SELEPAS RAYA......APA PERUBAHAN KITA
Kita di Malaysia masih beraya. Mengikut budaya kita, kita beraya sebulan, sehingga selesai bulan Syawal, malah dalam mengadakan rumah terbuka, kita mungkin akan melampaui bulan sayawal bagi mendapatkan cuti hujung minggu untuk mengadakan jamuan raya.
Namun apa pun yang kita cuba lakukan untuk menghidupkan rasa persaudaraan dan kemesraan diantara keluarga, sahabat handai dan jiran tetangga, satu hal yang harus kita ingat ialah penghayatan Hari Raya kita itu yang seharusnya sejajar dengan semangat dan ruh agama kita yang menuntut keikhlasan, perpaduan, jauhkan benci membenci, umpatan, apa lagi fitnah memfitnah, dendam kesumat dan berbagai-bagai perasaan buruk yang sering melanda hati dan perasaan manusia.
Banyak juga tregedi yang menimpa kita rakyat negara ini menjelang Hari Raya tahun ini. Kekejaman hati manusia, yang mungkin pada zaman dulu tidak pernah kita gambarkan, berlaku di dalam zaman kita, pada kurun 21, alaf baru ini, seperti kejadian pembunuhan yang kejam sesama manusia yang memberikan gambaran bahawa bagi sesetengah orang, nyawa manusia itu adalah sama dengan nyawa seekor semut atau lipas, unggas melata yang amat murah dan sering dapat dihapuskan pada bila-bila masa sahaja.
Beberapa kes pembunuhan telah berlaku di sana sini di dalam negara kita yang amat menyedihkan. Terdapat jiran yang disyakki melakukan pembunuhan terhadap jirannya, seorang ibu dan anak yang malang, hanya semata-mata kerana tuntutan kebendaan yang tidak seberapa.
Kemuncak pembunuhan yang menjadi sejarah hitam bagi negara kita menjelangnya Hari Raya lalu, ialah pembunuhan kejam yang dilakukan terhadap jutawan Sosilawati dan beberapa orang yang lain. Pembunuhan kejam yang dilakukan dengan amat rapi dan penuh rahsia, hampir-hampir tidak dapat dikesan tanpa kecekapan anggota polis kita yang seharusnya diberikan pujian kerana membongkar kes pembunuhan kejam ini.
Inilah "penyakit hati" yang digambarkan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran, iaitu tentang hati batu dan kejam manusia ketika berhadapan dengan cabaran nafsu seperti yang pernah dilakukan oleh kaum musyrikin ketika memusuhi, menyakiti dan kalau mungkin, ketika mereka mencuba untuk menghapuskan peribadi dan misi Rasulullah SAW untuk menyibarkan agama Islam yang maha suci. Kaum yang mengalami "penyakit hati" yang amat parah inilah yang sanggup melakukan sebarang tindakan tidak berperi kemanusiaan untuk menggagalkan misi Rasulullah SAW itu.
Maka penyakit hati inilah juga yang sedang berleluasa di dalam masyarakat kita pada hari ini, yang membawa kepada perlakuan sumbang, keji, dosa, maksiat, melanggar ajaran murni agama, gejala sosial yang parah, hilangnya rasa kemanusiaan dan kerohanian dan sebagainya. Kata nista dan umpat mengumpat amat lumrah berlaku di kalangan anggota masyarakat kita pada hari ini. Singgung menyinggung telah menjadi amalan kebanyakan anggota masyarakat, terutamanya di kalangan kumpulan yang bersaing dan berlawan di dalam kepelbagaian bidang kehidupan di dunia yang penuh mencabar ini, iaitu sama ada untuk merebut kuasa, benda, pangkat, kedudukan dan 1001 kehebatan dunia tanpa menghiraukan lagi nilai-nilai murni agama, moral, etika, budaya dan undang-undang juga.
Dalam persaingan ini, orang menjadi fanatik, taksub, hanya menjaga kepentingan peribadi dan puak, dan akan menyerang sesiapa sahaja yang difikirkannya bertentangan dengan pendirian dan ideologi sosial, politik dan kaum serta agamanya, secara melulu tanpa ilmu dan akhlak lagi. Hentaman peribadi dan kutukan personaliti sering dilakukan tanpa segan silu lagi.
Kita telah dipisahkan oleh masa dan cabaran material dan kuasa, serta di kuasai oleh semangat konsumarisme yang terlalu berat pada hari ini, sehingga bahang dan suhu puak, kaum, agama, politik, kebendaan, ekonomi, perdagangan, kelihatan amat tinggi dan berleluasa seolah-olah tidak dapat di sejukkan lagi.
Penyakit ini yang telah melanda banyak kalangan di dalam masyarakat di negara-negara lain, termasuk bunuh membunuh, pertumpahan darah, pergaduhan kaum dan agama, nampaknya mulai menjalar ke dalam masyarakat kita ini, dan semuanya ini adalah kerana rosaknya bisikan hati manusia, iaitu menurut apa yang disifatkan oleh al-Quran sebagai "bahawa di dalam hati mereka terdapat penyakit, maka Allah telah tambahkan penyakitnya itu" iaitu dengan tujuan untuk menduga mereka supaya kembali ke pangkal jalan, dan bagi saya "penyakit hati" inilah yang seharusnya cuba kita ubati menjelangnya Hari Raya setiap tahun, termasuk ketika kita merayakan Hari Raya yang masih kita rasakan bahangnya pada hari ini, iaitu kita hendaklah "membersihkan" hati masing-masing, menambahkan rasa ikhlas dan jujur sesama sendiri, menjaga kepentingan bersama, dan menjadi umat yang bertamadun, berilmu pengetahuan yang luas serta berperadaban tinggi.
SELAMAT HARI RAYA, MINAL'A'IDIN AL FAIZIN AL MAQBULIN.
Pasti ada yang tidak kena, sebab itu berlakunya apa yang Profesor nyatakan dalam tulisan ini.
ReplyDeletetetapi malangnya masih ada yang tidak mengakui sebab musababnya.
Ibu bapa menyalahkan anak anaknya kerana enggan lakukan kebaikan , anak anak menyalahkan ibubapa kerana gagal mendidiknya.
Demikian juga pihak kerajaan yang tetap menyalahkan rakyat, kerana malas, jahat dan kotor hati.
Betul ke begitu, sedangkan banyak benda yang tidak kena dilaksanakan oleh kerajaan, termasuk menghalalkan arak ibu segala kejahatan.
oleh itu sampai bila bila pun permasaalahan rakyat di negara malaysia tidak dapat diselesaikan jika kerajaan tetap dengan agenda jahatnya dengan syariat Allah.