Mena'sah Kampung .........



JIMAT AIR DI MADRASAH


Surau, atau "mena'sah" seperti yang kami sebutkan namanya, merupakan bangunan kayu, berdinding papan dan beratap zing. Tiang nya agak tinggi, kena pakai tangga untuk naik ke atas. Tetapi orang kampung tidak terganggu dengan tangga yang agak tinggi, yang terdiri dari kayu juga, kerana orang kampung kebanyakannya tidak mengalami kepayahan untuk menaiki tangga itu, walau pun usianya sudah agak lanjut.

Di bawah surau itulah yang dijadikan tempat duduk oleh kaum ibu pada waktu malam ketika Hj Dolah menyampaikan pelajaran agamanya. Dan pada waktu siang hari, kelihatan ketul-ketul arang dan habu putek peninggalan bakaran kayu dan sabut pada malamnya ketika ibu saya dan kawan-kawannya menghidupkan api untuk menghalau nyamuk sambil mendengar Haji Dolah mengajar.

Tetapi tidak lama kemudian, hal ini hanya menjadi kenangan dan sejarah sahaja, kerana surau telah mendapatkan penyelesaian dengan membenarkan kaum ibu sama-sama naik ke atas surau dan bersembahyang serta duduk mendengar Haji Dolah mengajar di kawasan mereka yang siap bertabir memisahkan kaum ibu dan kaum bapa.

Kampung pada waktu itu bergantung sepenuhnya kepada air perigi. Telaga atau perigi dikorek di sana sini, berpagar rapi, dan ada kalanya berpagar separuh tinggi, menampakkan kepala orang yang sedang mandi.

Mandi mesti berkain basah. Orang perempuan memakai kain basah getang kedada, tapi masih nampak kepala bagi perigi yang berpagar rendah. Namun perkara itu telah menjadi adat kebiasaan di kampung.

Adat berkain basah ini menjadi amalan sebati kepada orang kampung, Pada zaman yang agak moden, apabila orang tua kampung berkunjung ke kota, ke rumah anak-anak atau keluarga di sana, mereka ketika masuk ke bilik air di rumah batu itu, akan mencari kain basah ketika hendak mandi.

Terpekik-pekik lah dia memanggil anaknya: "Awang, mana kain basah?" Anaknya terpaksa bergegas mencari kain pelikat lama, dan mengoyaknya untuk dijadikan kain basah. 

Di kampung kami semua masjid dan surau telah menyediakan kolah yang agak besar untuk berwuduk. Kolah itu dibina dengan simen, agak tinggi dan saiznya juga besar, biasanya empat segi. Airnya di ceduk dari perigi dan di cuarahkan ke dalam kolah sehingga penuh. Banyak juga orang yang kerjanya memenuhkan air kolah ini bagi orang berwuduk, terutamanya Haji Dolah selalu mengajar bahawa orang-orang yang membuat kerja-kerja kebajikan seperti ini akan mendapat balasan syurga di hari akhirat nanti.

Orang berwuduk tidak membazirkan air, kerana mereka membasuh anggota wuduk, muka, tangan dan kepala dalam kolah itu, malah kalau di gunakan baldi kecil pun mereka akan membasuh dan menjurus anggota wuduk mereka di dalam kolah itu tanpa membazirkan air, kecuali membasuh kaki yang dibuatnya di luar kolah.

Tetapi di kampung kami ada seorang yang agak berumur dan bersuara garau, sering berwuduk di kolah ini, namun dia menggunakan caranya yang tersendiri. 

Abang saya selalu menceritakan cara orang tua ini ambil wuduk di dalam kolah. Orang lain mula-mula membasah tangan sehingga ke pergelangan tangan di dalam kolah, kemudian berkumur-kumur dan meludahkan air dari mulutnya ke luar kolah, tetapi orang tua ini, yang kami panggil Tok Bakar, mempunyai caranya tersendiri, dia ketika berkumur-kumur pun akan meludahkan air kumurannya kembali ke dalam kolah sebanyak tiga kali!

Allah Yarham Tok Bakar. Dia mungkin memikirkan apa salahnya air mulutnya di luah dan disemburkannya kembali ke dalam kolah, bukannya najis. Dan dia juga mengkin memikirkan bahawa caranya itu tentulah lebih menjimatkan air !

Bagaimana pun itulah gelagat orang kampung saya dulu-dulu. 

Sekarang di bandar nampaknya adat menjimatkan air itu tidak digunakan lagi. Di Masjid dan surau semuanya memakai air paip, buka lah paip itu seberapa lama yang diperlukan, seberapa laju dan besarnya air yang mengalir. dan air itu akan terus menerus mengalir keliur agak banyak.

Jadi dalam hal ini nampaknya orang kampung dulu telah bertindak dengan lebih hikmah, dan masih menyedarkan untung, walau pun perigi tidak mengalami kekeringan pada musim kemarau, tetapi mereka tetap menjimatkan penggunaan air. Dan kita pada hari ini, tidak bertindak demikian, sehingga air terpaksa di catu pada musim kemarau.

Mungkin satu sahaja kelebihan menggunakan air paip ini, iaitu sekiranya di bandar terdapat banyak orang seperti Tok Bakar,  maka akan banyaklah orang yang akan menyembur air kumurannya ke dalam kolah, yang mungkin menyebabkan orang lain merasa terganggu, dan orang bandar sememangnya tidak perlu berbuat begitu kerana mereka mempunyai air yang banyak, dan ludah atau semburlah saja air kumuran di bawah kaki mereka seberapa banyak yang mereka mahu....!

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....