SIKAP RADIKAL : APAKAH ISLAM PERLU DISALAHKAN ?
(SIRI PERTAMA)
Peristiwa yang berlaku dengan agak rancak dan memakan korban ramai nyawa yang tidak berdosa yang sedang berlaku di dalam dunia moden pada hari ini menunjukkan bahawa umat manusia sekarang ini lebeh cenderong mengambil pendirian radikal dan ekstrem dalam memperjuangkan kes masing-masing, dan lebeh yakin kepada cara ganas untuk mencapai objektifnya, walau pun dalam kebanyakan kes, cara ganas seringkali tidak membawa kepada kejayaan.
Setiap hari ketika membaca akhbar atau menonton berita di kaca TV, kita dapat melihat peristiwa berdarah berlaku di sana sini. Tindakan membunuh manusia seolah-olah menjadi satu permainan harian yang boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja, dan dari satu segi yang lain, nyawa manusia kelihatan lebeh murah dari nyawa semut dan lipas, yang boleh dibunuh dengan amat senang dan sesuka hati pada bila-bila masa sahaja.
Cara membunuh orang juga menjadi lebeh kompleks lagi pada hari ini, iaitu dengan terciptanya senjata canggih hasil dari penggunaan teknologi moden. Orang membunuh orang dengan menggunakan gas beracun, bom kluster, roket dan peluru yang dapat membunuh ribuan jiwa dalam masa yang singkat. Malah lebeh dari itu, orang membunuh orang juga dengan membalut badannya dengan bahan letupan, kemudian meletupkan badannya aitu di tengah-tengah sasarannya, membunuh diri si pembunuh, dan membunuh korbannya, sedikit atau banyak, tak kira lelaki atau perempuan, kanak-kanak atau orang dewasa, tua atau muda, berdosa atau tidak berdosa.
Dalam kata lain nampaknya umat manusia pada hari ini tanpa mengira latar belakang agama dan bangsanya tidak lagi dapat bertindak sebagai umat yang bertoleransi, berperi kemanusiaan dan bertamadun. Malah amat mendukacitakan bahawa keganasan dan perbuatan yang tidak berperi kemanusiaan ini berlaku juga di dalam masyarakat dan negara orang Islam sendiri sedangkan sebagai umat Islam kita mengetahui bahawa perbuatan itu adalah perbuatan terkotok dan berdosa besar, kecuali ketika mempertahankan diri dan sebagainya. Umat Islam memahami ajaran al-Quran yang menyifatkan umat ini sebagai umat pertengahan, umat sederhana, iaitu umat yang sabar, toleran, bertimbang rasa, berhikmah dan bersikap pengasih, yang sentiasa komited dengan ajarannya yang murni.
Disamping itu, kita juga memahami, dalam keadaan yang tertentu, kenapa dan mengapa umat Islam bertindak ganas. Kita memahami dorongan pihak lain yang menjadikan umat Islam tertindas dan tersepit, tanpa mempunyai cara lain untuk menentang penindasan dan kekejaman musuhnya kecuali dengan bertindak balas secara ganas dan di luar batas-batas kemanusiaan, iaitu sama seperti yang dilakukan kepada mereka oleh pihak yang lebeh berkuasa, lebeh gagah dan lengkap dengan senjata berat yang lebeh canggih.
Tetapi hal ini tidaklah menjadi persoalan besar kepada kita, kerana orang Islam bertindak balas dalam keadaan yang amat genting, dan ditujukan kepada musuh mereka yang sebenar, walau pun dalam keadaan yang tertentu agak sukar juga untuk kita mempertahankan tindakan ganas mereka itu.
Yang menjadi masalah besar kepada kita, ialah apabila berlaku pertembungan diantara Islam sesama Islam, seperti yang berlaku diantara Hamas dan Fatah, diantara berbagai-bagai kumpulan di Iraq dan di Afghanistan yang menunjukkan kepada dunia tentang orang Islam membunuh saudaranya orang Islam, bertempur dan bertembak-tembakan dengan niat untuk membunuh saudara-saudaranya yang menjadi lawannya, akhirnya orang Islam membunuh saudaranya sesama Islam.
Keganasan yang berlaku di Palestin, Iraq dan Afghanistan sesama Islam merupakan peristiwa sedih dan tragedi kemanusiaan yang amat hebat pada abad ini, yang sekali gus menyentuh kemuliaan umat Islam pada pandangan mata dunia, kerana peristiwa itu sering berlaku dalam masyarakat sesama Islam. Peristiwa yang berlaku di Afghanistan itu telah merebak masuk ke dalam sebuah lagi negara Islam jirannya, iaitu Pakistan, yang sekarang ini dilanda mala petka pembunuhan dan pertumpahan darah yang banyak, juga kelihatannya seperti orang Islam berperang dengan orang Islam.
Masyarakat Islam berpecah belah, rakyatnya menjadi serba salah, dan setiap orang yang keluar pada waktu pagi untuk ke sekolah, universiti, ke tempat kerja atau ke pasar, tidak pasti lagi apakah ia akan pulang dari destinasinya itu dengan selamat, kerana bom kereta dan pengebom berani mati kadang-kadang menjelma seperti kilat, meletup dan memarakkan api kemusnahan yang membunuh sekian banyak manusia dalam sekelip mata, tanpa memilih mangsanya, sama ada kawan atau lawan.
Amat malangnya, hal ini berlaku di dalam negara Islam yang dijajahi, atau ditakluki oleh penjajahan Barat, atas nama penjajahan baru, atau atas nama penyelamat yang diundang oleh pentadbir negara Islam itu sendiri untuk menjaga keselamatannya. Palestin umpamanya, telah dijajah sekian lama dengan segala derita dan siksanya yang berpanjangan oleh pihak Zionis dengan disokong oleh Barat, khususnya Amerika Syarikat. Iraq diduduki oleh penjajahan Amerika Syarikat yang dibantu oleh kuncu-kuncunya dari Barat dan Timur, atas misi untuk mengembalikan keamanan di dalam negara tersebut, demikian juga negara Afghanistan, Amerika dan kuncu-kuncunya merasa berkewajipan untuk menyelamatkan negara tersebut dari ancaman musuh dan pemerintahan Taliban yang dianggap amat merbahaya kepada keamanan dunia seluruhnya.
Maka di sinilah penjajahan itu bermaharajalela, mentadbir mengikut peraturan dan undang-undang mereka, memaksa rakyat menerima pendudukan mereka sebagai polis dunia untuk keselamatan semua, memungut dan mengaut segala kekayaan hasil bumi dan tanaman serta apa saja yang dapat mereka kaut untuk diri sendiri, rakyat mereka dan syarikat-syarikat mereka. Pendeknya negara-negara Islam ini menjadi seperti negara mereka yang boleh diperlakukan apa saja, termasuk menyiksa, membunuh dan mengusir sesiapa saja yang mereka mahu.
(Bersambung)
Comments
Post a Comment