PRU: JANGAN BERMAIN API



JANGAN BERMAIN API

Satu perkara penting yang perlu dielakkan di dalam masyarakat kita ialah jangan bermain dengan api, iaitu api pelampau dan ekstrem. Menjelang PRU ke-13 ini kita harus menoleh kembali kepada sejaraha negara kita dalam mengamalkan sistem demokrasi berparlimen yang selama ini telah kita parktikkan secara aman damai mengikut tradisi dan budaya kita sendiri.

Adat keturunan bangsa kita, terutamanya adat Melayu dan resamnya, yang kemudiannya disokonga dan disemarakkan lagi oleh ajaran agama orang Melayu, telah berjaya membentuk bangsa kita sebagai bangsa yang dapat menghayati nilai-nilai bangsa dan agama dengan sebaik-baiknya, kerana adat istiadat dan nilai-nilai sejagat yang diamalkan dalam agama kita adalah merupakan sesuatu yang dapat diterima dengan baiknya di dalam masyarakat kita, tanpa mengira latar belakang agama, budaya dan kaum masing-masing.

Hasil dari penghayatan adab dan budaya bangsa dan agama inilah kita telah bangun menghadapi penjajahan, mengisi kemerdekaan negara dengan subur di dalam kehidupan beragama dan bernegara, mentadbir dan menguruskan ekonomi dan seluruh jentera negara dengan baik, adil dan saksama. Kita berdikari, berintegriti, mempunyai identiti sendiri.

Oleh itu dalam menghadapi PRU ke-13 tradisi dan penghayatan nilai-nilai baik ini haruslah diteruskan. Elakkan sikap ekstrem dan melampau dalam masyarakat kita yang berbilang agama, kaum dan budaya ini. Kita selama ini mengambil sikap tolak ansur yang amat tinggi sekali dalam penghayatan agama dan budaya setiap kaum, malah sentiasa bersabar dalam menghadapi cabaran jurang perbezaan yang besar dalam merebut kekayaan negara, iaitu dalam penguasaan ekonomi negara, juga dalam bidang pendidikan,
Kaum-kaum yang ketinggalan dalam bidang ekonomi negara dan bidang-bidang kehidupan lainnya, sentiasa bersabar dan mengharapkan dasar Kerajaan untuk menghapuskan jurang perbezaan yang besar itu akan dapat segera menghapuskan jurang itu, ertinya kaum yang kaya selama ini, yang memiliki dan mengendalikan teraju ekonomi dan kekayaan negara ini tidak diganggu, tetapi usaha untuk merapatkan jurang inilah yang diharapkan akan dapat dijayakan dengan dasar negara sendiri. Inilah ertinya dasar redha dan toleransi bangsa kita selama ini, iaitu cuba untuk mendapatkan haknya tanpa menganggu hak orang lain secara kekerasan.
Oleh itu berbalik kepada tajuk pembicaraan saya di atas, maka ingin saya majukan gagasan kita agar kita tidak seharusnya bermain api dengan sikap ekstrem dalam perkauman dan agama. Sikap membangkitkan taksub bangsa dan kaum serta agama telah berjaya kita tangani selama ini, tetapi nampaknya menjelang PRU ke-13 ini para pemain politik yang agak taksub telah membangkitkan sikap melampau tentang kaum dan agama.

Dalam hal inilah para pengundi haruslah dididik dan diberikan kebebasan untuk berfikir sendiri bagi mengundi sesiapa yang sebenar-benarnya dapat mempertahankan keagongan negara dan bangsa ini, benar-benar ikhlas dan jujur dalam perjuangannya untuk kesejahteraan dan tamadun, daripada hanya mengundi orang-orang yang bermainkan taksub perkauman.

Sikap taksub dan ekstrem ini benar-benar menepati takripan pepatah kita, iaitu api itu semasa kecil menjadi kawan, dan apabila besar menjadi lawan, oleh itu janganlah bermain api tanpa sedar dan insaf.

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....