TAK PERLU TIRU NEGARA ARAB

Apa-apa ysng berlaku di dunia Arab, di Asia Barat atau di Afrika Utara, tidak semestinya baik, sehingga kita juga perlu menirunya bulat-bulat dan melakukan seperti yang mereka lakukan.

Demikianlah juga dengan kebangkitan dan rebolosi yang berlaku di sana mutakhir ini, iaitu di Tunisia, Mesir, Libya, Jordan, Syria, Yaman dan lain-lain, tidak seharusnya kita melihatnya sebagai satu perkembangan yang sihat sehingga kita juga, tanpa memeriksa dengan teliti, terus ingin juga supaya hal itu berlaku di dalam negara kita.

Perkembangan yang berlaku di negara-negara Arab itu sememangnya mengundang rakyat untuk menuntut perubahan, kerana perubahan yang sepatutnya telah berlaku di dalam negara-negara mereka itu seharusnya telah berlaku sejak lama dulu lagi, tetapi tidak juga menjelma sehingga sekian lama, maka rakyat mulai sedar dan bangun memberontak, iaitu untuk memaksa supaya perubahan itu berlaku, dan hal inilah yang berlaku di Tunisia dan Mesir ketika rakyat berjaya memaksa ketua kerajaan mereka mengundurkan diri, dan rakyat mendapat kuasa untuk membentuk kerajaan yang baru.

Pemberontakan yang berlaku di dunia Arab, mengikut penelitian saya sebagai seorang biasa, adalah berpunca dari unsur dalaman dan luaran. Kedua-dua unsur inilah yang memaksa rakyat keluar menunjukkan perasaan secara besar-besaran menuntut peerubahan yang drastik terhadap suasana dan keadaan politik mereka itu, dan hal ini menunjukkan kejayaan di Mesir dan Tunisia.

Unsur dalaman dalam kebanyakan negara Arab ialah ketiadaan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen, tiada pilihan raya yang bebas untuk membentuk Kerajaan atau memilih Presiden dan ketua Kerajaan, kelemahan pengurusan kekayaan negara yang menyebabkan rakyat amat tertinggal dalam pembahagiaan kekayaan negara, inflasi, pengangguran, dan pemerintahan darurat yang berlanjutan sekian lama, panahanan rakyat yang ramai tanpa melalui proses undang-undang tertentu, dan keghairahan ketua negara untuk menguasai kerajaan begitu lama, serta berusaha mengekalkan kuasa di dalam keluarga sendiri.

Inilah beberapa aspek dorongan dalaman yang berlaku di kebanyakan negara Arab sekian lama, sehingga rakyat akhirnya barulah sedar akan kepincangan ini, dan keadaan yang amat mendesak di dalam negara mereka dengan kenaikan harga barang, pengangguran, di sumbat di dalam penjara, kektidak adilan sistem politik dan ekonomi, pendidikan dan sebagainya.

Kita haruslah membandingkan hal ini dengan negara kita umpamanya, iaitu dari segi pilihan raya yang dijalankan secara bebas, walau pun terdapat beberapa hal yang perlu diperbaiki, dan pihak SPR pun sedang berusaha memperbaikinya, dan kita harus juga melihat kepada sistem pemerintahan demokrasi berparlimen kita, pengurusan kekayaan dan pertumbuhan ekonomi negara, perjalan undang-undang negara, peluang pekerjaan, dan kebebasan bersuara dan bertindak yang sekira-kira tidak melanggar undang-undang secara nyata.

Semuanya ini sebenarnya tidak mengundang tunjuk perasaan dan pemberontakan yang sedang dirancangkan seperti tindakan "Bersih" yang dirancangkan itu. Rakyat majoriti kita menyedari akan keburukan tindakan ini, yang tentunya tidak mendatangkan manfaat yang besar kepada negara kita, terutamanya orang awam kita amat mencintai keamanan dan kedamaian, bencikan keganasan dan tindakan melulu yang seolah-olah menunjukkan sikap yang tidak bertamadun rakyat kita.

