BOLEHKAH DIBERSIHKAN PERMAINAN POLITIK YANG KOTOR?
Tindakan beberapa orang aktivis politik yang menimbulkan kerisis di dalam politik tanah air, termasuk tindakan Datuk Zaid Ibrahim dalam pergolakan politik yang terakhir, sekali lagi menunjukkan bahawa permainan politik itu mempunyai dua wajah, politik positif dan politik negatif. Mungkin ada orang yang akan memberikan pentafsirannya, bahawa permainan politik itu terdapat permainan politik kotor dan permainan politik bersih.
Itulah namanya permainan politik, yang lurus dan yang bengkuk, yang taksub dan yang terbuka, yang bermotifkan kepentingan peribadi dan kumpulan, atau yang ikhlas berjuang untuk kepentingan umum.
Saya rasa dalam keadaan masyarakat kita sekarang ini, yang kadang-kadang menunjukkan sikap dan sifat yang amat mentah dalam politik kepartian, maka amat sukar bagi sesiapa pun akan menemui perjuangan politik yang bersih 100%, malah tidak mungkin akan terdapat ahli politik, terutamanya pimpinan atasannya yang benar-benar dapat membuktikan permainan politiknya yang ideal, mithali, penuh kejujuran dan benar-benar melakukan pengorbanan yang ikhlas.
Oleh itu tidak hairanlah, kerana tindakan para peneraju parti-parti politik yang tertentu, terdapat orang yang menyertai parti itu merasa tidak berpuas hati, merasa tertipu dan dikhianati oleh mereka yang berada di atas, dan hal inilah yang nampaknya sedang berlaku kepada Datuk Zaid dan kawan-kawanya mutakhir ini.
Wadah politik melalui sistem demokrasi berparlimen, dengan adanya pilihan raya untuk memilih Kerajaan, kuasa rakyat yang diberikan secara total kepada pengundi, maka semuanya ini banyak sekali menimbulkan penyelewengan, salah guna kuasa, politik wang, ugutan, belian undi, malah dalam kalangan orang Islam, akan terbit fatwa syurga neraka yang ditentukan oleh pengundian terhadap parti politik, maka semuanya ini adalah merupakan permainan politik sempit, yang sepatutnya telah dijangka oleh sesiapa pun yang ingin terlibat secara langsung di dalam parti politik.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa parti politik amat cenderung melahirkan para pengikut yang partisan dan taksub kepada ketuanya, walau pun kadang-kadang amat jelas sekali bahawa ketua parti itu menyeleweng dan salah laku, tidak ikhlas, malah tidak matang dalam berpolitik. Tetapi pengikut taksub akan mengikutnya secara menyeluruh, tanpa berbelah bagi dan tanpa tapisan lagi, sehingga aliran parti politik itu benar-benar dapat dicorakkan oleh pucuk pimpinan atasannya itu.
Rakyat pula kadang-kadang terpengaruh dengan persepsi yang salah tentang perjuangan parti politik itu, sehingga persepsi yang salah itu menjelma menjadi realiti yang dianggap benar dan betul. Hal ini berlaku di merata dunia yang mengamalkan sistem pilihan raya dalam membentuk Kerajaan, sehingga terdapat beberapa buah negara di dunia yang majoriti rakyatnya memilih parti politik yang melampau untuk menjadi kerajaannya, sama ada melampau dari segi perkauman, agama, atau doktrin lain lagi.
Rakyat Malaysia sendiri telah menunjukkan kefahaman sendiri tentang aliran parti-parti politik yang bertanding di dalam pilihan raya yang telah dilangsungkan di tanah air kita sebanyak 13 kali, iaitu dari segi perjuangan parti-parti itu, sama ada yang mempunyai aliran ekstrem, atau sederhana, tertutup atau terbuka, fanatik dan cenderung kepada satu aliran perjuangan untuk menegakkan satu kesejahteraan menyeluruh atau hanya untuk satu kaum dan bangsa yang tertentu sahaja.
Rakyat Malaysia keseluruhannya lebeh cenderung memilih aliran perjuangan yang sederhana, terbuka dan toleransi dalam memilih Kerajaan selama ini iaitu dengan mengenepikan parti-parti politik yang dirasakan lebeh cenderung kepada perjuangan yang sempit dan melampau.
Bagaimana pun akhirnya dalam pilihan raya yang terakhir, majoriti pengundi telah mengubah corak undian mereka, sehingga beberapa buah parti politik yang dulunya dianggap sebagai ekstrem telah diberikan kemenangan, seolah-olah tanggapan mereka telah berubah tentang konsep perjuangan yang sederhana dan ekstrem ini.
Persepsi atau pemikiran majoriti rakyat yang terakhir ini bukanlah merupakan satu perkara yang mudah untuk di analisa dan dicari kesimpulannya. Mungkin terlalu banyak faktor yang telah mengubah pemikiran rakyat dalam memilih parti politik yang disukainya. Hal ini seharusnya diselidiki oleh parti politik itu sendiri untuk membetulkan semula imej dan perjuangannya.
Satu hal yang jelas tentang perubahan sikap dan pendirian rakyat terhadap parti politik yang tertentu itu mungkin berpunca dari persepsi atau realiti tanggapan rakyat terhadap corak dan bentuk perjuangan pimpinan atasan dan peneraju parti itu di semua peringkatnya.
Hal inilah yang saya rasa perlu disedari oleh sebuah parti politik itu untuk mendapat kepercayaan rakyat terhadap perjuangannya. Nama baik parti dan perjuangannya akan rosak dan menurun di mata rakyat sekiranya pimpinan parti itu lemah, atau tidak ikhlas, atau kerana kekuatan parti lawannya dalam menggambarkan gambaran-gambaran yang negatif dan buruk pada mata rakyat tentang parti lain, yang kadang-kadang pembohongan ini akan dipercayai dan menjadi persepsi majoriti rakyat ketika mengundi dalam pilihan raya.
Selagi rakyat kita tidak matang dalam memberi penghakiman terhadap keaslian perjuangan parti politik, dan selagi pimpinan parti politik menjadi terlalu ghairah untuk berkuasa dengan apa cara sekali pun, maka selama itulah akan lahir orang-orang yang akan melarikan dirinya dari perjuangan partinya, dan akan lahir lebeh banyak lagi orang seperti Zaid Ibrahim.
Lalu timbullah persoalan, apakah permainan politik kotor itu akan dapat dibersihkan atau sebaliknya, apakah permainan politik kotor itu akan berterusan begitu lama, sedangkan orang ramai bersorak-sorai tanpa memahami apakah maknanya "kotor' dan "bersih" itu.
Memang yang kotor tu tak cepat, lambat laun akan diketahui orang. Kalau orang lain yang kata tentulah kita tak percaya sangat, tetapi bila Dt. Zaid kata, bolehlah percaya. Itulah dulu dalam Umno, dt. Zaid dilayan dengan baik, masuk parti lain baru tahu dunia tinggi rendahnya. Tapi tak kan nak rujuk kepada Umno kot? Malulah
ReplyDeleteModerate muslim,
ReplyDeleteMudah percaya dengan Datuk Zaid Ibrahim, bermakna ada saham yang besar dalam usaha menghancur leburkan PKR.
Apa akan jadi apabila seorang manusia percaya bulat bulat dengan Zaid yang pernah terbabit dengan politik dan dihukum ketika jadi ketua Umno bahagian kota Baru.
Malang sungguh manusia jenama ini.Orang seperti ini mungkin akan cium tangan apabila bersalaman.