IBU TELAH LAMA PERGI
IBU DALAM KENANGAN
Dulu, semasa ibu masih ada, lama dulu, saya sering juga menolong dia. Tolong cara kampung, iaitu dalam urusan mengangkat air dari perigi masuk ke dalam rumah di dapur, menolong menjejak lesung ketika menumbuk padi dengan menggunakan lesung kaki, mengheret lembu balik dari hutan pada waktu petang, atau memberi makan itek dan ayam yang di pelihara beberapa ekor, tetapi saya tidak pernah mencuba menyembelih ayam ketika akan dimasaknya, kerana saya tak gamak nak sembelih ayam.
Banyak sangat perkara yang anak kampung dapat menolong ibunya ketika itu, puluhan tahun yang lalu, kerana pada masa itu ibu dan kebanyakan wanita kampung adalah merupakan suri rumah sepenuh masa, yang kerjanya ialah menyiapkan kesenangan rumah tangga, terutamanya untuk makan setiap hari bagi semua anggota keluarga.
Hampir semua pasangan suami isteri, tua dan muda, pada waktu itu sering ke sawah bersama, ke kebun getah bersama, menunggang basikal berpelantar besar pada waktu itu. Kadang-kadang ada juga ke pekan menumpang bas, setelah berbasikal keluar dari kampung dan menyimpan basikal itu di kedai Cina dekat jalan raya yang menuju ke pekan.
Ibu dan bapa saya hidup dalam dunia sebelum perang, kemudian memasuki dunia peperangan ketika Jepun memerintah, dan kemudiannya British mengambil aleh pemerintahan Tanah Melayu sehingga mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.
Kami adik beradik tidur awal, padam saja pelita minyak selepas isyak, terus tidur dalam kelambu, mengelakkan diri dari gigitan nyamuk, terutamanya dalam musim hujan, terlalu banyak nyamuk yang mengganggu tidur kita sekiranya tidak memakai kelambu.
Kerana terlalu banyak nyamuk, orang kampung sering membakar sabut di bawah rumah supaya nyamuk lari ketika asap bakaran sabut naik ke rumah melalui celah-celah lantai papan dan merayap di dalam rumah. Cuma kalau terlalu banyak asap maka kami pula yang terbatuk-batuk.
Kami adik beradik sering juga menolong membersihkan dapur tempat masak dengan membuang abu kayu yang mulai menimbun di sekeliling tungku tempat memasak. Kayu api yang kami gergaji dari batang kayu kering yang tumbang itulah menjadi bahan api memasak, tetapi abunya bertambah banyak di atas dapur sekiranya tidak di buang.
Amat banyak pengalaman hidup yang di alami di kampung zaman dulu. Banyak juga pengalaman politik pemerintahan yang di lalui ketika itu. Ketika Jepun menakluki Tanah Melayu, askarnya datang juga sekali sekala ke kampung, memaksa orang kampung memanjat pokok kelapa dan menurunkan buah kelapa muda untuk mereka meminum airnya. Jepun amat suka minum air kelapa.
Ketika askar Jepun masuk kampung, rumah-rumah menjadi sunyi kerana anak-anak gadis dan wanita akan menyorok di atas para rumah, atau lari lentang pukang masuk hutan seperti melarikan diri dari harimau liar.
Selepas Jepun menyerah kalah, dalam zaman peralihan sebelum British memerintah semula, Komunis yang dipanggil bintang tiga oleh orang kampung masuk bermaharaja lela menangkap orang kampung yang disyaki menolong Jepun atau British, dan hampir menagkap abang saya yang pada masa itu menjadi Penghulu mukim, yang pernah diceritakan bahawa sekiranya mereka menagkap orang, maka orang itu akan di tanam sekerat badannya, dan diseksa sehingga mati.
Datang British kembali, barulah dunia agak aman. Kerajaan British membayar ganti rugi kepada bapa saya yang kehilangan keretanya semasa di ambil oleh askar Jepun ketika zaman Jepun memerintah. Bapa saya memakai kereta lama, Ford, yang saya sendiri tak ingat bilakah dia membelinya, tetapi abang saya yang sulung, dialah yang sering memandunya.
Kini semuanya itu hanya menjadi kenangan. Menjadi catatan sejarah. yang bakal hilang dan dilupakan bersama kehilangan generasi saya kelak. Dan catatan ini saya buat ialah kerana tibanya hari yang tidak pernah wujud dalam kamus dan catatan sejarah ibu dan bapa saya, iaitu Hari Ibu.
Selamat Hari Ibu. Bacalah dan ambillah pelajaran dari Al-Quran tentang ibu dan bapa untuk kita tahu mengenang dan mendoakan mereka.
Comments
Post a Comment