HARI KETUJUH PUASA
Umat Islam yang hendak memuhasabahkan dirinya bolehlah melakukannya hari ini, iaitu setelah genap seminggu berpuasa. Malah kalau memuhasabahkan diri setiap hari pun lebeh baik lagi. Muhasabah diri dalam bulan Ramadan ini mungkin dapat dipusatkan kepada amalan puasa dan kesannya kepada diri sendiri dari segi keimanan, pemikiran, kefahaman tentang nilai agama dan moral yang seharusnya dimanfaatkan dari madrasah Ramadan ini, terhadap jiwa, nafsu, emosi dan perasaan umumnya.
Muhasabah bererti membuat kajian tentang diri sendiri setelah seminggu berpuasa, apakah kita terlalu banyak merosakkan kerohanian dan kelakuan kita dengan membiarkan nafsu kemarahan kita menguasai diri kita sehingga kita sanggup mengeluarkan kata2 kesat dan berbentuk ancaman umpamanya kepada orang lain, seperti bercakap kasar, maki hamun, memfitnah, dan mengumpat atau mengata2kan orang , atau dalam perbuatan kita iaitu seperti memukul, mendera orang lain, membakar rumah seperti yang berlaku baru2 ini kerana perasaan marah, atau kalau memandu kenderaan memotong orang tanpa bersopan, memotong barisan di atas jalan, menekan hon sana sini, dan yang lebeh serius lagi mencuri, menyamun, atau menipu dan menginayai orang lain.
Pendeknya sebagai manusia, yang mempunyai nafsu dan perasaan, emosi dan sentimen, maka manusia itu sering terlupa dirinya, terlupa kepada ajaran agama tentang akhlak dan kelakuan serta adab sopan sebagai seorang manusia Muslim umpamanya.
Maka manusia seharusnya terdidik selama sebulan setiap tahun untuk menyedari dirinya, mengawal nafsunya dari godaan syaitan dan iblis, dan meletakkan iman dan ihsan di atas segala2nya untuk membentuk peribadi dan akhlak, rohani dan jasmaninya supaya sentiasa terkawal, bukan hanya menahan nafsu fizikal untuk makan minum dan memenuhi kehendak syahwatnya yang lain.
Kalau orang Islam dapat memanfaatkan rahsia Ramadan selama sebulan dan menjadikan manfaat ini sebagai sesuatu yang dihayatinya sepanjang hidupnya, maka masyarakat umat Islam akan dipenuhi oleh orang2 yang bermoral dan berkhlak, yang berperadaban dan bertamadun, aman damai dan sejahtera kehidupannya di dunia yang serba mencabar ini.
Dalam memanfaatkan ibadat puasa ini, manusia ini sekurang2nya dapat melatihkan dirinya bersabar dalam hidupnya, dan pelajaran ini merupakan satu pelajaran yang besar dan penting dari amalan puasa, dan yang seharusnya dihayatinya sepanjang masa dalam hidupnya. Allah SWT memberikan peringatan kepada manusia, bahawa "Kami ( Allah) akan menguji kamu semua dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan kebendaan, dan jiwa, dan buah-buahan, dan berilah kabar gembira kepada orang2 yang sabar, (iaitu) orang2 yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata : sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali". (Surah Al-Baqarah ayat 155-166)
Kehidupan pada hari ini dipenuhi dengan suasana takut dalam berbagai2 jenisnya, takutkan musuh, pencuri, penculek, peragut, penipu, perogol, pembunuh dan sebagainya, malah manusia mengalami saat2 kelaparan, kekurangan rezeki, air, makanan, udara bersih, kesakitan, kematian, kemarau yang merosakkan tanaman, tidak mendapat hasil. Semuanya ini merupakan bala bencana, yang dihadapi oleh manusia sepanjang zaman.
Orang menghadapi kekacauan, pembunuhan, peperangan, penindasan, penjajahan, kekejaman antara keluarga, masyarakat, sesama manusia, sesama agama atau kerana perbezaan agama, maka semuanya ini merupakan ujian yang seharusnya dihadapi dengan tabah dan berani, dan seharusnya diusahakan supaya bala bencana dan ujian ini dapat di atasi dan di lawan, kerana semuanya ini berlaku dengan kehendak Allah SWT, dan dalam masa yang sama Allah juga memberikan akal fikiran, kemampuan berfikir, berusaha, berpakat untuk menghadapi segala ancaman dan cabaran hidup ini, iaitulah dalam ungkapan Allah "Inna Lillahi wa Inna Ilaihi Raji'un", "sesungguhnya kita adalah kepunyaan Allah dan kepada-Nya lah kita kembali," ertinya potensi manusia ini seharusnya dapat digembelingkan semuanya seperti yang diciptakan oleh Allah untuk menghadapi segala ujian itu dengan penuh keimanan, kekuatan dan tawakkal kepada-Nya, kerana Allah juga mengingatkan kita supaya tidak berputus asa dari rahmat-Nya.
Dalam zaman ICT, internet, facebook, portal, sms, blog dan sebagainya hari ini, orang ramai boleh maki hamun, kata mengata, dan mengeluarkan seribu satu tuduhan, fitnah, hasutan serta kata2 yang kasar tidak bersopan kepada sesama sendiri, kepada orang lain, kepada kawan dan lawannya, dan hal ini berlaku dengan amat maraknya dalam bulan puasa ini, malah menyerang peribadi dan batang tubuh orang lain sering menjadi buah mulut dan permainan kata2 yang amat popular pada hari ini di dalam media baru, yang dikatakan media alternatif itu...
Jadi di manakah perginya pelajaran puasa yang sedang kita amalkan sepanjang hari, yang telah pun masuk ke minggu kedua pada esok hari? Di manakah rahsia dan pengajaran yang seharusnya kita pelejari dalam bulan Ramadan ini, atau kita hanya termasuk dalam golongan yang telah diberikan amaran oleh Rasulullah SAW bahawa ramai sekali orang yang berpuasa, yang tidak mendapatkan sesuatu apa pun dari puasanya, kecuali lapar dan dahaga sahaja. ...
Comments
Post a Comment