Sunday, November 27, 2011

TAHNIAH TOKOH MAAL HIJRAH 1433

Selamat menyambut tahun baru hijrah 1433 kepada seluruh umat Islam di mana saja mereka berada,

Di negara kita perayaan menyambut tahun baru Hijrah merupakan satu acara tahunan yang disambut dengan besar-besaran, melibatkan SPB Yang Di-Pertuan Agong dan semua Raja di Negeri-Negeri, Perdana Menteri, Timbalannya dan ketua-ketua kerajaan di peringkat naasional serta negeri, yang jelas sekali menunjukkan komitment Malaysia dalam merayakan perayaan yang bersejarah itu.

Yang tinggal dan mungkin belum sepenuhnya dihayati oleh umat Islam keseluruhannya, sama ada di negara kita atau negara-negara Islam lainnya, ialah segala slogan, seruan,pengucapan dan harapan tinggi yang sering diluahkan di dalam majlis-majlis perayaan ini saban tahun sejak puluhan tahun yang lalu, yang nampaknya segala seruan perpaduan, kesefahaman, persefahaman di antara umat Islam, yang dilagu dan dinyanyi-nanyikan, dipidatokan, di ulang-ulang dalam segala ucapan, perbincangan. termasuk ucapan Menteri, SPB Yang Di Pertuan Agong dan lain-lain, yang masih tinggal dalam kata-kata retorik dan pengucapan simbolik yang tidak menjelma menjadi kenyataan dan amalan masyarakat Islam seluruhnya, termasuk di negara kita sendiri.

Yang sering kita saksikan dalam masyarakat Islam ialah perpecahan, perselisihan tanpa adab dan akhlak, perebutan kuasa dan nama yang amat tidak sihat, perasaan ego dan berkepentingan diri atau kelompok, serta berbagai-bagai gejala perpecahan yang amat ketara sekali, bertentangan sama sekali dengan nilai-nilai adab dan akhlak Islam, bercanggah sama sekali dengan rukun perpaduan dan kesatuan ummah.

Mungkin kita seharusnya cuba memerah otak dan mendapatkan pemikiran dan minda yang terbaik di dalam negara kita ini untuk melakukan transformasi dalam menyusun agenda kesatuan dan perpaduan ummah ini, juga membangunkan umat dan masyarakat Islam yang bersatu dan bersefahaman sejajar dengan ciri-ciri perpaduan yang digariskan oleh Islam sendiri.

Dengan ini saya ingin menyampaikan ucapan tahniah yang setinggi-tingginya kepada teman saya Yang Berbahagia Profesor Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukur Husain yang telah dikurniakan anugerah tertinggi sebagai Tokoh Maal Hijrah tahun 1433 ini.

Barakallah fika. Mabruk alf mabruk.

Pageviews last month