya supaya membuat musuh terhadap pengikut2 parti lawannya, malah terhadap jentera pemerintah sendiri, tanpa membuat sebarang perbezaan seperti yang saya sebutkan di atas.



Hanya Allah yang tahu bilakah keadaan akan berubah !!

Comments

  1. saya bersetuju dan ini adalah fahaman yg sepatutnya ahli politik tahu dan barulah profesionalime terbentuk dan dasar kerajaan tercapai.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....