HARI KESEBELAS PUASA

Selasa 31 Julai merupakan hari kesebelas puasa tahun ini. Semalam saya ke sebuah masjid di KL untuk sembahyang terawih, dan saya merasa terkejut kerana sewaktu imam mengangkat takbiratul-ihram, Allahu Akbar, rupa2nya Imam Masjidul Haram yang terkenal itu yang datang mengimamkan sembahyang di sini, iaitu Imam Sudais. Gaya takbirnya dan bacaannya yang menekan tentang ayat2 tertentu dalam surah al-Fatihah, juga sebutan Allahu Akbar ketika ruku' dan sujud, sahlah dia ini imam Sudais.  

Tetapi apabila masuk rakaat yang kedua, bacaan nya mulai berubah, tidak membawa identiti Imam Sudais lagi, baru saya dapat meneka, bahawa imam ini ialah salah seorang ustaz kita sendiri, yang dapat meniru gaya Imam Sudais pada rakat yang pertama tadi, tetapi pada rakaat yang kedua telah bertukar lagunya pada beberapa bahagian bacaannya yang tertentu, tidak ori lagi !.

Bagaimana pun saya angkat tabik kepada Ustaz kita Imam ini, kerana dia tadi benar2 menjelma sebagai Imam Sudais. Saya percaya, ramai jemaah kita yang pernah pergi ke Makkah dan menjadi makmum mengikut Imam Sudais akan menyangka bahawa imam pada malam ini ialah imam Sudais, yang terkenal dengan suara nyaring, garau dan lemak manis itu.

Sebelum ini saya pernah juga mendengar Imam masjid yang lain, yang sebiji, salin tak tumpah membaca seperti seorang imam Masjidul Haram juga, tetapi bukan Imam Sudais, imam lain yang tidak saya ingat namanya. Namun begitu rupa2nya imam ini juga meminati imam Makkah itu, sebab itu dia berjaya meniru bacaan imam pujaan ramai itu. Bukan itu sahaja, malah dia boleh meniru bacaan semua imam Makkah dan Madinah yang sering kita dengar itu, semuanya dia boleh tiru dalam bacaannya, lagunya, tinggi rendah suaranya, malah membaca takbir ketika rukuk dan sujud pun tepat seperti imam yang ditirunya itu! Subhanallah orang kita.

Pendeknya orang Melayu ini ialah jenis orang yang amat pandai meniru orang lain, dan tiruannya itu tidak lari jauh dari orang yang ditiru.

Hal inilah yang kita tenguk satu masa dulu, ketika para penyanyi Melayu amat bijak sekali meniru lagu2 Hindustan, lagu Arab, malah lagu Inggeris seperti lagu2 Net King Cole (mungkin salah ejaannya nama ini), tetapi itulah kebolehan orang Melayu yang bagus, iaitu meniru gaya dan cara orang, termasuk kadang2 bila bercakap bahasa Inggeris, bunyinya macam percakapan Mat Saleh.

Menyebut tentang sembahyang terawih ini, saya nampak sejak tahun2 kebelakangan ini, imam tidak lagi baca ayat lazim, pendek2, macam dilakukan imam kampung saya ,  tiga, atau empat puluh tahun dulu. Sekarang baca surah2 yang panjang dari Al-Quran. Sembahyang pun menjadi panjang masanya, sebab itulah juga mungkin orang suka berhenti ketika selesai lapan rakaat sembahyang terawih, dan sambung sembahyang witir di belakang, sana sini kelihatan jemaah bersembahyang secara bersendirian.

Saya tidak mengatakan sembahyang  terawih yang panjang itu memberi peluang kepada para makmum berkhayalan dalam sembahyang, mengingati segala kueh mueh, buah kurma dan durian yang tinggal di rumah, atau berfikir apa nak kata dalam mesyuarat esok dengan bos, malah ada yang berfikir nak basuh kereta segera esok pagi, dan nak siap tayar baru untuk pulang beraya dikampung, jalan mana nak ikut, pukul berapa nak bertolak, berapa jam baru boleh sampai Baling jumpa mak bapak. Beratus kilometer pemikirannya melayang mulai dari rakaat yang pertama sembahyang isyak, hingga rakaat yang kelapan sembahyang terawih.

