PANGGILAN IBU



TU ORANG KE?

Agak pelik juga arwah ibu saya masa saya kecil-kecil dulu, apabila dia dengar ada orang di luar rumah yang bercakap atau bertanya sesuatu kepada saya, dia akan bersuara kepada saya selepas suara orang di luar itu hilang, "tu sapa? orang ke, Cina?"

Saya pada masa itu tidak tahu sangat maksudnya, lalu saya bertanya kepadanya apakah maksudnya dengan "orang" itu? Setelah dia memberitahu saya maksudnya barulah saya faham bahawa yang dimaksudkan dengan "orang" itu ialah orang Melayu, Maknanya kalau orang itu bukan Melayu, kita kenalah bagi tau dia sama ada orang itu Cina atau India!!kerana pada masa itu hanya tiga bangsa inilah saja yang menjadi penduduk Semenanjung Tanah Melayu.

Ertinya kalau dia bukan Melayu, maka dia dibezakan dengan menyebut bangsa keturunannya terus sama ada Cina atau India. Kalau menyebut "orang" itu maknanya ialah orang Melayu, penduduk asal Tanah Melayu pada ketika itu, sedangkan Cina atau India adalah mereka yang datang dari negara lain untuk duduk dan bekerja di Tanah Melayu.

Hal ini tidak menghairankan, kerana Malaya atau Malaysia yang di gunakan sebagai nama negara ini kemudiannya masih belum terkenal dengan nama tersebut, malah negara ini di kenali dengan nama Tanah Melayu, atau Semenanjung Tanah Melayu, maka penduduk asalnya ialah orang Melayu, sebab itulah orang-orang tua seperti ibu saya akan dengan sendirinya merujuk kepada orang Melayu sebagai "orang" asal dari negara ini, dan keturunan lain atas nama bangsa keturunan mereka itu sendiri.

Selepas itu saya tahulah memberikan jawapan kepada ibu saya, iaitu apa bila dia bertanya "sapa tu?" Saya jawablah "orang" atau "Cina" atau "India".

Pada waktu itu tidaklah kami fikirkan tentang agama penduduk Tanah Melayu ini sangat, kerana secara tabienya kami telah tahu bahawa kalau dia itu "orang" maka tentulah dia itu beragama Islam, dan kalau dia itu Cina atau India maka dia bukanlah Islam, kecuali seorang dua dari mereka yang telah "masuk Melayu" (!) maka tentulah dia beragama Islam, sebab agama Islam juga di Tanah Melayu pada masa itu adalah "sinonem" dengan Melayu, apa bila "masuk Melayu", maknanya "masuk Islam".

Setelah negara kita terkenal dengan nama "Malaya" dan kemudiannya "Malaysia" barulah istilah "orang, Cina atau India" ini terpadam dari pemikiran warga negara kita, tidak lagi seperti yang pernah difikir dan diucapkan oleh orang-orang tua seperti ibu saya itu.

Sekarang barulah kita kenali warga negara kita dengan bangsa Malaysia, tanpa perlu merujuk kepada asal usulnya mengikut keturunan mereka, walau pun nama kaum itu masih penting dikenali dan dirakamkan di dalam banyak urusan pentadbiran dan jati diri kaum masing-masing, juga jati diri negara kita sendiri.

Malah pada masa kini pun tentulah tidak dapat lagi sesiapa pun mengatakan warga negara keturunan lain dari Melayu itu seolah-olah mereka itu bukan "orang" ! Sebab kalau kata "bukan orang" maka mereka itu siapa? Mereka orang juga, cuma orang India, atau orang Cina.

Oleh itu saya fikir pada masa kini tidak timbullah ungkapan yang sering ditanyakan oleh ibu saya puluhan tahun dulu itu, atau lebih tepat lagi tidaklah timbul sebarang perbezaan dari segi asal keturunannya, sama dia itu " orang" atau "bukan orang"...

Pengucapan ini tentulah telah terkubur begitu lama dulu, bersama-sama pemergian orang seangkatan dengan arwah ibu saya. Al-Fatehah.

Cuma saya merasa agak kebingungan kerana pada masa kini nampaknya terdapat kalangan warga negara Malaysia yang mulai membangkitkan kembali pemikiran yang sama seperti sentimen puluhan tahun yang lalu dengan berbangga dan bermegah-megah bagi keturunan dan agama masing-masing, sehingga pemikiran kita nampaknya kembali kepada zaman lama dan minda lama itu!

Hal ini akan saya sentuh dalam ruangan ini kelak sekiranya mempunyai kesempatan....umpamanya tentang "ten contributions of non-Muslim....." (!!)

Sementara itu, marilah kita mengembalikan ingatan kita kepada ungkapan yang diucapkan oleh ibu saya tentang keturunan bangsa kita ini, dan falsafah yang terkandung disebaliknya, serta maknanya yang tersirat disebalik yang tersurat ketika itu...yang tentunya tidak terlintas sedikit pun di kepala kita akan kita ucapkan lagi dalam situasi sekarang...

Ibuku, Ibuku................


Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....