HARI KELAPAN PUASA
Hari ini umat Islam di Malaysia memasuki fasa baru berpuasa, iaitu permulaan minggu kedua puasa Ramadan tahun ini. Biasanya kami di kampung masa dulu2, nak masuk sepuluh hari puasa masing2 agak kalut cari tempurung kering. Di mana ada orang belah kelapa, dan setelah selesai dikukur isinya maka ketika orang itu membaling tempurung ke tanah, kami berkejaran memungut tempurung itu, masuk dalam guni, kumpul di rumah masing2.
Biasanya pada malam 27 Ramadan,tempurung kering yang telah siap diatur dengan mencucukkannya di sebatang kayu yang ditanam di dalam tanah itu akan menjulang tinggi sama tinggi dengan ketinggian orang dewasa, dan siapa yang memacaknya lebeh tinggi, lagi bagus.
Pada malam 27 Ramadan itulah, selepas maghrib,kami membakar tempurung itu dari atas, dan api yang membakar tempurung itu akan membakar tempurung di bawahnya hinggalah sampai ke tempurung yang paling bawah, dan apinya akan menerangi malam gelap di kampung yang sememangnya tidak pernah merasai cahaya api letrik seperti sekarang ini,
Itulah teknologi kami zaman itu bagi mendapatkan cahaya api buat menerangi di sekeliling rumah pada malam 27 Ramadan itu sebagai mengharapkan bahawa pada malam itulah datangnya malam Lailatul Qadar yang lebeb baik dari seribu bulan itu. Ada kawan kami yang pergi lebeh jauh dari itu iaitu katanya pada malam itu di sekeliling rumah haruslah terang benderang supaya memudahkan malaikat masuk bagi memberkati rumah itu. Tetapi Tok Haji Dolah segera memberikan nasihatnya supaya jangan percaya cerita2 itu, hanya khurafat dan dongeng saja, tak kanlah malaikat tak nampak kalau tak ada lampu? Tanya Haji Dolah.
Kami sememangnya memerlukan banyak sekali tempurung kering, kerana sekurang2nya pada setiap rumah harus ada dua tiga lampu tempurung itu disekelilingnya, dan kalau dapat hendaklah yang lebeh tinggi dari biasa supaya apinya menyala lebeh lama, kalau boleh sampai dekat subuh baru padam. Tapi kami semua tidaklah mempunyai kepercayaan seperti kawan kami yang membakar tempurung supaya malaikat nampak jalan nak datang ke rumahnya. Itu karut saja, kata kawan2 lain.
Kawan yang kata nak terangi rumah supaya malaikat nampak jalan ke rumahnya itu sampai akhir2 saya jumpa dengannya dia masih bertegang urat mengatakan bahawa pandangan itu adalah benar, kerana dia dengar dari pa lebai Tok Pi'i capek yang kata, dan dia hanya percaya pak lebai tu saja, orang lain tak boleh pakai. Tak taulah saya macam mana lepas tu pula, kerana kami berpisah jauh dan tidak bertemu muka lagi. Mungkin kalau dia masih memegang fatwa itu, saya dapat gambarkan ketika malam tujuh lekor ini, rumahnya yang telah mempunyai lampu letrik sekarang ini, tentulah bergemerlapan dengan cahaya letrik di sekeliling rumah dan lamannya, dan tentunya di pasang hingga siang.
Bagaimana pun pada zaman terakhir ini, ktika terlalu banyak guru agama di sana sini, kulliah di masjid dan surau setiap malam, kelas2 agama dan fardu ain dibuka, radio dan tv juga mempunyai rancangan agama, tambahan pula radio dan tv pun selalu membuka talian untuk penonton bertanya sebarang masalah agama kepada tetamu jemputan, maka tentulah tak akan ada orang yang cetek pengetahuan dan bersikap demikian.
Tentulah orang akan mempelajari agama dari guru2 yang bertauliah, sekolah dan pusat pengajian yang diiktiraf.
Jadi saya pun fikir ketika kita memasuki fasa kedua puasa Ramadan ini, iaitu ke minggu kedua, kita seharusnya mengetahui di manakah kelemahan dan kekuatan kita, terutamanya dalam menghayati rahsia dan hikmat puasa ini.
Bagi saya kepercayaan kawan saya yang agak ganjil tentang malaikat dan lampu suluh bagi malaikat memasuki rumahnya itu, juga memberi pengajaran bahawa dalam mempelejari agama tentulah kita perlu berhati2 di manakah pelajaran itu yang seharusnya kita ambil supaya kita benar2 mendapat pendidikan dan pengajaran agama yang betul dan sahih.
Comments
Post a Comment