TAN SRI MUHAMMAD TAIB; DI MANAKAH SILAPNYA?
SURAT TERBUKA KEPADA TAN SRI MUHAMMAD MUHD TAIB
Saya tidak berniat untuk mempertikaikan tindakan Tan Sri
untuk menyertai PAS, kerana Tan Sri bebas memilih mana-mana parti politik untuk
kembali bergerak aktif, terutamanya apabila Tan Sri memberi alasan untuk
menyatu padukan bangsa dan mewarnai perjuangan negara dengan “roh Islam”.
Saya berbangga kerana Tan Sri memberikan contoh “roh Islam”
ini kepada saluran Radio yang di asaskan ketika saya mengetuai Institut
Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) iaitu Radio IKIM, yang disebutkan sebagai
saluran yang mendapat rating yang tinggi.
Saya pernah bergerak bersama-sama dengan Tan Sri, terutamanya ketika Tan Sri menerajui negeri Selangor sebagai Menteri Besar. Penglibatan saya dengan Tan Sri secara langsung ialah ketika menganggotai Lembaga Pengarah Kolej Islam Selangor Darul Ihsan (KISDAR) dan merancang penubuhan sebuah Bandar yang dinamakan “Bandar Ilmu” dengan konsep pembangunan bandar yang bersepadu dengan pembangunan insan, ilmu pengetahuan, ekonomi, sains teknologi, rohani dan jasmani, sesuai dengan konsep pembangunan Islam secara syumul berdasarkan “world view” atau Tasawwur Islam, yang membawa konsep atau kefahaman bahawa Islam itu adalah merupakan sistem hidup yang lengkap – Al-Deen.
Inilah sebenarnya dua agenda penting Tan Sri dalam pembangunan Islam yang melibatkan diri saya dan IKIM secara langsung ketika Tan Sri mempunyai kuasa politik dalam negeri Selangor dan pimpinan atasan UMNO.
Bagi saya, agenda pembangunan insan dan infra struktur yang dilakukan oleh Tan Sri pada masa itu, sebenarnya merupakan usaha pembangunan Islam dari segi roh dan jasadnya yang menepati agenda pembangunan Islam dan penyatuan umat yang Tan Sri lakukan dengan “political will” Tan Sri yang berjaya diterjemahkan dalam agenda negara pada masa itu, walau pun gagasan “Bandar Ilmu” tidak diteruskan oleh pemimpin negeri terkemudian, tetapi KISDAR akhirnya telah meningkat kepada status Kolej Universiti yang ulung di negara kita dengan nama barunya KUIS.
Usaha Tan Sri membangunkan negeri Selangor secara aktif dengan mengambil kira kesejahteraan rakyat berbilang kaum, terutamanya meningkatkan ekonomi dan industri orang Melayu, membuka peluang pekerjaan dan perniagaan mereka, serta menambah bilangan sekolah, termasuk sekolah integrasi agama, sebenarnya merupakan satu usaha yang sesuai dengan pembangunan Islam keseluruhannya yang dilancarkan oleh kerajaan Persekutuan di seluruh negara dalam pembangunan Islam dari segi kerohanian dan fizikal, ekonomi, perbankan dan kewangan, pendidikan sepadu agama, pembangunan surau dan masjid, kelas-kelas fardu ain dan tahfiz al-Quran, pemeliharaan alam sekitar dan kesihatan rakyat, serta pembangunan keluarga dan moral, kesejahteraan sosial dan keharmonian kaum. Inilah pembangunan holistik yang dituntut Islam untuk kita memakmurkan alam ini, iaitu yang meliputi segala dimensi kehidupan kita dalam tuntutan manusia untuk mencari “hasanah di dunia dan hasanah di akhirat”.
Hal ini dibuktikan dengan pembangunan kawasan perumahan dan perindustrian yang dilakukan semasa Tan Sri berkuasa, iaitu diantaranya termasuklah pembangunan di daerah Shah Alam, Kelana Jaya, Bangi dan lain-lain lagi, termasuk penubuhan Yayasan untuk membasmikan kemiskinan, penubuhan Universiti dan usaha-usaha pertanian, juga program pembangunan lainnya yang memberi manfaat yang besar kepada rakyat, terutamanya umat Melayu dan Islam.
Inilah sebenarnya usaha Tan Sri yang sejajar dengan dasar ekonomi baru dan peruntukan Perlembagaan negara tentang kedudukan Islam dalam negara kita disamping memenuhi kehendak penduduk Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum dan budaya, mendaulatkan institusi Raja dan sebagainya.
