HARI KEEMPAT PUASA
Duk tak duduk telah masuk hari ke-4 berpuasa. Rasa cepat juga, tetapi terfikir saya bahawa rasa cepat dan lambat ini kadang2 terhenti kepada orang yang mengalaminya. Bagi orang yang susah, kurang rezeki, mungkin dia rasa lambat, dan bagi orang yang berumur, tak makan banyak, atau makanan sentiasa ada, maka mungkin dia rasa cepat. Saya bayangkan orang2 pelarian perang seperti umat Islam di Syria, mereka tentu merasa masa berjalan agak lambat, iaitu ketika terpaksa melarikan diri dari bahang peperangan, malah takut2 pula, manalah tahu tiba2 jatuh roket atas kepala masa dalam melarikan diri ke Turki itu, maka makan ke mana, dan puasa ke mana.
Di negara kita rasanya keadaan aman semasa kita pergi ke masjid sembahyang terawih, dan jalan2 ke pasar Ramadan, mungkin masa itu terasa cepat. Bagaimana pun saya nampak satu cara supaya masa ini berjalan dengan laju dan cepat, mungkin dengan memenuhi waktu dengan sembahyang dan baca Quran. Maksud saya sembahyang waktu dalam masanya, dan jika ada masa lapang selepas sembahyang, umpamanya selepas waktu zohor, asar dan Isyak bagi orang yang bekerja pada siangnya, akan terasalah masa dapat dihabiskan dengan cepat. Kalau ada masa atau tak bekerja maka bolehlah baca ayat2 suci itu setiap kali lepas sembahyang, sehelai dua pun cukup kalau dah rasa mengantuk nak lelapkan mata.
Bulan Ramadan memanglah bulan Quran. Masa YTM Tunku menjadi PM pertama dulu pun saya rasa dia telah sedar tentang perkara ini, kerana dialah yang mengambil inisiatif menganjurkan Peraduan Membaca Quran dalam bulan Ramadan setiap tahun, mula2 peringkat kebangsaan, kemudian peringkat antarabangsa.
Majlis ini berterusan berjalan hingga ke hari ini, cuma masanya sejak kebelakangan ini telah diawalkan kepada bulan Sya'ban atas cadangan banyak pihak yang menyedari bahawa ketika peraduan ini diadakan dalam bulan Ramadan, ramai juga orang yang tidak dapat sembahyang terawih di masjid.
Bagaimana pun majlis membaca Quran di bulan puasa nampaknya menjadikan suasana lebeh kyusuk dan bererti, suasana bulan ibadat dan ketika umat Islam menghayati kemanisan berpuasa pada siangnya, juga keenakan makan dan minum pada malamnya, maka majlis ini seolah2 memberikan lebeh nekmat, dan semangat keagamaan lebeh meresap ke dalam hati sanubari orang yang mendengar ayat2 suci itu dilaungkan dengan suara yang merdu oleh para pembacanya.
Sejarah membaca Quran dalam bulan puasa ini memanglah satu amalan yang telah amat lama diamalkan di dalam masyarakat Melayu di negara kita. Saya sedar2 saja, majlis membaca Quran ini telah diadakan dalam bulan Ramadan, baik di rumah, surau atau masjid, kedengaran alunan suara orang membaca Quran, sebab orang semua kelihatannya tidur lambat dalam bulan puasa, jadi bacaan Quran itulah yang kedengaran sayup2 memecah kesunyian malam, dan kadang2 anak2 muda lelaki yang dilamun rindu di kampung sering juga berhenti di pekarangan rumah yang terdengar suara gadis yang dikenalinya mengalunkan suara membaca Quran. Itulah saja caranya anak muda kampung menyambungkan hubungan rohani cinta kasihnya kepada gadis pujaannya, yang tidak pernah sangat ditegur sapa atau bercakap2, bergurau senda seperti sekarang.
Seingat saya dalam bulan puasa ini juga terdapat sekali atau dua kali penganjuran majlis besar membaca Quran, iaitu dengan menjemput para qari terkenal dari luar kampung untuk memperdengarkan bacaannya. Di kampung saya, setiap kali tiba bulan puasa, awal2 lagi anak2 muda kampung bersiap untuk majlis ini. Majlis ini yang biasanya diadakan pada malam 27 Ramadan akan disiytiharkan berulang2 kali di masjid atau surau, bahawa qari terkenal, seperti Ismail Hashim, atau Man kola, umpamannya akan datang ke kampung ini pada malam 27 Ramadan, dan semua penduduk kampung lelaki perempuan, tua muda boleh lah hadir bawa makanan yang sepatutnya.
Sebelum ketibaan majlis ini, anak2 muda dengan arahan orang yang agak berpengalaman dalam penganjuran majlis ini, akan mencari atau menebang kayu getah untuk dijadikan tiang bagi mendirikan satu pentas tinggi khusus bagi pembaca Quran itu duduk. Pentas ini sememangnya amat tinggi, siap dengan tangga, dan atap nipah yang telah dipasang lengkap.
Kalau tidak pun didirikan pentas yang tinggi, 7 hingga 10 kaki tingginya, kadang2 ada yang lebeh kreatif lagi, mendirikan pondok di atas pokok rambutan atau pokok lain yang tinggi dengan batangnya yang teguh dan rantingnya juga besar, buat rumah atau pondok atas pokok itu, seperti yang dilakukan di Taman Negara sekarang ini. Pondok atas pokok di Taman Negara disediakan untuk orang yang ingin mengintai harimau atau singa, babi hutan dan beruang berjalan di waktu malam, tetapi pondok atas pokok dalam kampong ini didirikan khas untuk pembaca Quran malam 27 Ramadan itu.
