APAKAH TUGAS AHLI POLITIK SEKARANG?
Nampaknya ketika diadakan perhimpunan parti politik yang tertentu dari masa kesemasa, maka isu yang ditimbulkan sering merupakan penentangan terhadap parti lawan. Keritikan, serangan, bantahan dan sebagainya sering bergema dengan penuh emosi dan marah-marag tanpa asas di dalam ucapan dasar dan penggulungan, juga ucapan wakil-wakil tertentu.
Semua serangan dan kecaman terhadap parti lawan ini amat bersifat konfrantasi dan permusuhan, yang sering kali pula bercorak perkauman dan keagamaan yang sempit dan menyakitkan, malah terdapat kecaman peribadi orang lain yang merupakan andaian sahaja.
Negara kita mengalami sindrom ini, terutamanya sejak akhir-akhir ini, ketika parti pembangkang menjadi kuat dengan kemenangan yang agak besar di dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.
Di dalam Prlimen, DUN, dan diluarnya juga terdapat konfrantasi dan serang menyerang di antara pembangkang dengan pihak Kerajaan, sehingga kadang-kadang terdengar kata-kata kesat dan kasar yang menghampiri ungkapan maki hamun yang tidak beradab lagi.
Melihat keadaan ini, orang akan memikirkan bahawa nampaknya ahli politik negara kita adalah merupakan orang-orang yang suka bergaduh, dan pergaduhan itu bukan hanya diantara ahli politik dengan ahli politik, malah mereka seolah-olah menggalakkan para penyokong masing-masing supaya bergaduh dengan para pengikut parti lawan.
Hal ini merupakan satu kecelakaan yang menimpa negara kita pada masa kini, dan hal ini amat mencemarkan nama baik bangsa kita sebagai bangsa yang beradab, bersopan dan berkebudayaan tinggi.
Malah hal ini amat menjatuhkan imej dan keunggulan agama kita sendiri, iaitu agama umat Islam, ketika pertelagahan dan perkelahian ini turut di ambil bahagian oleh ahli-ahli politik yang merupakan alim ulamak dan para bijak pandai Islam sendiri.
Tugas para ulamak dan bijak pandai Islam sepatutnya menjadi orang tengah untuk mencari titik pertemuan yang baik diantara manusia umumnya, dan perpaduan diantara umat Islam khususnya, bukan berat sebelah kepada orang yang mencari musuh dan mencela sesama sendiri.
Jadi, apakah sebenarnya tugas ahli politik kita sekarang ini? Berkhidmat dan menolong rakyat dalam semua aspek kebajikan dan kesejahteraan rakyat itu, atau menggalakkan rakyat supaya berkelahi dan bergaduh?
Ahli politik sepatutnya yang melarang umat dan rakyat daripada bergaduh dan berkonfrantasi, bukan menyuruh mereka berlawan dan berkerisis.
Ketika berlaku pergaduhan dan kerisis, maka tidak sesiapa pun yang untung, terutamanya rakyat jelata tidak akan mendapat sesuatu apa pun, malah banyak kerugian yang diakibatkan oleh dasar pergaduhan itu, dan yang pentingnya negara akan menjadi tidak setabil kerana kerisis diantara rakyat akan mengakibatkan ketidak setabilan sosial, politik dan ekonomi rakyat dan negara keseluruhannya.
Amatlah diharapkan supaya sikap provokasi dan hasut menghasut diantara ahli politik untuk mencari keuntungan peribadi dan kumpulannya yang tertentu akan dapat diredakan segera. Keadaan sekarang menjadi keritikal, kerana ahli politik ingin mengambil hati orang awam bagi mendapatkan sokongan, dan sokongan ini berarti memberikan undi dalam pilihan raya, dan undi ini berarti memberikan kuasa kepada ahli politik, kuasa seringkali akan digunakan untuk mendapatkan kemegahan dan kekayaan, maka itulah yang mereka harapkan, walau pun terpaksa bermuka-muka, menjual maruah negara dan bangsa, menujal kehormatan diri, malah melanggar perintah Allah kerana bersifat munafik dan pura-pura.
Saya tidak mengatakan semua ahli politik bersifat dengan sifat yang tidak jujur dan tidak bertanggung jawab ini. Mereka hanya terdiri dari segelintir sahaja, yang taksub dan fanatik, yang terlalu ghairah hendak berkuasa. Dan seperti kata pepatah Melayu "sebab nila setitik, rosak susu sebelanga" maka demikianlah akibatnya, sebab segelintir manusia inilah maka nama dan imej ahli politik akan tercalar dan tercela, malah semua rakyat menjadi mangsa dan korban, sekali gus menyebabkan rakyat menjadi bingung dan keliru.
Mungkinkah rakyat yang jujur dan rasional dapat bersatu untuk menyeru ahli politik supaya dapat mewujudkan satu jangka masa bertenang, berdamai dan menjauhkan permusuhan? Mungkinkah diberikan kesedaran kepada ahli politik kita bahawa tugas hakiki mereka ialah untuk berkhidmat kepada rakyat umumnya, menjaga kepentingan dan peradaban rakyat, bukan meninggalkan tanggung jawab ini semata-mata kerana mencari keuntungan sendiri dan kuncu-kuncunya.
Fikir-fikirlah jika mahu berfikir.
bangsa kita sebagai bangsa yang beradab, bersopan dan berkebudayaan tinggi.
ReplyDeleteIni hanya pada cakapnya saja. Tidak lebih daripada itu.
Itu yang saya nampak mungkin orang lain tak nampak.
Macam orang yang mencuri juga. Mereka kata orang mencuri jahat untuk memperdayakan menerusi cakap cakap saja.
Kalau bangsa kita sebagai bangsa yang beradab, bersopan dan berkebudayaan tinggi.mana mungkin berlaku apa yang Profesor kata dalam tulisan kali ini.