APAKAH UMNO DAN PAS HARUS BERSATU?

(BAHAGIAN KEDUA)

Memperjuangkan Islam sebagai agenda politik kepartian, akan membawa kepada sikap dan sifat taksub partisan diantara ketua-ketua dan pengikut parti politik masing-masing, dan akibatnya ruh dan semangat ukhuwah Islamiah yang di bawakan oleh Nabi kita yang menjadi tulang belakang kekuatan umat tidak mungkin dapat direlisasikan sama sekali.

Dan sekiranya falsafah dan perlaksanaan semangat persaudaraan Islam itu telah terhakis oleh agenda politik partisan, maka apakah lagi yang diharapkan dalam perjuangan kita untuk membangunkan Islam sebagai agama dinamik bagi kesejahteraan kita bersama di dunia dan akhirat.

Saya melihat pertembungan PAS dan UMNO sekarang ini bukanlah pada dasar perjuangan untuk memahkotakan Islam sebagai agama. Tetapi pertembungan itu lebeh memfokuskan kepada pentafsiran Islam itu sendiri dalam banyak perkara. Pertamanya ialah tentang slogan yang diletakkan sebagi lambang parti: bahawa parti itu berjuang untuk Islam, dan parti ini tidak berjuang untuk Islam, parti ini mahu Islam, dan parti itu tidak mahu Islam, parti itu sekular, dan parti ini Islam, dan berbagai-bagai slogan lain yang lebeh merupakan perbincangan retorika, tanpa menyentuh falsafah dan agenda yang diimplementasikan oleh parti-parti berkenaan sama ada islamik atau tidak.

Perbincangan tentang “isme-isme” itu sebenarnya bukanlah dapat dibuat sambil lewa berasaskan tanggapan peribadi sahaja. Sekularisme, nasionalisme dan isme-isme yang lain mempunyai falsafah dan takrifannya yang panjang dengan perspektif dan refleksinya yang menjelma dalam program dan agenda kerja sesebuah organisasi itu, tambahan pula apabila kita ingin melihat konsep dan falsafah serta agenda isme-isme yang tertentu itu dari perspektif agama.

Oleh itu ingin saya tegaskan sekali lagi di sini, bahawa andaian kita, dengan penggabungan dua buah parti Islam ini akan menyelesaikan masalah dalaman umat Islam di negara kita ini, adalah merupakan andaian yang belum diuji keberkasanannya, tambahan pula kedua buah parti ini pernah bergabung dalam membentuk kerajaan satu ketika dulu, yang berakhir dengan perpecahan semula.

Bagi saya perpecahan umat Islam di negara kita dapat dielakkan dengan memperbetulkan proses dalaman politik kepartian masing-masing. Elakkan sikap untuk menjatuhkan hukuman kepada parti Islam lain dari segi slogan dan matlamat perjuangan, elakkan politik konfrantasi dan politiking sempit, serta gejala tuduh menuduh, fitnah memfitnah, sehingga membangkitkan emosi melulu.

Satu perkara penting yang seharusnya dielakkan ialah melebalkan orang lain yang tidak sependapat dengan kita sebagai menyeleweng. Malah dalam syariah kita sendiri, perbezaan pendapat dan pandangan dalam perkara ijtihad, yang termasuk dalam kategori “khilaf” atau “ikhtilaf” itu adalah merupakan perkara biasa, asalkan perkara itu tidak bercanggah dengan prinsip dan dasar yang fumdemental dalam ajaran agama kita.

Malaysia dilindungi oleh perlembagaan. Dalam perlembagaan itu, telah di peruntukkan bahawa Islam adalah agama negara, dan SPB Yang Di Pertuan Agong sendiri dalam sumpah ikrarnya menerima jawatan Yang di Pertuan Agong telah berikrar akan mempertahankan agama Islam. Oleh itu saya beranggapan bahawa Kerajaan yang memerintah haruslah melaksanakan peruntukan Perlembagaan ini, dan tidak sewajarnya Kerajaan itu akan berbentuk sekular, walau pun dari segi pentafsirannya terdapat kalangan politik yang mengatakan sebaliknya seperti DAP yang mengatakan bahawa negara ini adalah negara sekular.

