HARI KESEPULUH PUASA

Orang2 tua kampung selalu berkata, terutamanya untuk mendorong anak2 yang agak tak tahan berpuasa, bahawa puasa ini apabila masuk hari kesepuluh maka yang bakinya 20 hari lagi itu amat cepat akan berakhir! Oleh itu saya pun terfikir juga bahawa hal ini mungkin betul bagi kita orang dewasa ini, memandangkan bahawa masa beredar amat pantas sekali sekarang ini, maka kita pun berharap agar puasa tahun ini akan cepat berlalu, dan kita akan dapat menyumpurnakan ibadat puasa ini selengkapnya, cukup segala yang wajib dan sunatnya, dan cukup 29 atau 30 hari kita menunaikan ibadat sebulan itu.

Tetapi bila kita menyebut begini, mungkin banyak juga orang yang akan marah, terutamanya dari segi ajaran agama, kita sepatutnya berharap bahawa sepanjang hidup kita ini biarlah berada dalam bulan puasa, kerana bulan puasa adalah merupakan bulan keampunan, keberkatan dan ketaqwaan, sebab itulah sepatutnya orang Islam seharusnya menangis apabila sampai ke penghujung bulan Ramadan ini, kerana segala kebaikan dan kerahmatan serta keampunan yang dikurniakan oleh Allah SWT dalam bulan puasa ini akan turut berakhir.

Namun begitu disamping mengakui akan kelebihan bulan Ramadan seperti yang diketahui itu, sebenarnya kita pun menginsafi akan realiti sebenarnya bagi kehidupan orang biasa dalam menghadapi bulan puasa, dan kesannya bagi mereka ketika melakukan ibadat puasa ini. Hal ini tentulah tidak dapat dinafikan, dan kerana itulah orang Islam masih boleh terus melakukan ibadat puasa sunat di luar bulan Ramadan, malah terdapat orang Islam yang seumur hidupnya meneruskan berpuasa pada setiap hari Isnin dan Khamis tanpa ketinggalan. 

Pendeknya puasa Ramadan adalah puasa wajib untuk semua umat Islam yang tidak berkeuzuran, dan puasa sunat adalah untuk amalan individu yang mampu. Inilah raelitinya ibadat puasa dan diatas dasar inilah saya katakan tadi mungkin ramai juga orang Islam yang akan menamatkan puasa Ramadan menjelang berakhirnya Ramadan ini, kerana kesan puasa kepada manusia biasa tentulah berbeza2 juga diantara individu dengan individu yang lain.

Hal ini mungkin dapat diambil kesimpulannya daripada pengajaran yang dijelaskan oleh baginda Rasulullah SAW ketika terdapat tiga orang yang memberitahu bahawa mereka terdiri dari tiga orang yang baik. Seorang mengatakan bahawa dia tidak pernah berkahwin, seorang lagi berkata dia setiap malam bangun bersembahyang, dan yang ketiga bekata bahawa dia berpuasa sepanjang hayatnya. Lalu Rasulullah SAW pun bersabda bahawa Baginda adalah seorang yang paling bertaqwa kepada Allah, tetapi Baginda berkahwin, Baginda bangun dan tidur pada waktu malam, dan Baginda bepuasa dan berbuka.

Ertinya bahawa manusia ini perlu hidup dalam keadaan yang dapat memenuhi keperluan rohani dan jasmaninya. Berkahwin bukan bererti melawan perintah agama dalam konteks memenuhi tuntutan badani semata2, bangun malam juga tidak semestinya dilakukan tanpa mengambil kira akan realitinya kejadian manusia yang memerlukan rehat dan tidur secukupnya, dan demikian juga dalam berpuasa. Pendeknya manusia seharusnya memberikan hak kepada badan dan jasmani, keperluan nafsu dan kerehatan serta realiti hidup fitrah manusia biasa ini.

Inilah kepentingan kejadian manusia yang dijadikan mengikut fitrahnya seperti yang diterangkan di dalam Al-Quran juga. Dan hal inilah yang seharusnya diambil kira oleh orang2 Islam dalam kehidupan seharian mereka. Pesanan Rasulullah seperti yang tersebut di atas itu sebenarnya ialah untuk menerangkan kepada manusia bahawa disamping menjaga kewajipan yang wajib kepada Allah SWT maka seseorang itu juga seharusnya menyedari realiti kehidupannya, iaitu badan dan jasmaninya mempunyai hak di atas seseorang itu yang seharusnya dipenuhi dengan syarat tidak berlawanan dengan prinsip syariah dan ajaran asasinya. 


Ada juga diriwayatkan bahawa terdapat seorang sahabat yang setiap hari menghabiskan waktunya beibadat di dalam masjid. Lalu Baginda bertanya siapakah yang memberinya makan? Jawabnya orang lain yang memberikannya. Lalu Baginda bersabda : Kalau begitu orang yang memberikannya makan itu adalah lebeh baik darinya, iaitu orang yang berusaha mencari rezeki dan dapat pula memberi makan kepada orang yang menghabiskan waktunya bersembahyang di dalam masjid itu adalah lebeh baik lagi.

Maka dalam semangat ini kita menunggu berakhirnya bulan Ramadan yang berkat, penuh rahmat dan keampunan ini, insya'Allah dipanjangkan umur, tahun hadapan dapat bertemu lagi dengan bulan rahmat, berkat dan keampunan ini.

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....