BANYAKNYA NYAMUK..!
IBU DENGAR MENGAJI DI BAWAH SURAU
Kelas agama di surau memang mempunyai sejarahnya yang panjang, kembali ke zaman dulu. Surau, yang dikenali dengan nama madrasah di kampung kami dengan sebutan utaranya "mena'sah", merupakan tempat mengaji agama itu di kampung.
Di kampung kami, puluhan tahun dulu, guru agama yang banyak memberi kuliah ialah Lebai Dolah yang pernah belajar agama di Patani, Siam. Dia belajar di sana, dan cakapanya juga kadang-kadang macam orang sana. Pada mulanya ia dikenali dengan nama Lebai Dolah, dan bila dia pergi haji, balik saja dari Mekah, dia di panggil Haji Dolah. Dulu dia pakai ketayap putih saja, iaitu semasa bergelar lebai, dan bila bergelar haji, dia dah pakai serban.
Pelajaran yang di ajarnya memang senang di faham. Dia mengajar makna bacaan dalam sembahyang. bab tertentu dalam ibadat dan bersuci, juga hukum hakam yang mudah-mudah yang berguna untuk amalan sehari-hari.
Dengan itu ramailah juga orang mengikuti pengajarannya. Orang lelaki duduk di atas surau, dengan lampus gas yang agak terang, tetapi pada peringkat awalnya orang perempuan hanya pergi dengar dari bawah surau sahaja, agak gelap, dan bila bulan gelap, tak nampak muka hang aku! Dengar suara baru kenal siapa dia.
Di kampung tidak ada kendeeraan lalu lalang, dan tidak ada bunyi bising suara apa-apa, radio dan tv belum lahir lagi, sunyi dan hening sajalah pada waktu malam ini, maka dalam kesunyian malam itu suara Hj. Dolah dapat di dengar dengan jelas oleh orang perempuan di bawah surau.
Ibu saya merupakan seorang pendengar setia di kalangan beberapa orang perempuan lain, jiran-jiran dan kenalan sekeliling kampung yang datang bersama. Mereka kebanyakannya membawa kain batik untuk menutup kepala dan kadang-kadang menutup muka sebagai selimut bagi mengelakkan gigitan nyamuk yang banyak menghurung mereka di bawah surau itu.
Kalau ada kambing pula yang menumpang tidur di bawah surau itu maka makin banyaklah nyamuk berkhemah di situ, sambil menghisap darah kambing, sambil pula menghisap darah manusia, yang tentunya mungkin senang dihirup dari kulit manusia yang lembut, dibandingkan dengan kulit kambing yang keras, dan mungkin darah manusia lebih lazat dari darah kambing, maka berderailah bunyi tamparan ibu saya dan kawan-kawannya di bawah surau itu, menampar nyamuk, kerana nyamuk kampung ini dapat menggigit orang dari atas kain juga.
Kambing itu mereka hambat pergi jauh-jauh, bunyi kayu dan benda keras lain amat menakutkan kambing itu, yang lari lintang pukang mencari perlindungan di bawah rumah orang berdekatan, dan orang itu pula sebentar lagi rioh rendah pula menghalau kambing itu ke tempat lain, sambil marah-marah "mana tuannya? tak tahu nak jaga kambing sendiri!!"
Kadang-kadang kerana tak tahan dengan gangguan nyamuk yang banyak, ibu saya dan beberapa orang lain, mencari sabut dan kayu, membakarnya, supaya api dan asap bakaran itu dapat menjauhkan nyamuk.
Mereka merasa aman sebentar, dan selesalah mendengar Hj Dolah mengajar, tetapi tak lama kemudian, orang atas surau pula batuk-batuk, mula-mula dua tiga orang saja, tetapi lama kelamaan, batuk bersahut-sahutan oleh ramai sekali orang lelaki, sehingga ada yang bangun turun ke tanah membasuh muka dan meludah serta membuang hingus dari hidung.
Saya masa itu kecil lagi. Kami sama-sama kecil, bukan duduk sangat dalam surau, tetapi bermain di bawah surau sehingga kami dimarahi oleh kaum ibu di situ, dan kami berkejaran di dalam gelap malam itu, berlari jauh dari kawasan surau, kadang-kadang pergi curi buah jambu orang..
Kenangan ini amat manis dan banyak makna. Terfikir saya sekarang bagaimanakah susahnya kehidupan kampung pada masa itu. Tetapi amat menakjubkan Haji Dolah sampai boleh pergi belajar di Patani, jauh sungguh dari kampung kami, dan mendapat ilmu, kemudian balik mengajar orang kampung secara percuma.
Tambah takjub lagi, orang kampung yang keletihan pada siangnya menoreh getah atau bekerja di sawah, pada malamnya mahu pula datang belajar dari Haji Dolah.
Yang perempuan pula sanggup menjadi bahan gigitan nyamuk, dan menjadi insan kelas dua, mengaji dari bawah surau saja. Memang inilah legasi Melayu yang tidak banyak diketahui orang.
Tetapi tidak lama selepas itu, orang perempuan telah dapat menaiki surau, sembahyang dan mendengar pengajian dari belakang tabir yang di pasang akhir-akhirnya.
Itulah hasilnya demokrasi orang kampung, yang meletakkan perempuan sama darjat di atas surau, jauh dari gigitan nyamuk, dan tidak lagi menyebabkan batuk dan bersin orang lelaki yang diracuni oleh orang perempuan dari bawah surau.....
Comments
Post a Comment