Mengelakkan politiking murah atas nama Islam adalah merupakan satu syarat asasi dalam mewujudkan perpaduan umat Islam dalam memperjuangkan hak agama dan hak umat Islam itu sendiri dalam mematuhi undang-undang dan peraturan agama itu.

Para pengikut parti politik seharusnya memahami apakah sebenarnya Islam itu di luar sempadan-sempadan kepartiannya, terutamanya mengelakkan diri dari terperangkap kepada propaganda dan dakwaan ketua-ketua parti politik tentang Islam itu sendiri. Mempelajari Islam tidaklah seharusnya dari mulut ahli politik yang mempunyai kepentingan dan bersifat partisan melulu. Demikian juga Islam itu bukanlah dapat difahami dengan baik dari pentas pidato politik dalam kempen-kempen pilihan raya untuk memancing undi.

Para pimpinan politik sendiri janganlah menggunakan segala-segalanya, termasuk agama untuk berkuasa dan menjadi pemimpin negara. Niatnya mestilah ikhlas untuk memperjuangkan agamanya dalam bentuk yang sahih dan betul. Jangan kelirukan orang ramai dengan latar belakang pendidikan agamanya untuk tujuan politik kepartian.

Kalau semuanya ini dapat dilakukan, maka saya percaya bahawa salah satu elemen yang memecah belahkan kita, iaitu elemen politik dalaman, akan dapat kita hapuskan, atau kurangkan sekiranya tidak dapat dihapuskan sama sekali.

Kelemahan umat Islam dan perpecahan mereka juga sebenarnya mendedahkan mereka kepada tekanan luar yang lebeh merbahaya lagi. Tekanan luar ini dapat berlaku sesama kita dalam sesuatu negara, tidak semestinya seperti tekanan dari luar dalam konteks perpecahan umat Arab, iaitu yang datangnya dari Barat.

Pada masa ini pun kita dapat merasakan tekanan yang hebat dari luar apabila dalam kes-kes dan isu-isu tertentu kita berselisih pendapat tentang isu itu, seperti isu kalimah Allah umpamanya yang mengundang kepelbagaian tafsiran dari orang Islam sendiri berdasarkan di mana mereka berdiri dan di atas paltfom politik manakah mereka berada, sehingga tidak dapat dinafikan bahawa isu-isu seperti ini juga sedang dipolitikkan oleh orang ramai, termasuk orang Islam dari kepebagaian ideologi politik semata-mata untuk mendapat undi dalam pilihan raya.

Dalam keadaan ini, amat dukacita sekali, saya sering merasakan bahawa kita orang Islam sering membincangkan isu-isu berdasarkan partisan, sentimen dan emosi, dan ketika kita bertindak demikian maka dengan sendirinya kita telah menyempitkan ruang lingkup Islam itu sendiri sebagai satu cara hidup yang lengkap, sedangkan dalam realitinya Islam itu adalah amat luas skopnya, dan bersifat global untuk semua manusia.

Menurut pengalaman saya selama ini para srjana bukan Islam pula yang sering berusaha membuat kajian tentang isu-isu Islam semasa dari perspektif global, ketika kita sebuk berdebat sesama sendiri tentang isu-isu mengenai fatwa dan hukum-hakam yang telah lama diselesaikan, dan kita semua seolah-olah dapat bertindak menjadi hakim untuk menghukum orang lain.

Comments

  1. Salam Dato,

    Saya setuju dan sudah tiba masanya parti parti politik UMNO dan PAS in bersatu untuk kepentingan Islam agama kita, bangsa melayu bangsa kita dan Raja Raja Melayu. Jika kita bangsa Melayu tidak membela ketiga tiga hak ini apa lagi la yg nak membela. Kita tak bole harapkan bangsa India, bangsa Cina, Kadazan, Iban untuk berbuat demikian. Tetapi malangnya ada parti politik yg mengamalkan budaya politik membenci dan di didik sejak dari kecil lagi sahyugia tidak membolehkan penyatuan parti politik disebut di atas.

    Walaupun sudah ada kesedaran di antara kalangan anggota parti berkenaan tetapi di tentang dengan hebat kerana ingin menegakkan idealogi, amanat yang telah di warwarkan, mungkin di sebabkan ego...siapa tau?

    Diharapkan timbulah kesedaran di kalangan anggota parti untuk kepentingan anak anak kita di masa hadapan.

    P/S: Datuk, just found out this blog, hopefully Datuk continue to write.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....