BUKAN ISLAM MASUK MASJID ATAU SURAU :
TINDAKAN TIDAK BERETIKA
Nampaknya semua isu yang lahir dalam masyarakat kita akhir-akhir ini serta merta menjadi isu politik partisan yang sempit dan penuh taksub. Isu agama pun menjadi isu politik kepartian sebelum isu itu dibincangkan dari segi hukum hakam, dari segi fatwa dan sebagainya. Bila saya sebut tentang politik dan negara, orang selalu salah faham dengan mengatakan bahawa saya cuba nak pisahkan agama dari pemerintahan negara. Saya maksudkan politik disini ialah politik sempit, politik kepartian yang menyebabkan orang taksub dan fanatik, sehingga memandang dan meanggap parti politik tertentu itu sebagai "agama" iaitu parti politik itu sahaja yang memperjuangkan agama, yang mendaulatkan agama, sedangkan parti politik Melayu lainnya adalah sekular, tidak mau agama dan sebagainya, dan hal ini menjadi lebeh rumit kerana orang yang bercakap itu tidak memahami apa yang dibicarakannya.
Contohnya ambil saja isu orang bukan Islam yang memasuki ruang solat masjid atau surau. Hal ini telah dibuat peraturan oleh pihak otoriti agama negeri beberapa lama dulu, iaitu tidak dibenarkan. Orang bukan Islam dibenarkan masuk masjid di luar kawasan ruang solat, dan wanita yang melakukan lawatan hendaklah menutup aurat, kalau telah berpakaian yang tidak menutup aurat, maka pakaian menutup aurat telah disediakan.
Ahli Parlimen wanita yang memasuki ruang solat di sebuah surau di Kajang baru-bariu ini mungkin telah dipertikaikan kerana ianya seorang wanita dan kepalanya terbuka, tidak ditutup. Tetapi pada pandangan saya isu itu tidak menjadi terlalu besar sekiranya ia hanya seorang biasa. Yang menjadi isu besar pada pandangan saya ialah kerana ia seorang ahli politik dari satu parti politik, maka pihak parti politik lawannya mempertikaikan kehadirannya di situ yang dianggap dari awalnya lagi telah membawa misi politik, buktinya kerana pihak yang berkongsi politiknya yang terdiri dari orang Islam, berpakaian agama pula, kelihatan menerima kehadirannya.
Apabila kehadirannya dipertikaikan, terutamanya oleh parti politik, maka parti politik lawan, yang berpakat dengan ahli Parlimen wanita itu akan mempertahankan perbuatan ahli Parlimen tersebut. Lalu terjadilah pertembungan besar, sehingga melibatkan ketua-ketua tertinggi parti politik tersebut.
Bagi saya, terlepas dari fatwa atau hukum dari sudut syariah, kehadiran ahli Parlimen wanita ke dalam ruang solat surau tersebut boleh dielakkan, iaitu dengan mengadakan perjumpaan di luar surau. Kedua, isu ini tidak seharusnya dipolitikkan sehingga menjadi isu hitam putih, iaitu parti Pakatan bermati-matian mempertahankannya, dan parti BN mempertikaikannya. Media pula memperbesar-besarkan hal ini, seolah-olah dunia sudah nak kiamat dengan peristiwa ini.
Inilah sebenarnya isu yang berlaku akhir-akhir ini, iaitu yang menunjukkan bahawa agenda politik kepartian yang sempit sentiasa diutamakan, dan isu tatasusila, etika, moral dan budaya kita diketepikan. Saya rasa sekiranya kita berpandukan kepada budaya dan etika masyarakat negara kita yang berbilang kaum dan telah mengharungi kehidupan aman damai begitu lama, maka sepatutnya semua rakyat haruslah memberikan perhatian yang berat kepada mempertahankan etika, budaya dan moral kita masing-masing.
