IBU BELAJAR BACA RUMI



ibu mengajar dan belajar


Ibu dalam angkatan lama, hanya membaca jawi. Saya pun tidak tahu adakah ibu pernah bersekolah secara formal, kerana setahu saya, dalam era angkatan saya pun, yang agak jauh terbaru dari angkatan ibu, tidak banyak anak perempuan yang pergi ke sekolah. Maka dalam zaman ibu saya semasa usianya masih muda tentulah sekolah biasa tidak menjadi tumpuan anak perempuan pada ketika itu.

Tetapi ibu boleh membaca jawi. Kadang-kadang abang saya membeli akhbar tulisan jawi, seperti Utusan Melayu, ibu tumpang membacanya.

Saya agak, ibu mungkin belajar jawi semasa belajar membaca Muqaddam dan Quran, iaitu membaca huruf jawi, maka di samping membaca Quran, dapatlah juga mengeja dan membaca jawi ketika membaca kitab Melayu. 

Ibu tidak membaca rumi. Huruf rumi pun tidak dikenalinya, apa lagi untuk membaca rumi. Memang tidak hairan pun kalau ibu tidak membaca rumi, kerana orang lelaki yang satu angkatan dengannya juga tidak membaca rumi.

Bapak saya yang menjadi Penghulu pun tidak mengenali rumi. Semua urusan pendaftaran beranak, surat-surat kepada Pegawai Daerah dan lain-lain semuanya di buat dalam huruf jawi. Surat beranak saya yang di tulis sendiri oleh bapak saya, semuanya tertulis dalam tulisan jawi, dan sijil beranak saya itu masih saya simpan hingga sekarang.

Tetapi ditakdirkan Allah, ketika ibu saya tinggal di kampung itu, kakak saya menghantar anaknya ke rumah kami, duduk bersama, dan pergi ke sekolah Melayu yang berdekatan, nama nya Marzukhi.

Marzukhi pergi ke sekolah dalam darjah satu. Dia agak malas membaca buku, mungkin kerana terlalu manja, sebab tinggal dengan Tok Wan dan Tok sendiri. 

Oleh itu ibu saya yang selalu mengajaknya membaca buku. Buku jawi di ajar oleh ibu saya kepadanya, mengenali huruf, mengeja dan membaca. Sebagai balasannya, ibu saya memberitahu cucunya supaya dia pula yang mengajar Tok nya huruf rumi, mengeja dan membacanya. Alasan ibu saya kepada Marzukhi ialah oleh kerana Tok tak kenal huruf rumi dan tak pandai baca rumi, Maarzukhi kenalah ajar Tok huruf rumi !

Apa lagi, budak darjah satu yang merasa dirinya pandai itu pun mulailah mengajar Tok nya, mengenali huruf, ABCDE.....dan seterusnya mengajar mengeja, dan membaca perkataan demi perkataan..sehingga dia sendiri naik ke darjah yang lebih tinggi, iaitu darjah dua dan tiga.!!

Ibu pun menunjukkan minatnya, dan semakin bersemangatlah Marzukhi, mengajar Tok nya membaca, mengeja satu demi satu huruf, dan juga menulis huruf rumi itu...yang terpaksalah Tok nya menurut perintahnya itu.

Akhirnya Ibu dapat mengenali huruf rumi dan tahu pula membaca rumi, malah buku-buku cucunya yang tertulis dalam huruf rumi, dapatlah pula dia membacanya bersama-sama cucunya itu....

Demikianlah satu lagi kejayaan ibu berkat usahanya mencetuskan jiwa cucunya secara yang penuh diplomasi, iaitu bukan menyuruh cucunya itu membaca dan menulis, sebaliknya menggunakan tindak balas psikologi agar cucunya itu merasakan bangga diri kerana dapat mengajar Tok nya membaca dan menulis rumi, menjadi guru lah....!

Itulah caranya ibu belajar membaca rumi, di mulai dengan mengenali huruf rumi, mengeja dan membaca...dan cucunya itu pun  merasa amat teruja kerana dia berjaya mengajar Tok nya membaca rumi....

Bagaimana pun, sebenarnya cucunya ini telah kembali ke rahmatullah agak lama dulu, setelah berkhidmat dalam angkatan tentera sebagai mekanik kereta dan lori askar.....

Arwah sendiri pun mungkin terkesan dengan Tok nya dalam memberikan perkhidmatan kepada orang, kerana arwah apa bila berkereta di jalan raya balik ke rumah atau ke mana-mana sahaja, tidak boleh melihat kereta berhenti, kerana setiap kereta yang berhenti itu dinggapnya rosak, lalu dia akan berhenti, bertanya, dan sekiranya kereta itu rosak, maka dia akan bertungkus lumus menolong membaikinya sekiranya kerosakan itu dapat di perbaikinya di tepi jalan itu...Dia amat dedikasi menolong orang yang terkandas di jalan raya kerana kerosakan kereta, tayar bocor dan sebagainya..

Kini kedua-duanya, Ibu dan anak saudara saya itu, telah lama pergi...dan kenangan yang saya ingat ialah bagaimana ibu saya mempelajari dan menguasai rumi, menggunakan sedikit ciri-ciri psikologi, yang tentunya tidak pernah di pelajarinya, agar cucunya merasakan penghargaan Tok nya bagi mengajarnya membaca rumi, sambil menjadikan cucunya itu rajin mengulang kaji pelajarannya sendiri secara yang tidak disedarinya...Ibu KU...Ibu KU...


Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....