KENYATAAN YANG MENDAHULUI MASA

Terdapat dua kenyataan akhbar yang mendahului masa, dan amat mengganggu pandangan awam. Pertama : Kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) yang diberitakan oleh The Wall Street Journal (WSJ) tentang keselamatan Israel. Kedua : Kenyataan Samahah Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria tentang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang telah dilebalkan sebagai "menggadaikan akidah" kerana menghadiri perayaan Thaipusam yang lalu seperti yang disiarkan oleh portal Malaysian Insider.




Kedua-dua kenyataan ini menyentuh isu besar dan serius, satu tentang dasar negara dan pandangan umum masyarakat Islam dan negara2 yang cintakan keamanan terhadap penjajahan Israel ke atas negara Palestin, kedua mengenai "gadaian akidah", yang membawa kepada syirik berikutan kehadiran PM ke perayaan Thaipusam baru2 ini.




Kedua2 kenyataan ini menimbulkan reaksi dari masyarakat setempat dan antarabangsa, kerana dalam zaman siber ini segala berita yang tersiar akan dapat diikuti di seluruh dunia dalam masa yang amat singkat.




Dua orang yang membuat kenyataan ini pun, sepanjang yang saya tahu, tidak pernah membuat sebarang penapian tentang kenyataan mereka itu, yang memberi erti bahawa mereka tidak melihat berita itu sebagai salah, atau salah petikan, maka dengan itu, orang ramai mendapat kepastian bahawa kenyataan itu adalah benar2 keluar dari mereka.




Berhubung dengan kenyataan yang kedua, saya telah menyuarakan dalam blog ini, dan telah dipetik oleh media, supaya kenyataan yang dibuatkan oleh Mufti Perak itu hendaklah segera diberikan perhatian yang serius oleh pihak berkuasa agama negara kita, supaya dapat dijelaskan dengan secara ilmu dan hikmah, agar umat Islam tidak terperangkap di dalam keadaan yang mengelirukan ini.




Dan alhamdulillah, nampaknya pada hari ini, Khamis 16/2, media telah menyiarkan kenyataan baru dari Mufti Perak yang mengatakan bahawa "Kehadiran PM dalam perayaan Thaipusam itu, sebagai seorang pemimpin, tak menyalahi hukum syarak". Kenyataan baru ini juga memberi pengertian bahawa Mufti Perak telah dengan sendirinya mengeluarkan fatwa baru yang berlainan sama sekali dengan kenyataannya sebelum ini, yang, dalam kenyataan yang lepas itu, beliau dipetik sebagai berkata bahawa beliau telah tiga tahun menasihati PM supaya tidak menghadiri perayaan itu, tetapi tidak diindahkan oleh PM.




Sungguh pun kenyataan ini agak terlewat dan berbeza sama sekali dari kenyataannya yang dibuat sebelum ini tentang isu yang sama, namun kita haruslah mengambilnya dengan hikmah dan positif, tak perlulah dipersoalkan lagi kenapa dan mengapa...?? Biarlah masing2 mengambil pelajaran yang berguna tentang hal ini, terutamanya isu2 yang berhubung dengan fatwa.




Cuma tinggal satu lagi "fatwa" yang belum dijelaskan oleh pengeluarnya, iaitu isu keselamatan negara Israel seperti yang saya sebutkan di atas. Nampaknya DSAI tidak membuat sebarang "fatwa" baru tentang hal ini.




Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz telah membuat kenyataan bahawa DSAI seharusnya menarik balik kenyataan nya itu, atau sekiranya WSJ tersalah lapor, maka DSAI haruslah mendakwa akhbar itu segera.




Demikianlah padahnya kenyataan akhbar yang sering dibuat akhir2 ini, yang saya anggap amat mendahului masa dan keadaan, sehingga kenyataan akhbar begini banyak mengundang kontraversi yang serius, malah kalau terdapat penarikan balik kenyataan itu pun, ianya sering dilakukan setelah masyarakat memberikan reaksi yang negatif.




Bagaimana pun setelah satu dari dua kenyataan akhbar yang saya sebutkan di atas, nampaknya telah dapat meredakan suasana, maka sekarang ini kita masih menunggu apakah yang akan berlaku, dan apakah kesudahannya bagi kenyataan akhbar kedua dari DSAI akan berakhir, atau akan kekal begitu sahaja....Wallah A'lam

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....