TAK PERLU BERTOLAK ANSUR

Saya tahu para pemimpin politik di negara kita sekarang ini sedang mencari keuntungan politik bagi mendapatkan undi dalam pilihan raya ke-13 yang semakin hampir. Ahli politik komponan parti politik Kerajaan dan pembangkang akan berhati2 untuk menjaga hati pengundi, kerana pengundi sajalah yang akan menentukan kemenangan atau kegagalan mereka dalam pilihan raya yang akan datang ini.

Bagaimana pun saya tidak perlu masuk campur dalam tektik atau strategi masing2 dalam mengambil hati dan bertolak ansur dengan kepelbagaian kaum dan penganut agama di negara kita ini ketika ahli2 politik sedang mencari popularitinya untuk menang dalam pilihan raya yang akan datang.

Yang menjadi pokok perjuangan untuk membentuk generasi baru yang bertamadun, berpegang teguh kepada Perlembagaan negara, yang masih mahu mempertahankan kewibawaan negara dan bangsa Malaysia, dan yang masih mahu memelihara keharmonian kaum dan penganut agama di negara kita, maka hal inilah yang seharusnya menjadi pemikiran dalam menyusun agenda perjuangan semua rakyat Malaysia, tak kira ideologi dan fahaman politik masing2, maka hal inilah yang amat penting daripada hanya mencari populariti bagi mencapai kemenangan dalam pilihan raya.

Sesiapa saja yang bercita2 untuk memegang tampok pemerintahan, maka perkara utama yang seharusnya dipertahankan ialah segala peruntukan yang ditulis di dalam Perlembagaan negara, yang tentunya tidak seharusnya di kompromi atau menjadi bahan tawar menawar untuk berkuasa.

Isu agama dalam Perlembagaan, iaitu Islam sebagai agama Persekutuan dan kebebasan mengikut amalan agama2 lain, haruslah difahami dengan baik, supaya hal ini tidak menjadi isu tawar menawar kerana politik keagamaan yang sempit. Memelihara dan mempertahankan agama negara berarti menentang secara tegas sesuatu cabaran yang merupakan ancaman kepada agama itu di negara kita ini, termasuklah cabaran atas nama hak asasi manusia, persamaan gender, kebebasan menukar agama dan sebagainya, yang dalam hal ini kita haruslah menentukan sempadan dan garis pemisah yang jelas tentang sesuatu yang dapat dilakukan di negara ini, dan sesuatu yang bersifat provokasi terhadap agama negara, dan agama2 lain juga.

Mempertahankan agama negara bukan berarti menjaga masjid dan surau sahaja, malahan mempertahankan akidah umat Islam, mempertahankan diri daripada amalan2 lain yang bersifat ancaman kepada agama Islam dan agama yang lain juga, mempertahankan nilai2 akhlak dan syariah Islam, menentang budaya jelik gay, lesbian, homoseksual dan sebagainya, mempertahankan pendidikan dan amal ibadat agama Islam, termasuk amalan korban, suara azan, dan ritual yang lain. Semuanya ini tidak seharusnya diberikan ruang untuk bertolak ansur kerana mencari kepentingan undi dalam pilihana raya. Pihak yang membuat keputusan tegas dalam hal ini sungguh pun tidak popular ketika membuat keputusan tersebut, tetapi pada hakikatnya akan mempunyai peluang untuk mendapat sokongan majoriti senyap yang tidak bersuara selama ini dalam kekeliruan dan kepanikan.

Mempertahankan bahasa Kebangsaan dan hak istimewa orang Melayu adalah mempertahankan Perlembagaan, maka sekali lagi dalam hal ini segala cabaran dan tekanan yang dikenakan keatasnya haruslah ditentang dengan penuh ketegasan, dan tidak mengapa dalam hal ini sekiranya keputusan yang dibuat seolah2 menentang arus dan menentang pandangan yang popular dalam masyarakat, kerana hal ini adalah mendapat perlindungan Perlembagaan, dan demi mempertahankan perlembagaan itulah keputusan ini di buat.

Kadang2 kita perlu membuat keputusan dan ketegasan yang tidak popular pada masa kini, dan kita boleh berkorban, sekiranya hal itu semua adalah untuk kepentingan generasi, anak cucu kita yang akan datang, dan demi integriti serta jati diri bangsa dan negara kita ini. Lebeh baik kita berusaha mempertahankan hak dan integriti kita sekarang daripada membuat keputusan yang salah, yang akan dicerca dan disalahkan oleh generasi kita yang akan datang sesudah kita tidak lagi wujud di dunia ini.

Sikap dan kefahaman ahli politk dalam perjuangan yang benar haruslah menjadi penghayatan para pejuang bangsa dan negara kita dalam mencari jalan ke tampuk pemerintahan negara, bukan perjuangan yang pura2, cetek pemikiran, pendek akal, terburu2, tamak haloba, berkepentingan diri atau puak, bukan semuanya ini yang seharusnya menjadi dasar perjuangan, yang akhirnya akan memakan diri sendiri. Kejujuran dan keikhlasan haruslah menjadi teras perjuangan kita, iaitu sesuatu yang direstui oleh agama, mempertahankan lima perkara yang dipelajari dari
Maqasid al-Syariah termasuk mempertahankan agama, keturunan, harta, nyawa dan negara kita adalah sesuatu yang wajib dilakukan dalam apa2 saja perjuangan kita.

Sesuatu yang menjadi dasar dan keutamaan ajaran agama kita adalah merupakan strategi perjuangan kita, yang insya'Allah akan dihargai oleh rakyat kita. Agama bukan hanya menjadi simbol, kata2, keterampilan luaran seperti yang saya tuliskan semalam, tetapi agama adalah menghayati nilai2 universal, cara hidup dunia akhirat yang lengkap dan memberi manfaat kepada semua, yang hal ini juga seharusnya difahami oleh para pengundi sendiri dalam memilih calon2nya untuk menerajui negara kita. Agama tidak boleh diasaskan atas perjuangan yang hanya berdasarkan emosi dan sentimen melulu, tidak juga atas kejahilan dan perjuangan yang liberal dan permisif melampau.

Negara Malaysia amat unik, hanya satu2 negara yang ada dalam dunia pada masa kini yang bernama Malaysia, tidak dua, tidak tiga atau lebeh. Malaysia mempunyai integriti dan jati diri sendiri, landskap politik yang berbeza dari negara2 Islam yang lain, yang berlatar belakangkan Perlembagaan dan kehidupan ilmu dan teknologi, sistem hidup dunia dan akhirat yang bersepadu, yang sekiranya keperibadian dan keunikan ini dapat dihancurkan, maka kita tidak mungkin menemui Malaysia yang lain, yang mempunyai ciri2 begini, rupa bangsa dan agama yang demikian, ...dan hal inilah yang sedang cuba dirobek2kan oleh musuh2 kita, sama ada kita sedar atau tidak, sama ada dari dalam, atau dari luar....Hanya Allah saja yang tahu.

Marilah kita sama2 insaf dan ambil iktibar, kerana Allah dan Rasul-Nya


Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....