AIR MATA IBU.........



lembu menangis...ibu pun menangis


Semasa saya masih lagi menyambungkan pelajaran di Al-Azhar Mesir, ibu saya telah mempunyai niat untuk saya. Dia mengambil se ekor anak lembu jantan dan dipeliharanya. Pada waktu pagi, dia membawa anak lembu itu ke sekeliling rumah untuk memakan rumput. Ditambatnya di satu tempat, kemudian dalam sejam dua, di ubah tempat tambatannya, supaya anak lembu itu mendapat rumput di tempat lain yang masih panjang, dan demikianlah dalam sehari itu, ibu akan mengubah tempat merumputnya tiga empat kali sehingga anak lembu itu membesar dengan agak gemuk.

Apabila anak lembu itu berumur dua tahun lebih, mulailah ibu melepaskan lembu itu dari ikatan talinya. Mula-mula diawasinya supaya lembu itu tidak merayap ke rumah jiran dan memakan daun-daun pisang tanaman orang, kemudian di bawanya anak lembu itu ke tempat yang agak berhutan untuk dimakannya daun-daun kayu di sana.

Akhirnya di cubanya membiarkan lembu itu keluar ke tempat berdekatan untuk memakan rumput, dan kadang-kadang ke tepi hutan memakan daun, lalu pada waktu petangnya ibu akan mencari lembu itu, dan membawanya pulang ke rumah.

Lembu ini tidur di bawah rumah. Rumah kampung mempunyai tiang yang tinggi. Kami tinggal di atas, dan di bawahnya di letakkan barang-barang yang hendak di simpan, juga basikal, dan kayu api yang telah kering untuk memasak makanan.

Lembu ini, pada waktu malam, akan tidur di celah-celah kayu api itu, dan pada waktu malam, biasanya ibu akan membakar kayu-kayu buruk supaya berasap dan panas, terutamanya pada waktu hujan, lalu tidak banyaklah nyamuk yang akan menggigit lembu itu.

Lama kelamaan, lembu ini membesar dan berbadan tegap, dagingnya banyak, perangainya tidak seperti lembu liar lain, yang sering menjadi korban orang kampung, kerana tabiat orang kampung pada masa itu sekiranya terdapat lembu yang menceroboh rumah mereka, memakan daun pisang atau daun kelapa mereka, malah menumbangkan pohon-pohon pisang mereka, maka mereka akan menggunakan cuka getah untuk di simbah ke atas badan lembu itu, sehingga akhirnya lembu ini akan cedera dengan luka merah menyala yang kadang-kadang besar, dan kadang-kadang sederhana di seluruh badan lembu itu.

Tetapi lembu ibu saya dia hanya tahu pergi ke tempat yang biasa. Pagi-pagi dia akan pergi sendiri, dan senja akan baliklah dia, jalan terhinggut-hinggut, masuk ke tempat biasanya di bawah rumah kami, sambil mengunyah-gunyah mulutnya menghancurkan isi perutnya yang di makannya siang tadi.

Selama beberapa tahun dia mengikut rutinnya ini, pergi balik tepat pada waktunya, dan membesar sebagai teruna lembu yang tampan dan menarik, sehinggalah saya balik dari Mesir, dan akan melangsungkan perkahwinan.

Niat ibu saya selama ini ialah hendak menyembelih lembu ini pada hari perkahwinan saya, dan niatnya memanglah akan termakbul, kerana sekembalinya saya dari Mesir, saya akan mendirikan rumah tangga selang tidak berapa bulan sahaja.

Tetapi, sebelum tiba hari perkahwinan saya, ibu nampaknya merasa agak tertekan dan terganggu perasaannya. Sungguh pun ibu tidak menceritakannya, tetapi kami adik beradik mengetahui bahawa jiwa dan hati ibu nampak sedih.

Akhirnya kami tahu bahawa ibu merasa sedih kerana lembu itu akan disembelih, tetapi itulah yang diniat dan dikehendakinya, iaitu dari awal lagi, ketika dia mulai memelihara anak lembu ini, niatnya ialah untuk menyembelihnya bagi kenduri perkahwinan saya.

Rupa-rupanya dia merasa sedih kerana setiap hari, apa bila waktu hari perkahwinan saya hampir tiba, dia melihat lembunya yang amat taat setia ini, kembali dengan rasa sogol, atau pun itulah gambarannya, malah dia mengatakan bawa lembu ini sering kelihatan mengalirkan air mata, basah mata dan sekeliling matanya.

Kami hiburkan hati ibu dengan mengatakan bahawa mungkin hal itu hanyalah perasaan dan gambaran ibu sahaja. Bukankah ibu telah memeliharanya dengan baik, memberi makan secukupnya, dan memberikannya  air garam, minuman kegemarannya setiap masa?

Akhirnya tiba lah hari penyembelihannya dan dagingnya amat banyak serta lembut, amat membuka selera para jemputan semua.

Ibu memberitahu, dia tidak sanggup memakan daging lembu itu. Lembu itu bukan untuk makanannya, tetapi untuk makanan orang-orang kampung yang dijemput bagi meraikan perkahwinan saya. 

Saya tidak pernah tahu bahawa ibu saya mempunyai perancangan yang panjang untuk saya. Tidak pernah juga saya tahu bahawa hati ibu yang mulia itu pun seolah-olah difahami oleh haiwan yang tidak pandai berfikir dan berkata-kata.

Mungkin selama hampir empat tahun saya berada di perantauan, jauh di negara Timur Tengah itu, lembu itu menjadi simbol kasih sayang dan kerinduan ibu kepada saya, sehingga lembu itu sendiri dapat merasakan kemesraannya.

Bila saya kembali, ibu tentulah dapat merasakan kehangatan kasih sayangnya yang sempat saya balas, tetapi kasih sayangnya kepada haiwan yang telah dapat mengurbankan dirinya untuk kebahagiaan kami anak beranak juga amat dihargainya, sehingga kelihatan bahawa lembu itu menangis, dan ibu juga turut menangis....

Air mata ibu............yang tidak pernah kering......... 

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....