BERAKHIRNYA SATU EPISOD PILIHAN RAYA KECIL

Alhamdulillah semalam berakhirlah satu pertelagahan politik bagi dua kawasan pilihan raya kecil Galas dan Batu Sapi. Tahniah kepada calon-calon yang menang dan rakyat semuanya kerana , seperti biasa, pilihan raya kita sentiasa berakhir tanpa insiden yang serius seperti insiden berdarah yang sering berlaku di sesetengah negara lain.

Walau sekencang mana sekali pun ribut taufan kempen yang berlaku di dalam negara kita, akhirnya ribut taufan itu akan reda begitu sahaja setelah berakhirnya pengundian. Kejadian kecil ketika berkempen dan hari mengundi adalah perkara biasa, yang hanya berlaku ketika terdapat segelintir anak-anak muda berdarah panas yang tidak tahan sabar dan ingin mencetuskan pergaduhan tanpa berfikir panjang.

Saya perhatikan di Sabah, semangat persahabatan agak ketara, iaitu ketika pengumuman keputusan pengundian dibuat, nampaknya ketiga-tiga calon yang bertanding sama-sama berdiri di atas pentas bagi mendengar pengumuman itu, walau pun mereka semua telah pun mengetahui keputusannya.

Kemenangan dan kekalahan itu nampaknya diterima oleh mereka semua secara penuh mesra, dan kemudiannya bersalaman sesama sendiri penuh rela hati, dan memberi isyarat bahawa yang menang diberikan ucapan tahniah, dan yang kalah tentulah menerima kekalahannya, kerana semuanya ini adalah kehendak rakyat yang mengundi.

Hal ini yang sering berlaku di dalam pilihan raya yang berlangsung di Barat, iaitu sifat gentlemen haruslah ditanamkan di dalam hati semua pihak yang bertanding sebagai orang yang bertamadun.

Di Galas nampaknya calon yang kalah dan telah mengetahui keputusan pilihan raya tersebut tidak kelihatan sama sekali, hanya calon yang menang sahaja kelihatan berdiri di atas pentas semasa pengumuman dibuat.

Namun begitu, amatlah besar harapan kita supaya semua para penyokong parti politik di negara kita akan merapatkan semula tali silaturrahim dan persahabatan, khususnya diantara saudara-saudara sesama Islam, seperti yang dituntut agama kita. Bermaaf-maafan, bersikap jujur dan ikhlas, kerana pilihan raya hanyalah merupakan alat semata-mata yang digunakan untuk menentukan sokongan rakyat, walau pun sistem pilihan raya sering menimbulkan perselisihan dan pertelagahan, namun kita haruslah tahu menguruskan perselisihan pandangan dan konflik itu sebagai orang-orang yang bertamadun dan berperadaban.

Hayatilah makna pepatah "biduk lalu, kiambang bertaur" !

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....