JANGAN TENGOK BELAKANG.............


PESAN IBU


Pertama kali saya meninggalkan rumah di kampung untuk tinggal di luar ialah ketika saya mendapat tawaran bagi melanjutkan pelajaran ke sekolah Arab di Alor Star yang terkenal dengan nama Arabnya Al-Ma'had Al-Mahmud.

Al-Ma'had maknanya Maktab atau Kolej, dan Al-Mahmud ialah nama kerabat diraja yang mengasaskan maktab ini, iaitu YTM Tengku Mahmud. Mengikut catatan sejarah Maahad Mahmud telah ditubuhkan pada 19 Jun tahun 1936 bersamaan 24 Rabi'ul Awal 1355.

Sejak tamat persekolahan di kampung sendiri setakat darjah lima, abang saya, yang telah sedia belajar di maktab tersebut, meminta kebenaran bapa dan ibu untuk membawa saya belajar di maktab yang sama ini.

Sebelum ini, Guru Besar sekolah rendah yang saya belajar di kampung ada juga meminta bapa saya membenarkan saya pergi menyambung belajar di sekolah menengah Inggeris di Sungai Petani, tidak jauh dari kampung saya. Tetapi tak jadi. Mungkin kerana pada masa itu terdapat kecenderungan supaya dijauhkan anak-anak Melayu dari memasuki sekolah orang puteh. 

Tiba hari saya akan berangkat pergi ke Alor Star, ibu membekalkan sedikit kain baju dan bapa saya memberikan sedikit wang. Saya meninggalkan kampung dengan menumpang basikal abang saya yang menghantarkan saya ke stesyen kereta api Pinang Tunggal. Kereta api itu datang dari stesyen Butterworth, berhenti di beberapa stesyen, termasuk stesyen Pinang Tunggal, Seberang Prai, dalam perjalanan ke Alor Star. 

(Kampung Pinang Tunggal ada dua. Satu di dalam negeri Kedah, dan satu lagi dalam negeri Pulau Pinang. Sempadan Kedah dan Pulau Pinang ialah Sungai Muda yang memisahkan di antara dua buah negeri ini. Saya tinggal di sebelah Kedah, dan stesyen kereta api itu terletak di dalam negeri Pulau Pinang. Kami pergi ke stesyen keretapi itu dengan mengikuti jambatan kereta api yang merentasi Sungai Muda)

Kereta api pada masa itu masih memakai kuasa arang batu, dan bunyinya pun menakutkan, seperti bunyi naga menghembuskan nafas yang kuat dan menyeramkan. Kalau menumpang kereta api itu, kita jangan memakai pakaian bewarna puteh, atau warna cerah, kerana segala debu dan habuk arang batu akan menerpa kain baju kita dan meninggalkan kesan tumpuk-tumpuk hitam di atas baju kita.

Muka, mata, telinga, hidung, rambut kita pun penuh habuk arang batu, dan hendaklah dibasuh segera apa bila turun dari kereta api, malah hidung kita pun kenalah dibersihkan untuk melegakan kembali pernafasan kita, menghilangkan debu-debu arang batu yang menyebabkan hidung kita tersumbat.

Itulah cerita yang saya dengar dari orang-orang kampung yang pernah menaiki kereta api pada waktu itu. Sebab itulah saya memilih pakaian gelap untuk pergi menumpang kereta api ketika akan bertolak ke Alor Star itu.

Siap semua, saya pun turun ke bawah, ke depan rumah untuk menaiki basikal abang saya. Saya duduk di belakang basikl, di atas pelantar yang besar sambil memegang beg baju, tetapi sebelum itu ketika bersalaman dengan ibu, dia berkata kepada saya, "pi lah mengaji. Tak dak tinggai apa-apa ka?" Saya kata "semua bawak dah" Pesan terakhirnya ialah"Pi lah, cik ooi, jangan paling-paling belakang lagi. Kalau lupa apa-apa pun janganlah patah balik. Pi teghuih...lain kali balik ambik"

Dan saya pun beralih kepala, memandang ke hadapan saja, meninggalkan di belakang rumah dan halaman, pokok rambutan, dan telaga tempat mandi kami, dan ibu saya, yang mungkin agaknya masih tercegat memandang saya meluncur ke hadapan dengan basikal buruk itu.

Saya tak mahu lagi paling belakang, pesan ibu tadi, jangan tenguk belakang lagi, pergilah terus, dan pandang ke hadapan sahaja, jadi itulah yang saya lakukan, pandang ke hadapan, sebelah mata pun tidak menoleh ke belakang lagi.

Hingga kini saya tidak faham sangat mesej ibu saya itu, adakah kerana adat, tradisi dan budaya keluarga, atau suruhan agama dan sebagainya, iaitu apa bila seseorang itu keluar berjalan, terutamanya hendak berjalan jauh, maka dia janganlah lagi menoleh ke belakang.

Pesanan pertama ibu saya ini akhirnya menjadi pegangan hidup saya seumur hidup, iaitu ketika saya berbasikal, berkereta keluar dari rumah menuju ke mana-mana sahaja, saya berpantang menoleh ke belakang lagi.

Hingga tiba masanya saya akan beerangkat ke Klang kerana menyambung pelajaran di Kolej Islam Malaya, ke Cairo, ke Scotland, malah ke Saudi Arabia untuk bertugas sebagai Duta di sana dalam tahun 2005, saya tidak menoleh ke belakang apabila memulakan perjalanan. Saya memastikan bahawa semua barang keperluan, beg pakaian, paspot, tiket pesawat terbang dan peralatan yang hendak di bawa semuanya selesai masuk dalam beg dan terus ke dalam kereta, barulah saya mulai bergerak ke hadapan.

Dengan bekalan "jangan toleh ke belakang" inilah saya telah menghabiskan masa selama lapan tahun di sekolah Arab Maahad Mahmud Alor Star. Empat tahun di Kolej Islam Malaya, hampir empat tahun juga di Mesir, kemudian tiga tahun di Scotland, dan akhirnya dua tahun setengah di Riyadh sebagai Duta Malaysia di sana, selain dari sepuluh tahun berkhidmat di Institut Kefahaman Islam Malaysia, dan masa yang agak panjang di beberapa tempat saya bertugas yang lainya, termasuk UKM, 10 tahun, dan UIA hampir 11 tahun.

Saya memberikan kredit ketahanan saya belajar dan bekerja kepada keberkatan pesan ibu saya "jangan toleh belakang lagi bila melangkah ke hadapan" dan sekiranya ibu saya mengetahui bahasa Inggeris pada ketika itu tentulah dia akan mengungkapkan frasanya itu dalam bahasa Inggeris yang mungkin berbunyi "No turning back, no turning back" dan dengan itu saya pergi bekerja atau belajar dengan tekad yang tinggi, dan ketika bekerja, akan melaksanakan tugas serta tanggung jawab saya hingga ke akhirnya.

Saya berpegang kepada falsafah hidup ibu saya yang sungguh amat berkesan dalam karier dan pendidikan saya, iaitu apabila melakukan sesuatu, maka lakukanlah dengan bersungguh-sungguh, tabah dan tekun, jangan pusing belakang lagi, malah terus mara ke hadapan....

Ibu telah lama pergi, namun ketegasannya memberikan pesanan kepada saya amat menakjubkan. ...amat memberangsangkan.....amat berhasil.....amat berguna....Ibu Ku.......Ibu Ku

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....