SIKAP RADIKAL ISLAM : APAKAH PUNCANYA?
(SIRI KEDUA)
Ketika menjalankan dasar kuku besi penjajahan itu, apa bila timbul sahaja penentngan dari rakyat umum, seperti perbuatan rakyat Palestin yang bertindak membaling batu kepada askar-askar Israel, atau melancarkan roket jarak dekat ke bumi Israel, maka mereka akan segera bertindak balas dengan senjata berat yang membunuh begitu ramai rakyat yang tidak berdosa, sedangkan batu yang dibaling rakyat Palestin, dan roket yang dilancarkan itu tidak membawa sebarang bahaya yang serius kepada askar atau orang awam penjajah itu. Para pejuang yang bertindak untuk memerdekakan tanah air mereka itulah yang dianggap sebagai puak pengganas, radikal dan ekstrem.
Sebaliknya para pemimpin imperialis Barat yang bertindak merampas atau menjajah tanah air dan negara orang lain dan melakukan segala penyeksaan kepada rakyat, merekalah yang dianggap oleh dunia sebagai penyelamat umat manusia yang cintakan keamanan, pada hal merekalah yang sebenarnya bertindak secara yang amat ekstrem dan radikal. Dalam proses memaksakan kekuasaan mereka ke atas negara lain, mereka menggunakan taktik yang amat keras sehingga sanggup membunuh, meruntuhkan rumah dan bangunan orang yang mereka tindas, menangkap dan memenjarakan orang-orang yang tidak bersalah dan tindakan lain yang terang-terang menunjukkan pencerobohan hak asasi manusia yang mereka sendiri sering mendabek dada bahawa kononmya merekalah pejuang hak asasi manusia dan pejuang demokrasi dan keamanan sejagat.
Kita telah membaca banyak laporan tentang hal ini di dalam media yang tidak memihak dan berita-berita yang bebas, malah kumpulan hak asasi manusia Amnesty telah mengeluarkan kenyataan bahawa askar Amerika di Iraq telah bertindak menindas rakyat Iraq di luar batas-batas hak asasi manusia. Kita juga telah banyak menyaksikan dan mendengar tentang regim Israel yang juga melakukan berbagai-bagai tindakan kejam ke atas rakyat Palaestin tanpa menghiraukan hak asasi manusia.
Inilah sebenarnya sikap radikal dan ekstrem yang dilakukan oleh negara penjajah Barat dan regim Zionis ke atas umat yang lemah dan tidak berdaya. Tetapi seringkali perbuatan mereka tidak mendapat perhatian dunia, kerana hal itu dilakukan oleh kerajaan mereka, dan mereka sering kali dapat mengabui mata dunia dengan selogan yang sering mereka laung-laungkan bahawa mereka melakukan semuanya itu adalah untuk memerangi pengganas antarabangsa, dan menyelamatkan umat manusia dari keganasan musuh dunia global, terutamanya selepas berlakunya peristiwa 11 September, yang dijadikan alasan untuk melancarkan segala serangan terhadap orang Islam.
Bekas presiden Amerika Syarikat, G. W Bush, telah mengabui mata dunia, terutamanya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dengan menjustifikasikan pendudukannya ke atas bumi Iraq dengan alasan untuk menyelamatkan dunia kerana Iraq kononnya menyimpan senjata pemusnah secara besar-besaran (Weapon of Mass Destruction - WMD) dan Presiden Saddam akan menggunakannya untuk memusnahkan negara Israel dan negara-negara musuhnya yang lain.
Keadaan yang sebenarnya telah membuktikan bahawa senjata WMD yang dicanang-canangkan oleh Bush itu ternyata tidak wujud di Iraq, bayangannya pun tidak pernah tersua, maka Bush dengan amat mudah sekali menipu dan membohongi dunia umumnya dengan tektik kotornya untuk menjajah Iraq dan sekali gus mengaut kekayaan minyak yang dimiliki Iraq.
Hingga kini, Iraq tidak pernah merasa aman, keganasan berlaku di sana sini, dan yang sedihnya kekerasan dan pertumpahan darah kini berlaku diantara sesama Islam, satu tindakan yang tidak sepatutnya berlaku di dalam masyarakat Islam, dan hal itu tidak dapat kita pertahankan, atas nama apa-apa perjuangan sekali pun. Islam bukan hanya melarang sebarang kekerasan diantara sesama Islam, malah Islam juga mencegah sebarang kekerasan terhadap umat dan manusia lain, kecuali ketika mempertahankan diri dan maruah daripada dicerobohi oleh musuh.
Comments
Post a Comment