RADIKALISME BUKAN SIFAT ISLAM

(Siri Ketiga - Akhir)

Islam sebenarnya mempunyai sikap yang amat terbuka terhadap bangsa lain yang tidak beragama Islam, iaitu seperti yang juga ditegaskan oleh Al-Quran tentang kejadian manusia yang terdiri dari berbagai-bagai puak dan bangsa, sama juga seperti kejadian manusia yang terdiri dari lelaki dan perempuan, juga kejadian manusia yang terdiri daripada kepelbagaian warna kulit dan bahasa, maka manusia seluruhnya tanpa mengira jantina dan bangsa, warna kulit, bahasa dan budaya, adalah diciptakan untuk berinteraksi, bekerjasama dan berbaik-baik di antara semua umat itu. Malah Al-Quran memberi amaran kepada umat Islam supaya jangan mencela atau mencerca apa-apa benda yang disembah oleh orang-orang lain yang menyembah selain daripada Allah, supaya mereka pula tidak akan mencerca Allah dengan melampaui batasan tanpa ilmu. (Al-Quran 6:108).

Jadi berdasarkan sikap terbuka dan toleransi ini, tidak mungkin sama sekali bagi sesiapa pun melemparkan fitnah dan tuduhan bahawa ajaran Islam adalah berasaskan bangsa dan agama, malah di dalam sejarah kelasik dan moden, kita dapat melihat bagaimana sikap toleran Islam yang amat tinggi terhadap umat bukan Islam, seperti yang terbukti ketika empayar Islam memerentah Andalusia umpamanya. Hanya musuh-musuh Islam sahaja yang sebenarnya sering melihat Islam dengan pandangan yang negative dan permusuhan. Al-Quran sendiri telah menjelaskan siapakah musuh Islam ini yang selama-lamanya tidak akan redha dengan agama Islam, sehinggalah umat Islam dapat ditundukkan untuk mengikut cara mereka sekiranya mereka mampu.tidak.

Hal ini sama juga sebenarnya dengan segelintir umat Islam sendiri yang bersikap fanatik dan taksub melulu terhadap orang bukan Islam sedangkan Islam juga menentang golongan yang taksub ini seperti yang terbukti di dalam pengertian ayat yang saya sebutkan di atas. Maka golongan inilah juga yang saya rasa golongan yang radikal dan ekstrem yang melakukan segala perbuatan ganas atas nama Islam seperti yang berlaku selama ini. Malah perbuatan membunuh sesama Islam, termasuk juga yang berlaku diantara para pengikut mazhab tertentu di dalam agama kita sehingga membawa kepada perrtumpahan darah sesama saudara Islam, semuanya ini merupakan satu tindakan keterlaluan dan melulu yang amat menyimpang jauh dari ajaran Islam yang suci.

Sebab itulah telah saya sebutkan di atas, bahawa pada masa kini nampaknya manusia lebeh cenderong mengambil jalan yang radikal dan melampau dalam tindakan mereka, sama ada yang beragama Islam atau tidak beragama Islam. Masing-masing nampaknya bersaing dan berlumba-lumba menunjukkan kekuatan mereka dalam bentuk kekuatan bersenjata dan menceroboh hak orang lain yang sepatutnya dapat hidup dalam aman dan damai.

Oleh itu, kuasa Barat tidak seharusnya bertanya kenapakah golongan yang mereka namakan sebagai pengganas Islam telah bertindak begitu melampau terhadap mereka dan kepentingan mereka, kerana mereka seharusnya mencari jawapan yang sebenarnya terlebeh dahulu kenapakah umat Islam bertindak ganas. Kuasa Barat seharusnya telah mengetahui jawapannya kenapakah golongan radikal Islam itu bertindak terhadap kepentingan Amerika, British dan Israel. Mereka seharusnya terlebeh dahulu memeriksa dasar luar mereka terhadap negara membangun dan lemah, dan terhadap hak rakyat negara lain untuk menentukan nasib mereka sendiri.

Berdasarkan hal ini, maka mereka sebenarnya dengan tindakan melampau itulah yang mengundang serangan dari puak "militan Islam" itu. Oleh itu selagi pihak penjajah Barat tidak mengubah dasar dan tindakannya terhadap sebahagian negara Islam dan umat Islam yang dianggap sebagai musuh itu, maka selama itulah agak sukar pula pihak radikal tersebut akan mengubah perjuangan mereka terhadap kepentingan penjajah itu. Pihak rakyat Palestin umpamanya tentulah agak sukar untuk memberhentikan serangan mereka terhadap negara Israel dan kepentingan regim tersebut selagi pihak Israel sendiri terus menerus bertindak dengan kejam menekan rakyat Palestin.

Oleh itu apakah dunia seluruhnya akan merasa hairan sekiranya manusia kini menjadi semakin ganas dan radikal ? Bukankah perbuatan kejam dan ganas akan dibalas dengan perbuatan kejam dan ganas juga oleh pihak yang tertindas dan tertekan ?

Bagaimana pun dalam keadaan dunia pada hari ini yang sedang menuding jari kepada umat Islam apabila berlaku sebarang keganasan dan kekerasan, maka umat Islam seharusnya mulai insaf dan kembali kepada dasar perjuangan yang berbeza dari serangan dan tindakan keras yang dilakukannya selama ini. Umat Islam pada hari ini seharusnya dapat menjalinkan perpaduan dan kerjasama yang lebeh baik dalam bidang ekonomi, teknologi, kewangan dan sebagainya, dan berusaha memperkuatkan diri mereka dengan ilmu pengetahuan yang lebeh tinggi untuk bersaing dengan umat lain.

Umat Islam tidak akan menang dalam perjuangan menentang musuh dan penjajah dengan hanya menggunakan kekerasan dan keganasan, kerana umat Islam tidak punya persiapan yang cukup, malah sekiranya terdapat kekuatan sehebat mana pun, Islam tidak membenarkan kita menggunakan cara kekerasan dan keganasan untuk memperjuangkan hak dan kes kita, kecuali sekiranya diseerang terlebeh dahulu, maka wajib kita mempertahankan diri kita. Oleh itu umat Islam perlulah membuat perancangan jangka panjang, dan jangka pendek, mempunyai agenda dan strategik, dalam bidang politik, ekonomi, ilmu peengetahuan, sains, teknologi dan kekuatan moral kerohanian,, sekiranya mereka ingin mencapai kejayaan dan kemenangan.

Jika kita kembali kepada negara kita secara khususnya, oleh kerana negara kita juga pada masa-masa yang terakhir ini telah menerima tempiasan gerakan radikal dan militan, dan sungguh pun Kerajaan telah dapat bertindak pantas mengekang gerakan itu sebelum merebak, tetapi langkah-langkah yang lebeh konkrit dan serius haruslah diambil agar kecenderongan manusia untuk menjadi pelampau dan radikal itu segera dihapuskan. Kita semua haruslah bertanggung jawab untuk mencapai tujuan ini, walau pun kita mengetahui bahawa pada umumnya manusia pada hari ini telah menjadi semakin ganas dan radikal. Umat Islam seharusnya dapat menunjukkan contoh tauladan yang berbeza dari orang lain, dan amatlah diharapkan bahawa gagasan 1 Malaysia yang dilancarkan oleh Perdana Menteri itu akan dapat memberikan inspirasi yang amat berharga terhadap kita semua dalam mencapai perpaduan dan kejayaan bersama, insya'Allah.


 


 


 


 

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....