HARI KETIGA PUASA


Pada malam puasa yang pertama, hari Jumaat, saya dan keluarga pergi cuba nak masuk ke Masjid Wilayah di KL, tak dapat. Kereta bersumbat2 masuk sampai semuanya terhenti, tak berjalan, akhirnya kami teruskan ke luar kawasan lalu parking atas jalan dekat pejabat Kerajaan, dan berjalan masuk, naik tangga dua tiga kali, termengah2,  baru sampai ke Masjid, tak boleh masuk dalam masjid pula, lalu sembahyang di luar atas simen. Sembahyang dengan imam, tambah dua rakaat isyak, rupa2nya orang dah sudah terawih lapan rakaat, apa lagi jemaah pun berpusu2 menyerbu keluar masjid, barulah kami boleh masuk sembahyang di dalam. Di dalam masjid memang glamor, hawa dingin, karpet tebal, sejuk dan selesa.


Saya boleh bayangkan dengan sembahyang terawih di kampung saya 30 - 40 tahun dulu, tak glamor macam ini. Kereta jemaah besar2 belaka, imam tu pula yang glamornya, iaitu imam yang diimpot dari luar negara, dari Saudi atau Mesir, saya pun tak pasti. Ada orang kata imam malam itu datangnya dari Syria, negara yang sedang bergolak itu. Apa pun, memang imam glamor dan mungkin kerana inilah orang bersesak2 ke masjid Wilayah ini, malah kabarnya imam impot ini bertambah setiap tahun, dan kebanyakan masjid yang juga "glamor" ini mempunyai imam glamor, dan orang yang pergi sembahyang terawih ini tertarik dengan imam impot yang glamor itu, jadi makmum pun glamor juga. Tak taulah saya hal yang sebenarnya. Tetapi nak pergi sembahyang terawih tak kanlah kerana imam impot yang galmor itu? Tentulah tidak kan? Namun manalah tahu, mungkin makmum nak ambil berkat imam Arab, apa lagi dikatakan bahawa diantara imam2 yang diimpot itu, termasuklah beberapa imam Masjidul Haram Mekah, tentulah lebeh berkatnya.


Di kampung saya dulu, imam Haji Dolah atau Haji Mohd Rejab itulah yang ada. Mereka baca "simple" saja ketika menjadi imam terawih, iaitu surah Fatihah dan ayat lazim yang biasa dibaca dalam sembahyang terawih waktu itu, sembahyang pertama di mulai dengan surah "Al Hakumut Takathur..." sehingga akhirnya bila sampai ke sembahyang terawikh yang akhir sebelum sembahyang witir, dibaca surah "Tabbat Yada Abi Lahab..." sebab itu budak2 kampung kata bila bunyi imam baca Tabbat...tu kita cepat2 pergi kerabat surau atau masjid nak makan moreh kerana sembahyang dah nak habis...Tabbat dan Kerabat... kata mereka...


Di kampung pada masa itu tak pernah timbul nak sembahyang terawih lapan atau dua puluh rakaat. Orang2 tua yang berasa leteh sikit sembahyang dua tiga kali, empat enam rakaat, lalu berhenti, duduk2 di tepi, atau keluar kawasan, hisap rokok daun, kemudian masuk sambung sembahyang lagi. Mereka pu pandai mencuri nafas, iaitu ada jemaah yang mencuri tulang, ketika imam bangun meneruskan sembahyang terawih, dia duduk lagi, hanya dengar imam baca, bila imam baca surah selepas baca Fatihah, dekat2 imam nak habis baca surah, barulah dia bangun takbir ikut imam. Maknanya dia dapat berehat diantara sembahyang, lama sikit, hilang letih, agaknya kerana siang tadi terlalu banyak membajak sawah, atau potong getah, sebab itu dalam sembahyang pun boleh menguruskan masa rehat yang baik...


Baca surah dari ayat2 lazim tu pun habis glamorlah imam kampung kami itu, dan itulah yang ada. Tetapi sekarang entah sejak bila, beberapa tahun yang lalu, kita nampaknya macam beli barang juga, suka beli barang impot. Memang barang impot itu banyak yang bermutu, tetapi barang impot dari Cina sekarang ini cantik, tetapi cepat rosak. Harap bukanlah ini halnya  dengan imam impot, kerana imam impot memanglah terpilih, suaranya garau, tinggi, berdengung, kalah suara anak2 Melayu kita, bacaannya pun lancar, yang kalau imam tempatan kita kadang2 tersekat2, sebab sekarang ini sembahyang terawih tak main baca ayat lazim lagi, semuanya baca surah2 panjang dari Al-Quran ! imam impot lancar hafal, imam tempatan kadang2 tak lancar dan kerana darah gemuruh menjadi imam depan makmum yang banyak, naik gelabah, banyak ayat yang terlupa, sampai kena ada orang di belakang pula yang menjadi tukang tegur.


Tetapi mungkin dalam beberapa tahun akan datang kita akan punya imam tempatan yang sama dengan imam impot. Emak saya kata, orang yang baca Quran sedap dan panjang nafasnya, tenguklah tengkuknya. Kalau tengkuknya besar, maka dia tu bersuara kuat dan nafas panjang. Mungkin sekolah tahfiz dan pusat hafazan Quran di Malaysia kena buat tapisan dan temuduga, ambil yang tengkuknya besar, untuk jadi imam dan boleh lawan imam impot. 


Saya bergurau begini, kerana secara seriusnya, kita telah punya banyak pusat hafazan Quran, maahad tahfiz, sekolah tahfiz, kadang2 kita tengah makan tomyam dalam kedai makan siam pun ada orang masuk minta derma bawa surat sekolah tahfiz. Jadi kalau kita dah lama ada sekolah tahfiz, dan latih banyak hafiz Quran, eloklah kita bagi peluang kepada mereka pada bulan puasa ini untuk jadi imam terawih, hantarkan mereka ke seluruh negara, mereka pun boleh buat duit sikit. Imam impot ni katanya banyak dapat bayaran, tambah hotel dan tambang kapal terbang, bawa anak isteri pula, dan banyak pula orang Islam yang kaya menaja mereka. Makmum pun ada yang berlumba2 nak sedekah kepada imam impot ini tiap2 malam. Mungkin dalam masa yang tak lama lagi eloklah kita turut menaja sikit hafiz2 kita dan para pelatih di pusat2 tahfiz tu.


Impot pun impot juga, tetapi anak2 tempatan bagilah peluang sikit kepada mereka menunjukkan kemampuan dan kebolehan mereka, tak kan hanya jadi imam sebahyang waktu di depan dua tiga puluh orang saja, mereka pun nak rasa juga ada makmum hampir  ribuan orang di belakang mereka, malah mereka pun nak buktikan juga kemampuan mereka sebagai imam muda atau tua yang glamor, bukan Arab saja.


Memanglah masa beredar dengan cepat, dari primitif kepada tamadun, mundur kepada maju, tanpa glamor kepada glamor, sehingga sembahyang terawih pun kena glamor...Imam pun glamor...makmum pun glamor...Saya suka juga membayangkan suasana sembahyang di kampung saya yang tidak glamor itu. Semua orang amat mudah mengerjakan sesuatu...tetapi masa itu tentulah telah berlalu lama...amat lama sekali....









Comments

  1. Setuju dengan entri Prof.. Tak selalunya yang import dan mahal itu saja yang berkualiti...ada juga hasil tempatan yang lebih berkualiti dan berpautan harganya berbanding yang diimport. :)

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....