Yang Berbahagia Tan Sri. Inilah sebenarnya pada pandangan
saya, khidmat bakti Tan Sri kepada negara dan diri Tan Sri sendiri, yang secara
langsung atau tidak langsung berkaitan dengan “roh” Islam yang Tan Sri sebutkan
itu, kerana segala agenda dan usaha Tan Sri itu adalah merupakan satu amanah
agama yang dipikulkan kepada seorang pemimpin di dunia ini, yang merupakan
fardu kifayah yang seharusnya dilaksanakan oleh pemimpin dan umat Islam, dan
dalam karier Tan Sri, hal inilah yang telah Tan Sri lakukan sebagai menunaikan
amanah itu, iaitu membangunkan negara berdasarkan kehendak Islam yang holistik
dan global, yang termasuk di dalam ibadat khusus dan ibadat umum.
Dalam siri-siri perbincangan yang telah kita adakan dulu, iaitu diantara Tan Sri dan saya serta teman-teman di IKIM, termasuk NGO’s lain, kita sering berbicara tentang Islam yang menyeluruh, yang merangkumi fardu ain dan fardu kifayah, yang merangkumi ritual dan peraturan hidup Islam yang lengkap, Islam yang global, agama untuk dunia dan akhirat, maka diatas gagasan inilah kita cuba membantu Tan Sri untuk membangunkan Islam dan umatnya, rakyat dan negeri Selangor, bersesuaian dengan konsep ini, dan inilah ibadah kita kepada Allah SWT yang dapat kita lakukan mengikut keupayaan kita , terutamanya kuasa Tan Sri sendiri dalam politik negeri dan negara kita ini.
Dengan ini saya merasakan Tan Sri tidak perlu menoleh ke belakang dengan rasa kesal dan menganggap bahawa Tan Sri belum melakukan sesuatu untuk perpaduan Melayu dan kedaulatan Islam, kerana Tan Sri sendiri ketika mengajak kami berpadu tenaga dan pemikiran dulu juga menyebutkan bahawa segala usaha kita adalah atas nama Islam meskipun tidak kita gunakan “kata-kata” atau “lambang” Islam. Malah segala agenda pembangunan yang cuba dilakukan Tan Sri itu sememangnya merupakan satu amalan yang diserapi roh ajaran Islam sama ada disedari atau tidak disedari.
Seperti yang telah saya sebutkan di atas, pembangunan Islam adalah meliputi pembangunan kepelbagaian dimensi, iaitu pembangunan sakhsiah manusia dari segi moral dan rohani, doa, zikir, amalan fardu ain harian dan sebagainya. Dimensi lainnya ialah pembangunan menyeluruh Islam untuk kesejahteraan dunia dan akhirat yang hanya dapat kita lakukan dengan berpandukan ilmu akli dan “naqli” bersumberkan ilmu wahyu dan akal manusia, dan hal inilah yang dilakukan dalam segala bidang pembangunan negara kita dalam agenda Islam yang menyeluruh, dan Tan Sri merupakan sebahagian dari jenteranya ketika Tan Sri berkuasa di dalam bidang politik negara. Inilah sebenarnya agenda Islam yang dilakukan sejak dulu hingga sekarang di negara kita, yang mungkin pada sesetengah umat Islam tidak dilihat sebagai satu usaha untuk agama Allah, kerana kefahaman Islam mereka masih terhad di dalam dimensi yang sempit sahaja.
Memang dari segi peribadi, kita semua menyedari akan kelemahan dan kekurangan masing-masing, terutamanya ketika umur kita meningkat. Mendektkan diri kepada Allah merupakan cara tabie kita tanpa mengira latar belakang dan ideologi politik kepartian. Ajaran al-Quran dan Sunnah, konsep dan cara pengabdian diri kepada Allah, sujud dan rukuk, beribadat dan bertaubat, serta kepelbagaian bentuk dan cara perhambaan diri sendiri sebagai individu dan peribadi selaku hamba Allah, sebenarnya tidaklah berlaku dengan parti politik yang tertentu, kerana parti politik itu bukanlah satu agama menurut konsep agama yang di turunkan oleh Allah kepada manusia melalui para Rasul-Nya. Semuanya ini adalah berpaksikan kepada diri kita dan perhubungannya yang jujur dan ikhlas kepada Pencipta kita, Allah SWT.
Tan Sri tidaklah harus menoleh ke belakang dengan rasa kesal dan hampa, malah pandanglah ke hadapan penuh bangga dengan apa yang Tan Sri telah lakukan dalam hidup Tan Sri sebagai seorang ahli politik dan pentadbir dalam jentera pembangunan negara yang berwibawa,.
DR ISMAIL IBRAHIM
KP IKIM (1992 – 2002)
Comments
Post a Comment