WASATIYYAH : AGENDA UMAT YANG DINAMIK

(Bahagian ke-3 – Akhir)

"Umatan wasatan" ialah umat yang dinamik, kuat dan maju dalam bentuk dan agenda perjuangan yang sejajar dengan agama dan ajarannya yang lengkap dan menyeluruh., bukan merupakan umat yang mengambil sesetengah bahagian sahaja dari ajaran agamanya.

Dalam hal ini, kita merasa sukacita apa bila melihat tafsiran-tafsiran yang membina di dalam kitab-kitab tafsir berbahasa Melayu, termasuk Pimpinan Al-Rahman yang memberikan huraian yang dinamik ketika mentafsirkan ayat yang saya sebutkan di atas, iaitu tentang "ummatan wasatan".

Ayat 143 dari Surah Al-Baqarah itu diberikan pengertian begini:

"Dan demikianlah ( sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus) Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu"

Sumber tafsir ini terus menjelaskan tentang ummatan wasatan, iaitu "umat yang pilihan lagi adil, dan juga bermakna umat pertengahan, iaitu pertengahan segala pembawaannya, tidak melampaui dan tidak keterlaluan di dalam menganut kepercayaannya, demikian juga akhlak dan amalannya, segala-segalanya berkeadaan di tengah-tengah, sama-sama dipandang, dipelajari dan diusahakan meliputi soal-soal dunia dan akhirat. Tiap-tiap orang yang berdiri di tengah-tengah dengan mengambil tahu secara mendalam dan memandang berat kepada perkara-perkara yang berlaku di sekelilingnya, maka pertimbangannya serta pengetahuannya mengenai baik buruk perkara itu, adalah adil, benar dan sah. Dengan demikian layaklah ia memberi keterangan kepada orang-orang yang keadaannya tidak seperti dia"

Oleh itu saya rasa konsep wasatan ini haruslah difahami secara menyeluruh, merangkumi kesederhanaan, perseimbangan, pertengahan, keterbukaan dan sebagainya, dalam konteksnya yang tertentu.

Umat Islam sebagai umatan wasatan tidak berarti umat yang lemah dan umat yang sering ketinggalan dalam persaingan dengan umat lain yang penuh dedikasi dan kesungguhan dalam segala usahanya di dunia ini. Umat Islam juga tidak bererti umat yang "apabila dipukul pipi kanan, maka ia akan menyerahkan pipi kirinya untuk di pukul lagi", tetapi umat yang seharusnya mempertahankan tamadun, maruah dan segala sesuatu yang tersebut di dalam ajaran Islam sebagai "maqasid al-syariah" seperti harta benda, agama, jiwa dan keturunannya.

Malah dalam hal ini al-Quran mengajar kita supaya mencari kebahagiaan dan kebaikan di dunia dan akhirat, dalam ayat yang menerangkan bahawa terdapat beberapa golongan manusia di atas muka bumi ini dalam konteks mendapatkan kebahagiaan hidupnya, seperti yang terkandung di dalam Surah Al-Baqarah ayat 200

"Ada di antara manusia yang (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan kami, berikanlah kepada kami kebaikan di dunia, dan (orang ini) tidak ada baginya sedikit pun kebaikan di akhirat"

Mereka mendapat kebahagian di dunia dengan usaha mereka yang bersungguh-sungguh, tetapi tidak terdapat kebahagiaan di akhirat nanti, kerana mereka hanya berusaha untuk dunia sahaja.

Ayat 201, Surah Al-Baqarah pula menyebut begini "

"...dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan kami, berikanlah kepada kami kebaikan (kebahagiaan) di dunia, dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka"

Dua ayat yang tersebut di atas merangka satu agenda umat pertengahan yang sebenarnya, di samping ayat-ayat lain lagi, bahawa contoh kehidupan dunia dan kehidupan di akhirat yang seimbang dan sepadu itu haruslah dijadikan ukuran bagi semua bentuk dan corak kehidupan umat Islam untuk mengecap kebahagiaan, iaitu kebahagiaan dunia dan akhirat.

Alhamdulillah, kita di negara ini telah menunjukkan satu contoh yang baik tentang "umat pertengahan" ini iaitu di dalam segala bidang kehidupan dunia akhirat yang kita usahakan. Sikap dan perilaku kita dalam mengembangkan dan mengamalkan agama juga merupakan amalan yang membina, jauh dari gejala negatif seperti keganasan dan kekerasan.

Institusi pendidikan agama telah di bawa ke dalam arus perdana pendidikan negara, malah aktiviti keislaman juga lahir dalam bentuk dakwah yang berhikmah dan nasihat, berilmu dan penuh dengan pengetahuan.

Aktivis agama kita juga lahir dalam badan-badan dan organisasi yang sihat seperti gerakan belia dan pelajar yang masih dapat menjaga tatasusila agama dan komited kepada nilai-nilai etika dan akhlak yang baik. Oleh itu, saya rasa, hal ini haruslah kita pelihara dengan baik.

Bagaimana pun kehadiran unsur-unsur yang tidak sihat seperti yang didedahkan oleh pihak Polis baru-baru ini, iaitu dengan munculnya gerakan yang dilabelkan sebagai gerakan agama, sedangkan pendekatan dan perjuangannya lebih condong kepada gerakan radikal dan keganasan, haruslah difahami dengan sebaik-baiknya, dan dihapuskan gerakan seperti itu, agar budaya dan cara hidup sederhana yang penuh dengan suasana aman damai, yang kita amalkan selama ini di negara kita dapat diteruskan.


 


 


 


 

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....