WASATIYYAH : TUNDUK KEPADA DEFINESI BARAT?
(Siri Kedua)
Dalam salah satu siri CNN Larry King Live selepas peristiwa 11 September, seorang pendeta Yahudi memetik beberapa ayat al-Quran untuk menyokong hujahnya bahawa Islam adalah satu agama yang keras, tidak toleran, dan tidak mesra dengan umat lain dengan mengambil contoh dari ayat 51 Surah Al-Maidah di luar konteks. Ayat itu bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah menjadikan Yahudi dan Kristian sebagai teman rapat, kerana sesetengah dari mereka menjadi teman rapat kepada sesetengahnya yang lain, dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan pertunjuk kepada kaum yang berlaku zalim"
Ayat ini sebenarnya merupakan amaran Allah kepada umat Islam tentang tindakan kaum-kaum tersebut yang mempunyai permusuhan terhadap agama Islam dan umatnya, iaitu mereka yang ternyata mempunyai niat yang jahat dan berusaha untuk menghancurkan umat Islam dan agamanya, seperti yang pernah berlaku terhadap Rasulullah SAW yang sebelumnya telah membuat perjanjian damai dengan mereka, tetapi kemudiannya mereka mengkhianati Rasulullah SAW, sehingga baginda terpaksa mengambil tindakan tegas kepada mereka.
Malah dalam konteks hari ini pun ternyata bahawa sesetengah golongan kaum tersebut masih menaruh permusuhan yang amat jahat terhadap agama dan umat Islam, dan terdapat pula sekutu-sekutu mereka yang berusaha mempertahankan gerakan jahat mereka, seperti yang berlaku di bumi Palestin, yang dilakukan oleh puak Zionis.
Dalam konteks ini eloklah kita cuba memahami ajaran Islam kepada umat pertengahan ini iaitu seperti yang terkandung dalam ajaran al-Quran, surah Al-Baqarah ayat 190 :
"Perangilah pada jalan Allah (kerana menegak dan mempertahankan agama Allah) mereka yang memerangi kamu, tetapi janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan) kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh"
Umat pertengahan dalam konteks ini akan menerima semua kaum dan agama, selagi agama dan umat Islam tidak dicerobohi. Maksudnya penerimaan pengikut agama lain, tetap merupakan etika umat Islam, tetapi sekiranya umat Islam dan agamanya dicerobohi, maka umat Islam haruslah bangun mempertahankan dirinya. Sebab itulah ayat ini menyebut bahawa peperangan tidak seharusnya dimulakan tanpa sebab, tetapi sekiranya mereka diperangi, maka mereka wajib mempertahankan dirinya tanpa melampaui batas-batas yang ditetapkan oleh agama.
Hal ini juga merupakan satu konsep yang seharusnya difahami dalam konteks lain yang sering juga terdapat beberapa pihak lain yang menyalahkan agama Islam dan umatnya, dan menggambarkan imej Islam dengan gambaran yang buruk.
Kpnsep "jihad" umpamanya telah disalah mengertikan juga sebagai peperangan sabil untuk membunuh orang kafir. Sedangkan seperti yang dijelaskan dalam ayat di atas dan ayat-ayat lain lagi, bahawa berjihad adalah dilakukan ketika menentang kekerasan yang dilakukan ke atas umat Islam, dan gerakan yang dilakukan untuk menghapuskan Islam itu sendiri, malah tidak timbul sama sekali tuduhan yang mengatakan bahawa umat bukan Islam itu harus diperangi dan dibunuh.
Malahan "jihad" juga mempunyai konsep yang lebih luas, iaitu memerangi hawa nafsu buas manusia, memerangi kemiskinan dan kefakiran, memerangi kejahilan dan kemunduran, maka konsep jihad dalam pengertian ini adalah lebih merupakan konsep jihad yang lebih utama lagi, yang seharusnya dilancarkan oleh "umat pertengahan" ini.
Reaksi umat Islam sendiri terhadap konsep umatan wasatan ini sebenarnya yang sering merosakkan konsep ini dan menjatuhkan imej agama Islam sebagai agama sederhana, toleran, seimbang dan pertengahan. Tekanan penjajah, yang menjajah negara dan minda umat Islam, terutamanya para pemimpin Islam yang sedang mencari-cari identiti dan jati dirinya, sering memerangkap umat Islam dalam gerakan melampau, radikal dan ekstrem. Sejarah membuktikan bahawa tekanan cara hidup dan budaya Barat mendorong Ataturk menutup semua madrasah, menghapuskan tradisi berpakaian dan budaya Islam dengan cara hidup dan budaya Barat, malah menekan para ulamak. Langkah ini diikuti oleh Muhammad Ali di Mesir, kemudiannya Presiden Gamal Abdul Nasser yang menekan para ulamak dan gerakan keislaman.
Tekanan dan paksaan yang dilakukan ini sebenarnya lebih banyak menimbulkan akibat yang buruk terhadap gerakan keislaman, kerana tekanan ini akan segera menimbulkan gerakan yang lebih radikal dan melampau, terutamanya apabila gerakan itu mulai tumbuh dan lahir di merata-merata tempat sebagai gerakan "bawah tanah" dengan agenda kekerasan dan keganasan.
Dari sudut yang lain, kita juga haruslah faham bahawa umat pertengahan ialah umat yang terbuka kepada pandangan dan pentafsiran serta ijtihad yang terbuka tanpa mengambil jalan yang keras dan tertutup. Kelahiran para aktivis, ulamak dan pejuang Islam tidak berarti melahirkan kumpulan-kumpulan tertentu sahaja yang memonopoli fatwa dan pentafsiran tentang beribadat, undang-undang, teori ekonomi, ilmu dan isu-isu sosial mengikut pentafsiran mereka semata-mata, sehingga menepi kan pihak yang mempunyai otoriti dan Kerajaan (Ulul-Amri), malah akan menuduh golongan Islam lainnya yang berbeza pandangan daripada mereka sebagai "kafir" "murtad" dan sebagainya.
"Umat Seimbang" tidak mengizinkan kelahiran institusi-institusi Islam yang radikal dan melampau. Madrasah dan pondok serta institusi-institusi pengajian Islam bukanlah didirikan untuk melatih "para pejuang" atau "mujahidin" untuk melakukan gerakan ganas dan keras, atau bertindak "membunuh musuh" sama ada musuh yang terdiri dari orang Islam atau bukan Islam. Perkhemahan Islam bukan bererti perkhemahan untuk melatih para tentera dan gorila bagi memerangi sesiapa sahaja yang mereka anggap sebagai "golongan lain" dan "golongan yang bukan golongan kita" tanpa mengira latar belakang kaum dan agama "musuh" mereka itu.
"Umat pertengahan" bukan bererti umat yang fanatik dan taksub melulu terhadap kaum dan agama atau ideologi politik kepartian mereka. Mereka tahu membezakan di antara yang hak dan batil, yang benar dan salah, mengikut ajaran agama yang sah dan hakiki, tanpa meletakkan sentimen kaum atau politik di atas ajaran agama yang sebenarnya.
Comments
Post a Comment