Tiba saja malam 27 Ramadan, para Qari akan dipandu menaiki tangga ke atas pentas tinggi atau pondok di atas pokok itu, orang lain jangan nak dekat pun, habis kena halau terutamanya kanak2 kecil yang cuba2 nak panjat tangga pentas tinggi atau pondok atas pokok itu.
Di atasnya telah sedia air sirap, air sejuk, cucur macam2 jenis, kadang2 buah manggis dan durian pun ada, nasi minyak, kari ayam, daging goreng, dan ada pula yang bagi iteknya yang selama ini dipeliharanya untuk disembelih, dimasak dan dijamu makan para qari itu.
Beberapa mikrofon di bawa ke atas untuk kegunaan para qari dan pengerusi majlis, dan speaker yang berbentuk serombong besar di bawa naik ke atas pokok kelapa, nun atas langit sana, dua tiga serombong di sekeliling tempat majlis itu, lampu gaslin yang bersumbu puteh menerangi segenap penjuru pentas itu, terang benderang, dan ada pula petugas yang khsus untuk mengepam angin lampu itu supaya tidak malap atau terus padam.
Dan apabila qari mula membaca ayat2 suci Quran, maka suaranya masyallah menusuk telinga, nyaring dan kuat seperti bunyi helilintar memanah. Tetap[i orang ramai amat terhibur, berpekik : Allah. Allah, berkali2, maklumlah yang datang tu ialah qari terkenal seperti Ismail Hashim, yang hingga ke beberapa tahun di akhir hayatnya telah menjadi johan peraduan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Majlis ini berlangsung hingga tengah malam, dan orang kampung berkumpul ramai sekali, tidak berganjak dari tempat itu hingga akhir majlis. Semua orang, termasuk kanak2, yang menghadirinya diantara anak2 kecil di situ merasakan suasana Ramadan dan kemeriahan malam 27 Ramadan yang tidak dapat digambarkan dengan kata2, yang kalau sekarang ini perhimpunan begitu mungkin hanya berlaku ketika kempen pilihan raya atau ceramah politik oleh tokoh2 garang dari parti politik sahaja, atau majlis konsert yang dihadiri oleh banyak selebreti tanah air.
Rupa2nya mungkin baru sekarang kita menyedari betapa PM kita yang pertama ini menyedari hubungan Quran dengan bulan puasa, dan dapat merasakan semangat dan perasaan orang Islam di Tanah Melayu ini yang amat mementingkan Quran, yang kerana itulah anak2 Melayu sejak dari kecil lagi akan dihantar ke sekolah atau rumah2 guru Quran untuk membaca Muqaddam dan seterusnya membaca Quran dan khatam kemudiannya dengan mengadakan majlis yang besar.
Tetapi kini majlis pentas tinggi, atau rumah atas pokok untuk mejlis membaca Quran di kampung itu telah lama hilangnya dari sejarah bulan Ramadan. Yang tinggal kini ialah majlis dalam bulan Sya'ban untuk para Qari dan Qariah kebangsaan dan antarabangsa yang datang membaca ayat2 suci itu di negara kita dengan bilangannya semakin bertambah dan mutu bacaannya menjadi lebeh baik. Dulu, kalau dengar Qari atau Qariah negara2 tertentu hendak mula memperdengarfkan bacaannya, kita pun naik lemas, tak tentu tajwid dan lagunuya, suaranya pun seperti orang menyanyi lagi Hindustan atau lagu Afrika, tetapi sekarang alhamdulillah suara dan bacaan mereka pun lebeh baik, malah banyak yang telah mengalahkan Qari Qariah kita sendiri dalam bacaan seperti yang kita saksikan dalam Majlis tilawah yang terakhir sebelum puasa ini.
Saya memang tabik kepada muslimin muslimat Malaysia, yang nampaknya masih memelihara dengan baik ajaran agama kita tentang bacaan Quran ini, walau pun majlis bacaan Quran itu tidak lagi diadakan dalam bulan puasa, diatas pentas yang melangit, atau pondok yang tertegak tinggi di atas pokok, apa lagi sekarang ini speaker yang digunakan bukan lah lagi seperti serombong peti menyanyi zaman sebelum perang, malah sekarang PWTC yang melayan para pembaca itu, RTM yang menyiarkannya untuk seluruh negara, namun fadilat dan suasana kebesaran kitab suci itu tetap dirasakan di seluruh negara, alhamdulillah.
Yang tinggal lagi mungkin beberapa perkara saja, iaitu membaca dan menghafal, seharusnya diikuti dengan memahami dan pandai mengalisis kandungan kitab suci yang kita baca itu, walau pun hanya dengan membaca sahaja kita telah mendapat pahala, tetapi membaca dan memahami serta tahu pula mengaitkannya dengan kehidupan kita ini terlebeh besar pahalanya...Namun hal ini telah dan sedang berlaku sekarang ini di negara kita, harap2 akan bertambah rancak dan maju lagi menjelang tahun2 yang akan datang....Insya'Allah...
Comments
Post a Comment