MENGUBAT CARA IBU




IBU BUKAN DOKTOR......

Ketika masih kecil, saya selalu juga mengalami ketinggian suhu badan, demam. Ketika demam, tekak rasa pahit, tak lalu makan, tak ada tenaga dan rasa nak tidur sahaja.

Ibu tahu menurunkan suhu badan, terutamanya ketika suhu badan terlalu tinggi, demam yang bersangatan. Malah untuk menjaga suhu badan supaya selalu normal, tidak tinggi, ibu selalu menyuruh saya mengikut arahannya ketika mandi, terutamanya pada waktu pagi.

Di kampung pada waktu itu, orang semua mandi di perigi. Perigi yang di korek dalam ke bawah perut bumi, akan mengeluarkan air dari mata air bawah tanah, dan lama kelamaan air itu akan memenuhi perigi yang di korek itu.

Orang kampung amat cekap menceduk air perigi menggunakan baldi tin, atau kadang-kadang menggunakan upeh yang dijadikan penyeduk menggantikan baldi. Ada teknik yang digunakan supaya air segera masuk ke dalam baldi dan mengangkatnya ke atas lalu di juruskan ke atas badan, atau dicurahkan ke dalam bekas takungan air yang besar.

Air perigi amat sejuk. Kalau waktu pagi air bertambah sejuk, dan pada waktu itulah badan akan merasa gigil yang bersangatan ketika air dicurahkan ke badan.

Ibu selalu pesan, supaya apa bila mandi, bila-bila masa sahaja, mulailah dengan menjurus hujung kaki, mulai kaki kanan, kemudian kaki kiri, jurus dari lutut ke bawah mulai lutut kanan dan kemudian lutut kiri, setelah itu jurus pinggang kanan kemudian pinggang kiri, lepas itu bahu kanan dan bahu kiri, muka, kemudian barulah jurus kepala dan semua badan.

Dia kata dengan mengikut cara mandi begini, panas badan akan naik beransur-ansur ke ke atas, sedikit demi sedikit dan akhirnya panas badan akan naik ke kepala dan akan keluar semua wap panas badan dari kepala, lalu badan akan menjadi sejuk, kerana segala wap panas telah keluar dari badan ketika mandi, dan kerana itu , orang yang menggunakan kaedah mandi begini, amat jarang terkena demam panas.

Tetapi dengan mengikut cara mandi itu pun, kadang-kadang saya mengalami demam juga. Rasa panas badan, tak lalu makan, dan nak tidur sahaja. 

Biasanya apa bila demam begini, pada waktu malam, sebelum pukul sembilan, ibu akan selimutkan badan saya dengan kain tebal, kadang-kadang dari hujung kaki ke hujung kepala, dan biarkan kepanasan beberapa ketika, sehingga badan berpeluh, barulah buka selimut.

Pada masa itu ibu akan menyiapkan air mandi dalam tempayan atau baldi besar, asam jawa juga disediakan. Setalah badan dikeringkan dari peluh, saya kenalah bangun duduk di atas bangku kecil yang biasanya digunakan untuk memotong sayur, kaki terjuntai ke depan, dan mulailah ibu menjuruskan air ke badan saya mengikut kaedah mandi yang diajarnya selama ini, mulai dari hujung kaki, naik ke atas sehingga ke kepala.

Waktu itu jam menunjukkan pukul sembilan malam, orang semua telah senyap sepi, tidur lena, tetapi saya terpaksa menggigil dimandikan air sejuk.

Sudahlah sejuk air yang dingin, ditambah pula dengan lumuran asam jawa ke seluruh badan, maka bertambah sejuklah badan seluruhnya, dan pada waktu itu nampak asap berkelun keluar dari kepala, seolah-olah asap tunku dapur dari kayu api yang sedang dibakar ketika memasak nasi, dan ibu akan membiarkan asap kereta api itu keluar sebanyak-banyaknya, kerana itulah wap panas yang harus dibiarkan keluar dari badan kita, kata ibu.

Sejurus kemudian, barulah ibu menjuruskan air dengan agak banyak ke seluruh badan saya, sehingga badan bertambah sejuk, dan menjadi bertambah gigil, kemudian barulah dikeringkan badan dan diselimutkan dengan kain pelekat kering, dan duduk semula di atas tilam, masih menggigil.

Ajaibnya, masa itu badan merasa normal kembali, suhu panas telah hilang, dan mulai tekak merasa hendak makan, kalau ada nasi dan goreng ikan, tentulah amat sedap di makan. 

Ibu membawa makanan, nasi sepinggan dan ikan goreng serta masak udang kuah kuning dengan asam belimbing buluh kegemaran saya, lalu makanlah saya dengan amat berselera sekali.

Itulah lampu ajaib ibu yang digunakan untuk menurunkan panas badan ketika demam, dan nampaknya cara itu amat mustajab, malah ibu pun menegaskan bahawa sekiranya badan tidak diselimut untuk mengeluarkan peluh, maka janganlah dimandikan ketika badan panas itu.

Badan haruslah disejukkan dulu dengan peluh yang keluar kerana telah di selubungi dengan selimut, setelah itu, iaitu setelah badan berpeluh, dan suhu badan agak sejuk, barulah dimandikan, dan yang lebih baik lagi dilumurkan asam jawa ke seluruh badan supaya suhu panas cepat keluar kesemuanya.

Ibu tak pernah belajar ilmu perubatan, dan tak pernah tahu pun ubat-ubatan moden untuk menurunkan suhu badan, yang dia tahu hanyalah menggunakan bahan-bahan asli, iaitu air dan asam jawa, iaitu asam jawa yang biasanya digunakan untuk memasak gulai. Yang pentingnya ialah badan orang yang demam hendaklah diselimut hingga peluh. Katanya kalau tidak dikeluarkan peluh, dan dimandikan ketika itu, maka panas akan terperangkap di dalam badan, maka demam itu tidak akan kebah, malah menambah lagi berpanjangannya demam.

Ibu ku, bukan seorang doktor atau juru rawat, bukan dukun dan bomoh, tetapi dia mempunyai caranya tersendiri mengubati  sesiapa yang demam panas,  terutama ketika anaknya sendiri yang demam....maka wanita suri rumah biasa ini tiba-tiba menjelma menjadi doktor yang mahir dan berkesan sekali.......Ibu ku...Ibu Ku

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....