APAKAH UMNO DAN PAS PERLU BERSATU? (Bah.I)
APAKAH PAS HARUS BERGABUNG DENGAN UMNO UNTUK MENYATU PADUKAN UMAT ISLAM DI NEGARA KITA?
(Bahagian Pertama)
Persoalan ini bukanlah amat mudah di jawab. Jawapan “ya” atau “tidak” adalah bergantung kepada dasar dan agenda perjuangan parti masing-masing. Saya rasa kita semua tahu bahawa parti-parti politik ditubuhkan tentulah mempunyai agenda dan falsafah ideologinya yang tersendiri. Masing-masing mempunyai objektif dan dasar pejuangannya untuk mencapai matlamatnya itu.
PAS pada awal penubuhannya mempunyai matlamat untuk menubuhkan “Negara Islam” dalam takrifannya sendiri, oleh itu agenda perjuangannya juga adalah “islamik” dalam pengertian dan tafsiran parti tersebut bahawa mereka hanya berjuang dalam kerangka Islam dan terhad kepada keahlian dan pimpinan yang terdiri daripada orang Islam, malah model “kepimpinan ulamak” adalah menjadi model kepada PAS.
Tetapi mutakhir ini setelah menyertai Pakatan Rakyat, nampaknya dasar dan falsafah ini mulai dilunakkan, sesuai dengan pakatan terbaru dengan PKR dan sebuah parti politik lain yang dulunya adalah merupakan musuh utamanya, iaitu DAP.
PAS dan DAP pada peringkat awal dulu memberikan gambaran kepada rakyat sebagai parti ekstremis, iaitu PAS telah dianggap sebagai parti ekstremis agama, dan DAP telah dianggap sebagai parti ekstremis perkauman. Sebab itulah ketika kedua-dua parti politik ini berjuang secara sendirian, maka kedua-duanya tidak mendapat sokongan majoriti rakyat Malaysia kepelbagaian kaum, yang pada masa itu rata-ratanya menyokong dasar kesederhanaan, tidak menyokong malah menolak dasar yang mungkin di anggap melampau.
Hal ini berubah akhir-akhir ini, iaitu apabila gabungan Pakatan Rakyat telah menerima sokongan yang lebeh besar dari peringkat awalnya dulu, seolah-olah kedua-dua parti yang dianggap ekstrem ini sekarang telah diterima sebagai parti yang bersikap sederhana, atau pun, kerana sesuatu sebab tertentu yang mengubah undi rakyat kepada kedua-dua parti politik ini, yang hanya dapat di analisis setelah dijalankan kajian yang serius tentang “trend” ini.
UMNO juga parti umat Islam, parti orang Melayu yang tertua, dalam konsep yang bererti bahawa “Melayu” adalah sinonim dengan “Islam” dalam sejarah bangsa dan negara kita. UMNO dari awal penubuhannya telah bekerjasama dengan dua kaum terbesar lain di Malaya ketika kita memperjuangkan kemerdekaan negara dari kerajaan British, iaitu kaum Cina dan India.
Falsafah perjuangan kedua-dua buah parti politik Melayu-Islam ini sebenarnya sama, pada pandangan saya, cuma agenda dan ideologi perjuangan sahaja yang agak berbeza. Umno mempunyai slogan perjuangan “Untuk agama, bangsa dan negara” dan PAS berselogankan “Membangun Bersama Islam”
Realitinya, kedua-dua parti politik Islam ini mempunyai matlamat yang sama, dan dalam konteks matlamat ini, saya merasakan bahawa kedua-duanya dapat bergabung. Tetapi dari segi percaturan politiknya saya tak tahu apakah gabungan kedua buah parti politik ini akan menguntungkan perjuangan Islam di negara kita, kerana kedua-duanya mempunyai falsafah dan doktrin kefahaman Islam yang nampaknya berbeza.
Bagi saya, kesatuan umat dan kesefahamannya dalam memperjuangkan Islam secara syumul dan dinamik, serta tanpa menunjukkan kelemahan imej dan amalan agama Islam itu, adalah terhenti kepada kesefahaman diantara keseluruhan umat Islam itu sendiri. Sekiranya majoriti umat Islam di negara kita ini mampu memahami Islam secara menyeluruh sebagai satu cara hidup yang lengkap, mempunyai kefahaman yang jelas tentang tasawwur Islam atau Islamic world-view, maka saya rasa hal ini akan lebeh bermanfaat kepada pembangunan agama dan umat Islam di negara kita ini dalam semua aspek kehidupan moden, dari pada hanya mengharapkan PAS dan UMNO bersatu.
(Bersambung Bahagian II -Esok))
Comments
Post a Comment