HORMATI PERLEMBAGAAN : MAJLIS PERUNDINGAN AGAMA-AGAMA

Majlis Perundingan Agama-Agama Malaysia : Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao melalui Presidennya Dr. Thomasa Philips, telah mengeluarkan kenyataan yang amat positif dan tepat pada masanya iaitu menggesa semua rakyat negara kita supaya menghormati Perlembagaan yang mengandungi kontrak sosial bagi mewujudkan keadilan sosial dan perpaduan di negara ini.

Ketika saya mengetuai Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dalam tahun 90an lagi, Majlis ini sering mengadakan dialog dengan IKIM bagi mencari jalan mewujudkan kesefahaman agama di Malaysia, kerana isu agama adalah merupakan isu yang paling sensitif bagi rakyat negara berbilang agama ini.

Saya merasa bangga kerana Majlis ini masih aktif bergerak dalam masyarakat bagi mencari jalan kemanan dan perpaduan yang berterusan di dalam negara kita.

Hanya ketua-ketua agama sendiri yang merupakan para pelaku yang dapat memainkan peranan yang penting dalam memahami keadaan masyarakat berbilang kaum ini dari sudut penghayatan agama bagi para pengikutnya masing-masing, dan dari masa ke semasa haruslah berusaha menyusun strategi bagi kesatuan pemikiran, sikap dan perasaan bertolak ansur di kalangan berbagai kaum dalam isu-isu agama.

Kini Majlis tersebut telah dengan tegasnya mengeluarkan kenyataan dalam landasan yang amat sesuai dengan Perlembagaan negara yang sememangnya merupakan satu Perlembagaan yang amat unik, iaitu dalam memelihara keseimbangan dan keadilan bagi semua pengikut agama di Malaysia.

Kenyataan ini amat tepat sekali pada waktunya kerana akhir-akhir ini nampaknya agak ramai kalangan orang-orang yang tidak bertanggung jawab, termasuk ketua-ketua pertubuhan bukan Kerajaan, ahli-ahli politik dan lain-lain yang kadang-kadang agak keterlaluan membangkitkan isu perkauman dan keagamaan yang boleh mewujudkan suasana yang agak gelisah dan tegang di dalam masyarakat kita.

Amat tepat sekali pendirian yang dinyatakan oleh Majlis Perundingan tersebut yang menyatakan bahawa ketika Perlembagaan memberikan hak Raja-Raja Melayu, pengiktirafan kepada kedudukan agama negara, hak istimewa orang Melayu dan bumiputra di Sabah dan Sarawak, maka Perlembagaan juga memberikan kebebasan dan hak kepada agama-agama lain dan kaum-kaum lain, yang sememangnya dilindungi oleh Perlembagaan, termasuk Perkara 3, 8, 9 dan 152.

Amatlah diharapkan bahawa kenyataan ini akan mendapat perhatian semua rakyat Malaysia, termasuk para pemimpin kaum, ketua-ketua pertubuhan bukan Kerajaan, dan pemimpin negara serta ahli-ahli politik, yang seharusnya bertindak secara positif dalam memahami isu agama dan kaum ini.

Kadang-kadang kita melihat masyarakat akar umbi, dan masyarakat umum amat berpadu dan memahami serta menghormati sesama kaum dari kepelbagaian agama, tetapi sesetengah orang yang fanatik dan berpendirian sempit itulah yang ada ketikanya membangkitkan isu-isu perkauman dan keagamaan. Mereka lebeh suka mempolitikkan isu ini, yang kadang-kadang tidak merupakan isu, tetapi kerana gembar gembur mereka yang melampau, maka isu yang kecil ini sering juga menjadi isu yang besar.

Syabas kepada Majlis Perundingan Agama-Agama Malaysia yang mewakili Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao ini di atas kenyataannya, dan tahniah kepada Presidennya Dr. Thomas Philips atas pandangan yang jauh ini.


 


 

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....