JANGAN KELIRU TENTANG FATWA NAMA PARTI ISLAM DI NEGARA KITA
MAJLIS FATWA TIDAK MENGHARAMKAN NAMA ISLAM PADA PARTI POLITIK
Dalam tahun 2001 pihak Majlis Raja-Raja telah menulis surat kepada Jakim meminta supaya Majlis Fatwa Kebangsaan mengadakan sidang khas untuk membincangkan isu perpecahan umat Melayu, Islam, ketika itu, iaitu adakah oleh perpecahan dalam politik kerana terdapat parti politik yang menggunakan nama Islam pada partinya.
Pihak Raja-Raja dengan itu mungkin telah mendapat banyak maklumat tentang perpecahan umat Islam di Malaysia kerana isu-isu politik keislaman, seperti isu mengkafirkan sesama sendiri, dan isu masuk neraka atau syurga sekiranya mengundi calon parti-parti tertentu. Hal ini secara langsung atau tidak langsungnya ialah kerana terdapat parti politik yang menggunakan nama "Islam" pada partinya, seolah-olah parti tersebut adalah seiring dengan agama Islam dan parti-parti lain itu tidak Islam
Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengadakan sidang khasnya untuk membincangkan isu tersebut, dan ahli-ahli Majlis Fatwa Kebangsaan telah membincangkan agenda ini secara panjang lebar berdasarkan dalil-dalil syara' dan nas-nas yang sah tentang hal ini, juga bersandarkan kepada realiti umat Islam serta adat tradisinya di negara kita.
Akhirnya diputuskan bahawa nama Islam itu tidaklah menjadi halangan untuk digunakan pada nama sebarang pertubuhan, termasuk parti politik, dengan syarat ianya hendaklah digunakan dengan berdasarkan ilmu, hikmah dan ihsan.
Ada pun isu perpecahan yang berlaku di dalam masyarakat Islam di Malaysia disebabkan oleh penyalah gunaan nama "Islam" dan fatwa-fatwa yang dikeluarkan dengan memperalatkan nama Islam pada pertubuhan dan sebagainya, maka Majlis Fatwa Kebangsaan berpandangan bahawa hal ini hendaklah dicegah dengan kuat kuasa undang-undang yang telah sedia ada, seperti akta hasutan dan sebagainya.
Keputusan inilah yang telah diangkat kembali kepada Majlis Raja-Raja, dan parti Islam yang ada pada waktu itu, terselamat dari pengharaman nama Islamnya, lalu teruslah dipakai sehingga ke hari ini.
Majlis Fatwa Kebangsaan amat berkecuali dalam hal ini ketika membuat fatwanya, dengan harapan supaya Parti tersebut akan meneruskan misinya sebagai sebuah parti politik yang sama statusnya dengan parti-parti politik yang lain, dan tidak seharusnya mencipta persepsi yang salah tentang nama tersebut sehingga umat Islam menjadi keliru dengan menganggap bahawa parti itu adalah sama seperti agama Islam sendiri.
Perakuan yang dibuat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan samalah dengan perakuan yang dibuat terhadap pertubuhan yang membawa ajaran sesat yang seharusnya di haramkan dan ketua-ketuanya di bawa kemahkamah untuk diambil tindakan, tetapi Majlis Fatwa berpendapat bahawa dalam situasi dan latar belakang masyarakat Islam yang masih aman damai pada ketika itu, maka nama Islam ini tidaklah seharusnya diharamkan.
Oleh itu saya rasa, para pemimpin politik dari parti politik hendaklah berhati-hati dengan segala tindakan mereka, iaitu tidaklah seharusnya mengeluarkan "fatwa-fatwa" sendiri yang membawa persepsi bahawa parti tersebut adalah maksum dan ahli-ahli serta pimpinannya sahaja yang menjalankan ajaran agama, sedangkan parti lain semuanya dosa dan tidak Islam, maka ahli-ahlinya juga tidak "mendapat pahala" atau tidak masuk syurga .