Surau dan masjid mempunyai etika dan adab tatasusilanya yang tersendiri sejak lama lagi. Orang bukan Islam saya rasa bukanlah berminat sangat untuk masuk kedalam masjid atau surau, malah mereka menganggap bahawa ruang masjid atau surau adalah menjadi hak ekslusif untuk orang Islam.
Kita orang Islam pun kalau tidak berhajat untuk solat, hanya berhajat untuk berehat dan berbual-bual, kita tidak masuk sehingga ke hadapan mimbar, depan mehrab atau ruang solat imam ketika berjemaah. Kita lebeh selesan berada diluar ruang itu.
Kalau kita adakan majlis pun yang bukan majlis bacaan Al-Quran, solat hajat dan sebagainya, kita selalu adakan di luar ruang solat, seperti di dalam dewan dan sebagainya.
Tetapi yang berlaku pada hari ini, orang bukan Islam itu diajak masuk sehingga kedalam ruang yang amat penting itu, dan membawa orang bukan Islam yang berpengaruh dalam politik kepartian. Orang awam akan segera mentafsirkannya sebagai satu tindakan mencari pengaruh politik, dan termasuk dalam program menjalan aktiviti politik kepartian di dalam masjid atau surau.
Hal inilah agaknya yang menyinggung perasaan orang Islam, dan saya percaya majoriti orang Islam merasa tidak selesa dengan tindakan ini, kerana walau pun dari segi hukumnya telah difatwakan tidak menjadi tegahan, tetapi dari segi etika dan budayanya hal ini agak keterlaluan, jadi tindakan ini dianggap satu tindakan yang tidak beretika.
Kita sebagai masyarakat majmuk di Malaysia ini, tidak hanya bertindak melakukan sesuatu itu berdasarkan undang-undang sahaja, kerana memang banyak perkara yang tidak menyalahi undang-undang yang tidak seharusnya kita lakukan kerana budaya dan etika kita memandangnya tidak baik dan tidak manis. Hidup kita bukan hanya berpandukan kepada undang-undang, tetapi bersendikan adat istiadat dan budaya serta etika kita sendiri, yang tidak wujud di negara lain.
Seba itulah masyarakat kita menjadi harmoni dan aman damai selama ini, kerana selain daripada undang-undang yang bertulis, maka banyak lagi undang-undang yang tidak bertulis yang sentiasa kita hormati selama ini sebagai satu rukum perdamaian di dalam masyarakat kita ini, seperti tradisi adab sopan, etika dan nilai-nilai moral kemasyarakatan yang baik dan sebagainya.
Hal inilah yang seharusnya menjadi satu asas kehidupan kita dalam masyarakat majmuk, terutamanya pada masa-masa yang terakhir ini, yang nampaknya isu perkauman dan agama kelihatan tidak terkawal lagi, dan kita dalam hal ini tidak perihatin sangat dengan perasaan orang lain demi kepentingan politik parti atau individu yang melampau. Perpecahan diantara orang Islam dengan saudaranya orang Islam juga semakin menjadi-jadi, tuuduh menuduh, perasangka, prejudis, kata mengata, dan berbagai-bagai lagi perbuatan yang tidak baik, yang ditegah agama.
Yang amat menyedihkan, umat Islam di Malaysia seolah-olah telah dipecahkan kepada dua golongan mengikut anutan ideologi politik kepartian mereka, dan diantara dua kumpulan itu, tidak terdapat ruang untuk orang-orang yang berkecuali, yang tidak taksub parti, ilmuan, dan sebagainya, mereka seolah-oalh menjadi orang yang tersisih kerana tidak taksub kepada parti politik, akhirnya orang yang sepatutnya menjadi orang tengah ini tidak mahu melibatkan diri dalam perdebatan isu-isu agama itu, takut dianggap sebagai orang anti agama, kafir, Kristian, dan sebagainya.
Saya akan tetap mengeluarkan pandangan dan pendapat saya, biarlah apa yang hendak dicopkan orang kepada saya. Saya bukan hamba mereka, dan bukan bekerja untuk mereka.
Comments
Post a Comment