AL-QARADHAWI PERLUKAH MENGADILI POLITIK MALAYSIA?
AL-QARADHAWI SEHARUSNYA
LEBEH MEMENTINGKAN DUNIA ARAB
Memang betul kenyataan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa Shaikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi mengiktiraf Dato’ Seri Anwar Ibrahim, kerana dalam suratnya bertarikh 2 Mac 2013, kepada Anwar dan teman-teman dalam PKR, Tuan Haji Abdul Hadi Awang dan ahli-ahli PAS, juga kepada Parti Komuniti Cina (DAP) beliau menyokong supaya Anwar seharusnya diberikan pimpinan negara, tegasnya menjadi Perdana Menteri apa bila Pakatan Rakyat diharapkannya memenangi PRU ke 13 ini.
sikap Al-Qaradhawi yang secara konsistennya menyokong dan membela Anwar Ibrahim, sejak dari kerisis yang menimpa Anwar sehingga sekarang. Malah dalam suratnya yang terbaru ini Al-Qaradhawi masih lagi menegaskan bahawa Anwar telah dizalimi dengan tuduhan yang palsu dan dusta sejak dari zaman ketika Anwar menjadi TPM dahulu lagi, maka dengan itu Al-Qaradhawi berbangga kerana kelahiran golongan yang bangun menentang kezaliman yang dikaitkan oleh beliau dengan kezaliman kepada Anwar dan penginayaan yang dilakukan oleh UMNO, menurut tanggapannya.
Saya mendapat kesimpulan dari surat ini, bahawa Al-Qaradhawi telah cuba untuk menyatakan sokongannya kepada pehak PR supaya melantik Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri akibat dari kerisis yang berlaku di dalam PR tentang siapakah yang akan menjadi PM apabila PR memenangi PRU 13 nanti. PR sendiri nampaknya masih tidak menyatakan keputusannya tentang calon PM ini, terutamanya oleh PAS yang nampaknya tidak bersetuju dengan DAP tentang calon PM ini.
Saya juga merasakan bahawa Al-Qaradhawi, tokoh maal Hijrah negara kita beberapa tahun yang lalu, yang dihormati oleh umat Islam di Malaysia, dengan surat ini nampaknya telah secara langsung mencuba untuk membicarakan hal ehwal politik dalaman negara kita, sedangkan beliau telah memutar belitkan hakikat serta menurut lenggang lenggok pihak yang sedang berkempen memburuk-burukkan Kerajaan sekarang, dan beliau nampaknya terlalu berat sebelah secara yang agak melulu tanpa mengetahui fakta dan data-data yang sebenarnya.
Oleh itu saya merasakan juga bahawa Profesor Al-Qaradhawi seharusnya lebeh bersikap adil terhadap perkembangan dalam negara kita dalam pembangunan Islam dan kesejahteraan serta tamadun rakyat negara kita sekarang daripada hanya berbicara tanpa hikmah yang sebenarnya.
Malah dalam konteks
kerisis besar dan yang amat parah yang sedang dihadapi oleh dunia Arab pada
masa ini, beliau seharusnya, malah sepatutnya cubalah menumpukan peerhatiannya
secara langsung kepada kerisis dunia bangsanya sendiri yang amat bergolak pada
masa kini, dengan peperangan saudara, pembunuhan, pertumpahan darah yang
serius, jutaan umat Arab yang menjadi pelarian perang, kemiskinan dan
kebuluran, dan seribu satu macam bala bencana yang menimpa dunia Islam di Asia
Barat dan Afrika Utara sekarang ini.
Hal ini sepatutnya lebeh diberikan perhatian oleh Al-Qaradhawi sekiranya benar-benar beliau bercakap atas nama ulamak Islam Arab dan bukan Arab, persatuan ulamak Islam Antarabangsa yang diwakilinya itu, dari pada hanya mencampuri urusan dalam negara kita kerana dua tiga kerat manusia yang dipandangnya suci dan bersih seperti malaikat itu.
Saya mempunyai salinan sepenuhnya surat daripada Dr. Yusuf Al-Qaradhawi itu yang tertulis dalam bahasa Arab, penuh dengan petikan Al-Quran dan Hadis untuk menyokong pandangannya yang berat sebelah itu. Insya’ Allah saya akan menterjemahkannya secara penuh untuk umat Islam di Malaysia membacanya dan memahami mesej tersembunyi beliau serta apa-apa yang tersirat dari suratnya itu.
Comments
Post a Comment