SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK


Semasa saya masih kanak2 apabila tiba saja akhir Sya'ban, iaitu pada malamnya ketika pihak berkuasa akan melihat anak bulan, maka kami semua adik beradik dan anak beranak akan menunggu di depan radio transistor lama  kami untuk mendengar pengumuman sama ada anak bulan Ramadhan kelihatan atau tidak. 

Tiba masanya, kadang2 hampir pukul sembilan malam, suasana hingar bangar suara kami adik beradik tiba2 ghaib, sepi dan sunyi, iaitu apabila juruhebah radio membuat pengumuman bahawa "sekarang tibalah masanya Penyimpan Mohor Besar Raja2 Melayu akan membuat pengumuman....."

Semua mata terpaku ke muka radio empat segi itu, dan telinga kami terpasang tepat kepada apakah gerangan pengumuman itu akan memberitahu kami, "Puasa ke tidak esok? Atau puasa akan jatuh lusa"?

Apabila diisytiharkan bahawa anak bulan Ramadhan telah kelihatan di Telok Kemang (tempat yang selalunya anak bulan kelihatan) maka rioh rendahlah pula suara kami bercakap macam2 dalam suasana yang amat riang, sebab puasa akan bermula esok, nak cari buah jambu atau buah nam nam (buah katak puru kata orang Kelaantan) sebab nak makan lepas buka puasa, nak tau siapakah yang nak jual ais papan sebab musim bulan puasa amat panas, dahaga, perlu minum ais.

Macam2 yang kami sembang, sehinggalah bapa saya kata "sudah, sudah, mari semua bersiap nak pergi sembahyang terawih di madrasah (mena'sah ; kata orang Kedah, iaitu surau), lalu kami pun cepat2 bangkit cari baju dan turun ke telaga ambil wuduk.

Di kampung kami, dalam bulan puasa ni, sembahyang terawih biasanya lambat di mulakan. Kadang2 pukul sepuluh baru nak mula, imam baru naik surau, tok bilal baru nak hampar tikar mengkuang, jemaah seorang demi seorang datang naik ke surau dengan kaki yang basah kerana baru ambil wuduk di kolah depan surau. Ada yang batuk2 tua, songkok hitam yang telah kekuningan, baju Melayu yang telah lama tidak dipakai, kerana dibelakangnya ada bekas melembung sebab telah lama disangkut di tanduk rusa yang dijadikan penyangkut baju.....

Bila sembahyang pukul 10, maka pukul 11 biasanya barulah sudah, baru hidang moreh, biasanya kanji, atau bubur nasi bubuh udang kering, budak2 yang datang ke surau pun banyak yang telah nyenyak tidur, maka menjadi satu kerja pula pak bilal dan orang tua lain mengejutkan mereka bangun makan bubur nasi atau bubur kacang.

Tetapi senario ini telah berubah banyak sekarang. Tenguk saja takwim, kita telah mengetahui bila nak mula puasa, bila akan tibanya Hari Raya, iaitu Hari Raya Puasa atau Hari Raya Haji. Tambahan pula zaman ini bukan zaman nak cari kayu api nak masak nasi dan lauk, atau nak cari buah jambu dan namnam, sorok bawah katil, dan hanya baru di bawa keluar selepas waktu berbuka puasa.

Sekarang telah banyak pasar Ramadhan, buffet buka puasa di restoran atau pesta buka puasa di hotel dan dewan2 besar, maka kemajuan canggih ini telah mengubah selera buka puasa, dan menjadikan bulan puasa sebagai bulan makan2, bukan makan kacil, tetapi makan besar, seperti yang diistilahkan orang Cina, makan besar artinya makan mewah berbagai2 jenis juadah yang semestinya sedap2 belaka.

####################################################


Malaysia merupakan negara Islam yang melaksanakan kaedah penentuan awal bulan Hijrah menurut hisab dan rukyah. Umat Islam di Malaysia telah dapat menerima kaedah ini dengan persepakatan, dan hal ini membuktikan bahawa anjuran Kerajaan yang berkuasa dalam sesuatu urusan agama itu telah dipersetujui oleh rakyat tanpa banyak persoalan atau bantahan.

Kaedah ini apabila hendak dipraktikkan bagi negara kita pada awalnya, maka terdapat juga pandangan2 yang mempertikaikannya. Tetapi berkat kerjasama diantara para ulamak, para mufti dan ahli2 astronomi, maka umat Islam telah mendapat penjelasan yang dapat meyakinkan mereka bahawa kaedah inilah yang terbaik dan tidak bercanggah dengan prinsip ajaran Islam.

Hakikat inilah yang saya rasa bahawa dalam urusan apa2 bidang sekali pun sekiranya komunikasi diantara pihak yang berkuasa dan rakyat umumnya dilakukan dengan baik, dan rakyat sendiri berfikiran rasional, maka kedua2 belah pihak yang mempunyai niat ikhlas, akan mendapat kejayaan yang baik.

Syukurlah kita kerana isu ini tidak dipolitikkan, kerana kalau dipolitikkan maka akan terdapat kumpulan2 umat Islam yang akan memulakan puasa mengikut kefahaman masing2. Hal ini kita harap tidak akan terjadi, kerana dalam berbeza2 pandangan politik pun, kita masih dapat bersatu dalam memulakan puasa dan menyambut Hari Raya. 

Syabas kaum Muslimin Malaysia. 
Selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak, selamat menunaikan ibadat puasa, selamat menjalankan ibadah kepada Allah, dan selamat menutup mulut daripada berkata2 sesuatu yang buruk dan mungkar.

Kullu sanah wa antum bi khair.
(Didoakan anda semua bahagia setiap tahun)



Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....