Harap dengan kerancakan kempen dan kepanasan bahang PRU ke 13 ini, para pengundi akan menjadi lebih terdidik dan tidak mudah keliru dengan status parti-parti politik, khususnya dua buah parti politik yang dianggotai orang Islam di negara kita ini, yang mengikut persepsi yang sering di salah mengertikan, bahawa para pengundi mempunyai dua pilihan, sama ada hendak mengundi calon dari parti yang memperjuangkan Islam atau parti yang menolak Islam, yang dikatakan sebagai parti sekular, sedangkan kedua-dua parti tersebut sebenarnya mempunyai agenda perjuangan Islam dan dianggotai oleh orang Islam sendiri yang tidak seharusnya dipertikainan akidah dan syarihahnya.
Isunya bukanlah isu Islam atau tidak Islam, kerana keseluruhan umat Islam dan umat Melayu di negara kita ini adalah Islam, Muslim yang mengucap dua kalimah syahadah, yang mengamalkan rukun Islam dan beriman dengan rukun iman, mengakui keasaan Allah dan kerasulan Nabi terakhir Muhammad SAW.
Islam tidak Islam bukanlah isunya, kerana hal ini adalah merupakan hal akidah setiap individu Islam itu sendiri, dan parti politik itu bukanlah satu agama seperti yang diturunkan oleh Allah SWT melalui Nabi kita Muhammad SAW, malah parti politik adalah ciptaan manusia biasa yang terdapat cacat celanya. Perjuangan untuk membangun dan memertabatkan Islam itu tidaklah hanya menjadi dasar perjuangan yang bernama Islam sahaja, tetapi oleh parti yang tidak menggunakan Islam juga. Mungkin hal ini dapat dikaji dari perlembagaan parti-parti politik tersebut untuk melihat apakah agenda perjuangan Islamnya, dan di samping itu dapat dilihat di dalam pembangunan negara dan masyarakat kita sendiri semenjak dari Merdeka sehingga sekarang tentang kedaulatan Islam di dalam negara ini di dalam semua bidang kehidupan kita, yang merangkumi bidang ibadat, muamalat, pendidikan, sosial, fizikal dan spiritual yang begitu jelas sekali.
Undi dan sokongan kepada mana-mana calon dari mana-mana parti politik itu tidak mempunyai hubungan dengan syurga dan neraka, dan tidak timbul langsung bahawa calon-calon PRU ini terdiri dari dua golongan dan anutan, Islam atau tidak Islam.
Malah parti yang menggunakan Islam itu pun sebenarnya telah bersepakat dengan parti bukan Islam, dan penggunaan lambang yang dikatakan Islamik itu pun boleh digunakan oleh orang bukan Islam.
Saya menyebut hal ini, kerana saya amat memahami isu penggunaan nama Islam pada parti politik yang telah dibincangkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan yang saya pengerusikan pada masa itu, dan saya amat memahami juga kempen-kempen politik yang dijalankan pada masa ini, yang dalam beberapa keadaan nampaknya masih mengelirukan umat Islam di negara kita ini, sedangkan hal itulah yang amat diberikan perhatian serius oleh Majlis Raja-Raja, yang dikatakan sebagai unsur yang memecahbelahkan umat Melayu dan umat Islam di negara kita ini.
Para pengundi haruslah memahami isu ini dengan sebaik-baiknya dan janganlah terkeliru dengan kempen-kempen politik yang menyeleweng, terutamanya yang menggunakan Islam sebagai alatnya.
Para pengundi haruslah menggunakan ilmu dan pemikirannya yang rasional dan waras ketika menentukan masa depan negara dan umat Islam di negara kita, serta rakyat umumnya dengan undian itu.
Firman Allah SWT "Tanyalah orang yang berilmu sekiranya kamu tidak mengetahui" Di samping itu berhati-hatilah "Sekiranya datang kepada kamu seorang fasik dengan membawa satu berita, maka selidikilah dahulu, supaya kamu tidak menimpakan satu kaum dengan satu musibah,maka ketika itu kamu akan menyesal, akibat dari perbuatan yang telah kamu lakukan" .
Comments
Post a Comment