Ya, saya tak fikir kerana sembahyang panjang maka makmum boleh melayang pemikirannya begitu lama dan jauh, kerana dalam sembahyang sependek mana pun, kepala manusia sentiasa di masuki syaitan dan ibklis, mengajaknya berkhayal dan berfikir macam2 benda di luar sembahyang, yang pada ketika itu maka sembahyangnya tidak kyusuk lagi.

Dalam sembahyang subuh  dua rakat itu pun, ramai makmum yang telah sampai ke KLIA, naik pesawat MAS, pergi Singapura, beli baju dan pinggan mangkok, balik KL lagi, lari cukai, tipu kastam dan sebagainya. Semuanya itu berlaku dalam sembahyang dua rakat saja. Ini memang permainan akal fikiran yang digoda iblis supaya manusia yang menyembah Allah tidak perlu menumpukan kepada amalan sembahyang yang sedang dilakukannya. Cuma dalam sembahyang terawih yang panjang itu, tentulah pemikiran makmum akan lebeh banyak bercerita dengan lebeh lama dan panjang lagi.

Sebab itu, ramai para ulamak kita berpesan, bahawa banyak cara boleh dilakukan untuk khuysuk dalam sembahyang. Pertama ialah memahami apa2 yang dibaca oleh imam, kalau sembahyang berimam. Yang kedua tunduk melihat tempat sujud kita saja, jangan bermata liar, tenguk sana sini. Tetapi kalau tersedar bahawa fikiran kita telah menyeleweng ke lain, maka cepat2lah sedar kembali dan balik dalam sembahyang dengan seberapa kyusuk yang boleh.

Selalunya memahami ayat2 yang dibaca itulah yang paling baik untuk kita kekal dalam sembahyang dengan khusyuk. tetapi saya tanya kawan2 saya yang memahami Arab dan memahami makna ayat2 dalam Al-Quran, mereka kata, kita yang faham ini pun, kadang2 melayang juga ke tempat lain. Dan yang tenguk ke tempat sujud saja itu pun, kadang2 ditempat sujud itulah terhidang pulut lemak kari daging, atau nasi dagang ikan tongkol yang mengeluarkan air liur.

Jadi amatlah baik sekali saya rasa dalam bulan Ramadan ini, ketika kita banyak melakukan ibadat sembahyang, maka kita bersungguh2lah mengambil peluang berlatih khusyuk dalam sembahyang, tambat fikiran kita dalam sembahyang, dengan mengikuti betul2 ayat2 yang imam baca, walau pun tak faham, tetapi kalau masa imam baca surah Al-Fatehah tentulah rata2 umat Islam memahami maknanya, namun dalam masa dua tiga minit bacaan Al-Fatehah itu pun, ramai jemaah yang teringatkan nak main golf esok.

Oleh itu kita telah masuk sebelas hari berpuasa, rebutlah peluang sebelaum akhir Ramadan ini, biasakan khusyuk dalam sembahyang. Baca betul2 maksud dan tafsiran surah Al-Fatehah, sekurang2nya pelajarilah maksudnya ketika Imam membaca : bahawa segala pujian itu tertentu bagi Allah Tuhan sekelian alam. ( Apakah dianya maksud Tuhan sekelian alam itu?) Kepada Kamu kami menyembah dan kami minta tolong, (minta tolong untuk apa? Apakah jenis pertolongan yang diminta?) Hingga akhir surah imam baca: Tunjukkanlah kami jalan yang lurus, jalan yang Engkau berikan ni'mat kepada mereka,( siapakah mereka itu?) Bukan mereka yang Engkau murka dan bukan mereka yang sesat, (siapakah mereka itu?) Faham makna ini sekurang2nya, sambil perhatikan tempat sujud, dan tarik pemikiran kita sepenuhnya supaya berada dalam kawalan kita, insya'Allah dapat khusyuk. 

Cuma bila baca ayat dan surah panjang nampaknya masalah sikit, dan mulailah akal fikiran akan melayang lagi, berjalan sampai ke angkasa lepas.

Tetapi tak apa, kalau selalu berlatih untuk khusyuk, maka iringilah dengan doa kepada Allah, dan mungkin ada jalan lagi untuk khusyuk yang boleh ditanya kepada Ustaz Don TV Hijrah, maka sementara bulan Ramadan belum habis, berlatihlah khusyuk, mudah-mudahan puasa tahun ini kita dapat satu perkara yang baik dalam latihan kita iaitu khusyuk dalam sembahyang. Esok  hari ke 12 kita bepuasa, dan kita bertemu lagi insya'Allah.  

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....