IBU DAN BAPAK



BAPAK PERGI DULU

Semasa saya berada di Mesir akhir-akhir tahun enam puluhan, bapak saya meninggal dunia kerana mengidap penyakit barah tulang. Sejak itu ibu tinggal bersendirian sehingga saya balik Mesir, berkahwin, dan kami suami isteri sempat hidup bersama beberapa tahun, sehinggalah ibu meninggal dunia.

Rumah saya di kampung mempunyai satu "berandah" tempat bapak saya menjadikannya sebagai pejabat penghulu untuk berurusan dengan orang kampung. Masa itu bapak menerima urusan mengeluarkan surat beranak kepada anak-anak yang dilahirkan di kampung, termasuk membuat surat beranak kami adik beradik.

Kadang-kadang ramai juga orang kampung, termasuk beberapa orang penduduk keturunan Cina, yang datang bertemu bapak saya di rumah. Saya tidak tahu sangat apakah yang mereka bualkan, kerana dalam musim-musim perayaan barulah saya nampak Cina di situ membawa buah limau di berikan kepada kami.

Cina di kampung ini bekerja menanam sayur. Satu hari saya dan beberapa orang kanak-kanak lain pergi merayau-rayau dekat rumah Cina itu. Saya masih kecil rasanya. Tiba-tiba anjing Cina ini mengejar kami, dan saya terjatuh ketika lari, lalu anjing itu menggigit pelipat kaki saya. 

Saya dipapah balik ke rumah, di samak dan dibalut luka saya. Pada masa itu, orang-orang kampung telah mendengar bahawa saya di gigit anjing Cina yang bernama Ah Chang itu. Mereka ramai-ramai menyerbu rumah Ah Chang, kenapa biarkan anjingnya gigit anak tok penghulu. 

Ada seorang yang agak garang mencekik leher Cina itu, tetapi disabarkan oleh orang lain. Tetapi akhirnya orang kampung membunuh anjing itu, dan Ah Chang memang merelakan anjingnya dibunuh. Malah dia meminta maaf di atas kejadian itu.

Saya amat mengingati peristiwa ini kerana parut gigitan anjing itu masih ada di pelipat kaki saya. Namun peristiwa itu tidak menjejaskan perhubungan baik orang kampung dengan beberapa orang Cina kampung.

Bapak saya memang tak pernah bercakap kasar dengan orang kampung. Dia cuma tidak banyak berbual, labih banyak diam sahaja. Tetapi dia amat menyukai kanak-kanak, sebab itu bila dia keluar berjalan, ramai budak-budak yang mengikutinya. Dia membawa wang syiling, 5 dan 10 sen untuk diberikan kepada kanak-kanak itu.

Ibu menjadi penyokong moral bapak saya. Sering juga mereka berdua duduk-duduk di beranda rumah, bercakap-cakap, tetapi tidak banyak bicara, lebih banyak diam saja, melihat ke luar rumah, kadang-kadang bercakap tentang, lembu dan kambing yang melintas di depan rumah, atau menyapa orang-orang kampung yang lalu lalang di jalan dekat  rumah kami. 

Satu perkara yang kemudiannya saya dapat tahu dari ibu saya, bahawa saya diperanakkan dalam bulan Safar. Tetapi saya melihat tarikh beranak yang tertulis di sijil beranak saya bahawa saya dilahirkan di dalam bulan Rabiul Awal. 

Oleh itu saya mengandaikan bahawa bapak saya tidak mahu mencatatkan tarikh lahir saya dalam bulan Safar, kerana pada masa itu masih kuat kepercayaan orang-orang Melayu bahawa bulan Safar adalah bulan nahas, lalu bapak saya menulis tarikh lahir saya sebagai bulan Rabiul Awal, dan hal ini amat mudah dilakukan kerana bapak saya sendiri yang menulis surat beranak itu, dan menulis sijil beranak semua kanak-kanak yang dilahirkan di dalam mukim dan kampung kami.

Saya tidak bertemu dengan bapak saya ketika dia menghembuskan nafasnya yang terakhir, kerana pada masa itu agak sukar pelajar dari Mesir akan pulang kerana kos dan masa yang agak berat, tidak seperti sekarang.

Ibu saya meninggal di kampung tumpah darahnya, di rumah arwah kakak saya di Seberang Perai. Dia sakit dalam masa yang singkat sahaja. Pada malam itu saya dan adik beradik terlelap, kerana terlalu mengantuk, sehinggalah kakak kami mengejutkan kami kerana ibu kelihatan tenat. Kami menghantar pemergiannya dengan syahadah.

Saya melihat bapak dan ibu saya sebagai simbol keluarga kampung yang aman damai, atau hidup di dalam suasana dan keadaan yang terlalu banyak hambatan dan tekanan sosial dan ekonomi yang menimbulkan kegelisahan dan stress seperti sekarang. Kehidupan yang bersehaja, dengan makanan ala kadar, serta pakai patut yang amat sederhana, serta rumah kediaman yang sewajarnya, menjadi lambang kekuatan dan kedamaian, malah kesejahteraan masyarakat pada masa itu.

Bapak saya sering menceritakan tentang DO atau Pegawai Daerah yang menjadi ketuanya ketika itu, dengan merujukkan kepadanya sebagai Tengku Putera, iaitu Tunku Abdul Rahman Putera yang menjadi DO Kuala Muda, dan kemudiannya menjadi Perdana Menteri yang pertama negara kita. Dia amat memuji Tengku, orang lemah lembut dan beradab, baik hati dan anak raja yang tidak kebesaran.

Alhamdulillah, bapak dan ibu saya berumur panjang. Mungkin tidak mengalami banyak stress dan tekanan dalam kehidupan mereka. Mereka tetap saya anggap sebagai ikutan saya dalam banyak perkara, terutamanya dalam ketekunan bekerja sehingga ke akhir hayat mereka....


 

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....