VALENTINE'S DAY

Hari ini 14 Februari, hari valentine. Anak2 muda, lelaki perempuan, segala kaum dan agama, mengetahui bahawa hari ini ialah hari para kekasih membaharui cinta kasihnya, lambangnya bunga ros, hadiah cincin dan lain2 yang menunjukkan kasih dan cinta yang diperbaharui. Namun dalam membaharui kasih, atau mulai memupuk cinta kasih, pasangan lelaki perempuan mungkin melangkah lebeh jauh dalam memadu cintanya itu, membawa kepada perbuatan dosa dan maksiat dalam istilah kita orang Islam, yang bagi penganut agama lain mungkin merupakan perkara biasa, kerana ajaran agama yang berbeza2.


Inilah konsep dan pengertian hari valentine yang difahami oleh kebanyakan anak2 muda kita, walau pan dalam falsafah perayaan ini kita mengetahui akan hubungannya dengan agama Kristian, tetapi hal ini sering dilupakan sahaja, sehingga perayaan valentine menjelma menjadi perayaan budaya sahaja.




Namun dari sudut perayaan budaya ini pun, bagi kita orang Islam, perayaan ini sepatutnya tidak dihampiri, dalam kaedah feqh yang menegaskan bahawa sebarang pintu yang membawa kepada maksiat itu haruslah di tutup (sadduz-zarai'i). Kita menganggap bahawa merayakan hari Valentine ini merupakan satu lesen yang amat lumrah untuk orang2 yang merayakannya melakukan maksiat dan dosa, sebab itulah pintu maksiat ini seharusnya di tutup.




Namun begitu kita tentulah tidak melarang orang bukan Islam merayakan hari ini. Mereka sering mempunyai kepercayaan kepada agama, atau tidak mempercayai agama sama sekali, maka hal itu adalah masalah mereka. Mungkin ajaran agama mereka hanya mengunjungi rumah2 ibadat pada masa yang tertentu. Mungkin dalam agama mereka tidak ada dosa dan maksiat dalam pengertian dosa dan maksiat seperti ajaran agama kita Islam.




Oleh itu isu utama bagi kita orang Islam ialah bagaimanakah memperkuatkan keimanan kita kepada ajaran agama, bagaimanakah pendidikan dan pelajaran agama kita yang diajarkan secara rasmi di sekolah, kolej dan universiti, dapat benar2 mendidik hati dan rohani anak2 kita supaya sentiasa mempunyai benteng taqwa yang mencegah mereka daripada melakukan maksiat dan dosa, tidak kira pada ketika dan perayaan mana sekali pun?




Soalannya juga bagaimanakah kita dapat memperkuatkan kesan pendidikan secara tidak formal dalam institusi masyarakat, keluarga dan sebagainya yang juga mampu untuk menghidupkan rohani dan hati nurani supaya tidak melakukan sebarang perbuatan yang bercanggah dengan sistem moral dan akhlak serta ajaran agama kita?




Dalam Hadith Jibrial tersebut kisah : bahawa satu hari ketika Baginda Rasulullah SAW duduk dalam majlis ilmu dengan para sahabatnya di dalam masjid, tiba2 datang seorang lelaki tampan, berpakaian puteh melepak, duduk mengadap baginda, dan bertanya tentang apakah itu Islam, Iman dan Ihsan.




Jawapan tentang pengertian Ihsan yang diberikan oleh baginda itulah yang rasanya dapat menjadi panduan dan pengajaran yang amat berkesan kepada manusia supaya tidak mahu melakukan maksiat dan dosa.




Jawapan tentang Ihsan ialah :Kamu menyembah Allah seolah2 kamu melihat-Nya, dan sekiranya kamu tidak melihat-Nya maka Dia tetap melihat kamu. Ertinya Ihsan mendidik hati dan jiwa raga kita supaya menjadi makhluk yang benar2 sedar akan kewujudan Allah, kekuasaan-Nya, malah kesedaran manusia bahawa semua tindakan dan perbuatannya sentiasa diawasi Allah, di tulis oleh Malaikat, dan akan dibalas pada hari akhirat nanti, sama ada baik atau jahat.




Sebab itulah telah saya sebutkan di atas bagaimanakah teori dan ungkapan tentang pengertian Ihsan ini boleh diterjemahkan dalam pendidikan kita, diwujudkan mekanisme yang kuat untuk manusia merialisasikannya dalam kehidupannya? Memahami dan berilmu tentang Ihsan, Iman dan Taqwa, dan dalam masa yang sama menjadi benteng untuk tidak melanggarnya, melakukan dosa dan maksiat.




Pada masa kini kita mungkin berilmu, kita tahu dosa pahalanya, amal soleh dan makruf, mungkar dan dosa, tetapi manusia masih melakukan dosa sedangkan dia tahu bahawa pebuatannya itu adalah dosa. Tahu tetapi tidak beramal, nantilah kemudian bertaubat dan beramal...




Dalam pengajaran agama, kita sering berhenti setakat falsafah luaran dan teori2 yang unggul, tetapi tidak kita cuba menterjemahkannya menjadi sistem hidup yang praktikal dan berbentuk amali, menjadi baja dan air yang disirami dalam ruh dan perasaan dalaman manusia itu ssendiri, yang dalam istilah inggeris sebagai God fearing people, atau manusia yang bertaqwa dalam pengertian yang sebenarnya.




Berdasarkan hal ini, maka kaedah menutup pintu maksiat seperti mencegah orang Islam merayakan hari valentine yang sering membawa kepada dosa dan maksiat itu adalah merupakan langkah jangka pendek dan bermusim, kerana dalam kaedah jangka panjangnya kita haruslah menterjemahkan konsep dan penghayatan Ihsan itu ke dalam segala aspek kehidupan kita, tindakan, pengucapan, keimanan dan ketaqwaan kita,meresap ke dalam jiwa raga dan conscience kita....




Masanya telah tiba untuk para cendekiawan Islam, melihat sudut pendidikan sebagai satu mekanisme yang berkesan ke arah mencapai matlamat ini, iaitu sistem dan kurikulum, kaedah mengajar dan latihan guru, buku teks dan sebagainya haruslah dikaji semula dengan penuh tekun, supaya pendidikan kita merupakan satu sistem pendidikan yang meresap masuk kedalam hati dan ruh kita, tidak hanya merupakan permainan bibir mulut dan retorika serta simbolik luaran semata2..




Dunia telah berubah dengan pesatnya dalam bidang teknologi dan sains, ekonomi dan bisnes, ilmu dan pengetahuan, komputer dan i-pad, telefon bimbit dan i-phone, maka pendidikan kita juga haruslah berubah dari segi pengajaran dan pengisian otak angkatan muda sekarang dengan kaedah dan cara yang moden, supaya agama menjadi satu pelaburan yang amat baik untuk melahirkan generasi muda yang bertaqwa dan beriman.




...dengan itu kita telah mencuba menutup pintu maksiat dan dosa ini dalam jangka panjangnya,,baik pun dosa yang dilakukan pada hari valentine atau hari2 sosial dan budaya lainnya, hari cuti umum..dan sebagainya..yang juga sering menjadi pintu kepada maksiat dan dosa.




Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....