KENYATAAN MUFTI PERAK
Saya tidak berniat hendak menyokong atau membangkang kenyataan Mufti Perak yang mengatakan bahawa Perdana Menteri telah "Menggadaikan Akidah" nya kerana menghadiri perayaan Thaipusam di Batu Cave. (Laporan Malaysian Insider 10 Februari 2012).
"Menggadaikan akidah" adakah bermakna mencemarkan akidah? Menggadaikan akidah adakah bermakna terkeluar dari akidah Islam, dan seterusnya menjadi syirik?
Kalau inilah maksud menggadaikan akidah yang disebutkan oleh Mufti Perak itu, maka hal ini telah menjadi satu fatwa yang amat berat dan serius kepada umat Islam, terutamanya kepada batang tubuh Perdana Menteri sendiri, dan pihak bertanggung jawab tentang agama di negara kita haruslah memberikan perhatian yang serius juga kepada fatwa ini.
Hal yang berhubung dengan akidah bukanlah perkara mudah, kerana akidah merupakan keimanan kepada agama Islam itu sendiri, dan akidah yang tergadai sekiranya dimaksudkan akidah yang telah tercemar atau terkeluar dari akidah Islam, maka orang itu dengan sendirinya menjadi tidak mukmin dan tidak Islam, syirik dan kafir.
Apakah pengertian ini yang dimaksudkan oleh Mufti Perak dengan ungkapan Menggadaikan Akidah itu? Juga kenyataannya tentang perbuatan syirik yang dilakukan oleh Perdana Menteri itu.
Hal ini menjadi lebeh ringan sekiranya maksud menggadaikan akidah itu ialah melakukan satu perkara dosa terhadap Allah dan Rasul-Nya, keerana orang yang berdosa itu tidak akan rosak akidahnya dengan hanya melakukan dosa selagi tidak terang2 melakukan perbuatan yang merosakkan akidahnya.
Hal inilah yang perlu diperjelaskan supaya umat Islam tidak menjadi keliru dengan fatwa Mufti Perak tentang orang Islam yang menyertai perayaan tersebut.
Mungkin Jakim, Majlis2 Agama Negeri, Majlis Fatwa Kebangsaan, malah DYMM Raja2 Melayu sendiri sebagai Ketua Agama Negeri2 perlu segera mengambil tindakan bagi membincangkan fatwa Mufti Perak ini dan memberikan keputusan yang muktamad dalam isu ini.
Isu seberat ini tidak mungkin dilihat sebagai satu perselisihan pendapat atau perbezaan pandangan sahaja, seperti perbezaan pentafsiran dalam hal2 ranting dalam agama Islam kita. Hal akidah bukan lagi merupakan masalah kecil, seperti masalah perbezaan mazhab dalam beberapa hukum cabang yang dikenali sebagai masalah Furu' bukan masalah usul. Hal akidah adalah merupakan hal iman, Islam seseorang. Hal yang fundemental bagi seorang Islam.
Hal ini merupakan fatwa untuk seluruh negara dan seharusnya mendapat ijmak ulamak di negara kita ini, terutamanya kerana kita mempunyai institusi dan agensi agama yang berotoriti.
Sebab itulah telah saya katakan di atas, saya, sebagai seorang individu, tidak dapat menyokong atau membangkang fatwa seorang Mufti, namun fatwa seorang Mufti tidaklah seharusnya mencerminkan fatwa negara seluuruhnya, kerana kita mempunyai badan agama, dan institusi Raja2 yang merupakan institusi agama di seluruh negara kita ini.
Jawapan yang rasmi terhadap fatwa yang tersebut haruslah disegerakan, kerana fatwa ini mungkin mengelirukan umat Islam di negara kita keseluruhannya, sekiranya tidak dimuktamadkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan seterusnya disahkan oleh Majlis Raja2 sendiri.
Comments
Post a Comment