Unsur luaran yang berlaku kepada dunia Arab, diantaranya, ialah usaha campur tangan dalam urusan dalaman oleh negara-negara luar, terutamanya dari Barat yang berusaha untuk mengaut keuntungan dari kekayaan negara Arab itu, dari hasil minyak dan gas. Malah kuasa asing juga mempunyai kepentingan politik yang tertentu di Timur Tengah, seperti usaha mempertahankan Israel, sehingga mereka sanggup melakukan apa-apa saja untuk mempengaruhi negara Arab supaya negara-negara tersebut juga turut memberikan perlindungan kepada regim Israel, termasuk menempatkan askar asing di bumi Arab, dan akibat dari tektik inilah maka Amerika Syarikat dan kuncu-kuncunya dari Barat telah berjaya menakluki Iraq, Afghanistan, dan berjaya juga mempergunakan Mesir, Jordan untuk mengembangkan pengaruh politik mereka di sana, termasuk mengeluarkan bantuan bermilion dolar kepada negara Arab yang miskin itu.

Inilah diantara beberapa faktor dalaman dan luaran yang berlaku di negara-negara Arab yang menyebabkan kebangkitan rakyat yang membawa kepada perubahan kepada negara mereka masing-masing.

Tetapi dalam keadaan ini, kita juga haruslah mengkaji akibat dan juga hasil dari kebangkitan mendadak rakyat Arab itu. Kita memang merasakan bahawa mereka berjaya menjatuhkan kerajaan, cuma kelemahan mereka ialah dari segi merancang tindakan susulan yang seharusnya mereka lakukan dengan segera untuk memperbaiki keadaan dalam negara. Kita melihat di Mesir umpamanya, akhirnya rakyat kembali berdemonstrasi di jalan-jalaan raya kerana apa yang mereka harapkan supaya kerajaan baru dibentuk dengan memenuhi kehendak demokrasi dan kesetabilan dalam negara nampaknya tidak kunjung tiba.

Oleh itu, "perubahan" yang mereka kehendaki hanyalah tinggal "perubahan" sedangkan keadaan politk, sosial, ekonomi, dan sebagainya tidak dapat disetabilkan walau pun perubahan itu telah lama berlalu.

Pemberontakan di negara-negara Arab lainnya juga mengakibatkan beberapa kepincangan dan penderitaan yang dialami oleh rakyat, iaitu seperti rasa takut di kalangan rakyat, sehingga mereka terpaksa melarikan diri beramai-ramai ke negara jiran, seperti yang berlaku di Syria, di mana rakyatnya melarikan diri dengan segala penderitaan ke Turki, dan rakyat Tunisia serta Iraq yang terdesak untuk mencari perlindungan di luar negara mereka sendiri, sehingga pihak Barat pula yang menjadi "Penyelamat" mereka.

Ini tidak lagi kita sentuh tentang penderitaan dan kematian, pembunuhan yang berlaku sesama sendiri, peperangan saudara sesama rakyat dan sesama umat satu agama, yang amat memalukan dan menjatuhkan maruah umat itu sendiri. Maka "Barat" itulah yang akhirnya menjadi wira untuk menyelamatkan mereka, dan akan mendapat balasan dari kekayaan negara yang di tolong itu.

Penderitaan, kebuluran, penyakit, dan seribu satu masalah yang dihadapi oleh rakyat umum, adalah dengan sendirinya disebabkan oleh gerakan yang tidak terancang, gerakan yang mungkin hanya dipengaruhi oleh emosi dan sentimen, yang akhirnya mengakibatkan penderitaan yang semakin bertambah dan parah, maka pada masa itu rakyat akan lebeh mengutamakan keselamatan dan keselesaan sendiri, melupakan tujuan perjuangan asal untuk kebebasan dan demokrasi, yang hanya menjadi simbol bagi mempengaruhi rakyat umum.

Saya percaya rakyat yang memberontak itu sekarang ini lebeh mengutamakan keselesaan hidup mereka dan keluarga mereka, keselamatn mereka merupakan perkara utama yang mereka perlukan, lalu tujuan perjuangan asal mereka untuk demokrasi turut hilang begitu saja.

Hal ini seharusnya menjadi pertimbangan bagi negara lain, iaitu dalam menentukan strategi perjuangan kita agar apa yang dikandung tidak berciciran, dan apa yang dikejar tidak dapat. Hati-hatilah mempelajari sejarah dan peristiwa yang berlaku di negara lain, dan yang pentingnya bandingkanlah keadaan diri kita dengan orang lain, sebelum meniru atau bertindak seperti orang lain . Kita mempunyai sistem dan jati diri sendiri, acuan dan kedudukan sendiri, ambillah apa yang baik, jangan nak mengambil kesilapan orang lain untuk kita jadikan senjata yang akhirnya akan menikam kita sendiri. Pelajarilah sejarah negara sendiri, lihatlah kepada kenyataan dan realiti kita, jangan cuba mereka-rekakan persepsi salah yang boleh menyesatkan rakyat jelata.

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....