3 APRIL 2013 PEMBUBARAN PARLIMEN !
YANG DI NANTI-NANTIKAN TELAH TIBA
Ibarat menunggu buah yang tidak gugur, maka yang ditunggu-tunggukan itu telah pun tiba, telah pun gugur.
Pembubaran Parlimen yang ditunggu-tunggukan sebagai menandakan bahawa PRU ke-13 akan menjelang tiba, kini telah berlaku.
3 April 2013 membawa berita pembubaran Parlimen, dan PRU boleh diadakan dalam masa terdekat, dua tiga hari lagi tahulah kita, bila masanya penamaan calon, kemudian berapa lama berkempen, dan akhirnya berapa haribulan kah pengundi akan keluar mengundi.
Ada berita mengatakan bahawa jumlah pengundi yang berdaftar di negara kita ini ialah seramai 13.3 juta orang, dan ekoran dari itu seorang wanita pejuang demokrasi yang awal-awal lagi membuat telahan bahawa banyak penipuan yang berlaku dalam pengundian dan sebagainya, telah menyeru supaya penipuan itu dapat dikurangkan sekiranya sebanyak mungkin pengundi keluar mengundi, dan dia menyeru supaya para pengundi keluarlah seberapa ramai yang boleh, untuk mengundi supaya dapat dikurangkan sangkaan yang dikatakannya itu tentang ketidak adilan SPR! Tapi tahukah dia bahawa pengundi yang tidak keluar itu, sekiranya mereka keluar mengundi, maka mereka akan mengundi siapa? Dan pengundi yang keluar itu pula mengundi siapa?
Inilah antara bunga-bunga Pilihan Raya yang muncul sebaik saja diisytiharkan pembubaran Parlimen, disamping banyak lagi tembakan dan panahan roket yang telah pun di gunakan setelah gendang perang Pilihanraya mulai berbunyi pada hari ini, umpamanya dengan mencabar supaya PM tampillah berdebat dengan pembangkang!
Bagaimana pun inilah telatah dan tindakan apa bila buah durian yang ditunggu-tunggu itu telah gugur, umpama kanak-kanak yang menunggu durian, apa bila gugur maka ramailah yang menyerbu keluar hendak mengutip durian itu, dan ada pula yang sedia membawa parang untuk membelahnya, juga yang berpekik-pekik seperti orang kehilangan akal, demikianlah juga bila tarikh Pilihan Raya hampir tiba, berbagai-bagailah kerenah manusia.
Apa-apa pun, majoriti rakyat Malaysia tentulah mengharapkan semuanya berjalan lancar, aman damai, beretika dan bermoral. Cukuplah berperang mulut dan lidah tidak bertulang, asalkan jangan bertindak ganas seperti masyarakat mundur dan tidak bertamadun. Kita berusaha dan berdoa semoga Allah SWT melindungi kita semua sebagai rakyat yang cintakan perdamaian dan keamanan!
Comments
Post a Comment