APAKAH 'WASATIYYAH" BERARTI MENYERAH KALAH ?

(siri pertama)


 

Sejak konssep "wasatiyyah" di ketengehkan akhir-akhir ini di dalam masyarakat kita sebagai sifat dan sikap umat Islam, maka telah timbul berbagai-bagai kesalah fahaman tentang pengertian sebenarnya konsep ini. Kenapakah hal ini berlaku?

Saya akan cuba memberikan jawapan tentang persoalan ini di dalam beberapa siri tulisan di sini, dimulai dengan tulisan ini sebagai siri yang pertama, dan akan disambung dengan siri-siri berikutnya kemudian.

Kesalah fahaman tentang sesuatu istilah yang dihubungkan dengan agama sering timbul kerana kekeliruan umat Islam sendiri dalam memahami agamanya itu secara menyeluruh. Kekurangan ilmu tentang konsep dan falsafah serta hukum hakam agama sering membawa kepada kesalah fahaman tentang ajaran dan misi Islam itu sendiri sebagai "Ad-deen" atau "cara hidup yang lengkap dan menyeluruh".

Lebih menyedihkan lagi, kesalah fahaman tentang agama ini juga sering membawa sesetengah umat Islam kepada amalan yang menyeleweng daripada ajaran agama yang sebenarnya, malah terdapat individu atau kumpulan orang yang mendakwa dirinya sebagai jaguh agama akan memonopoli segala fatwa dan pentafsiran tentang ajaran agama, lalu dipengaruhinya orang lain supaya beramal dengan fatwa atau ajarannya tentang agama, sedangkan fatwa atau tafsiran mereka itu mungkin tersasar dari ajaran agama yang sebenarnya.

Demikianlah juga dengan konsep "wasatiyyah" yang kita bicarakan ini. Sekiranya istilah ini hendak diterjemahkan sebagai "pertengahan" maka kita mungkin memahaminya sebagai sesuatu yang berada di tengah-tengah, sama ada tentang akidah, syariah, akhlak, amal ibadat, perilaku dalam hidup, budaya dan interaksi sesama manusia, hubungan dengan Allah SWT, Rasul-Rasul-Nya, dan seterusnya.

Jika tafsiran ini difahami secara sempit, maka umat Islam mungkin akan menganggap bahawa segala tindakan dan kerjanya hendaklah dilakukan secara pertengahan sahaja, iaitu tidak seharusnya dilakukan secara bersungguh-sungguh, malah ibadatnya pun mungkin dilakukan yang wajib sahaja sepanjang masa dan keadaan, tidak perlu dilakukan keseluruhannya. Usahanya untuk mendapatkan keuntungan dunia dan akhirat juga mungkin difikirkan seharusnya dilakukan sambil lewa sahaja tanpa bersemangat dan bercita-cita untuk dilakukan dengan serius dan bersungguh-sungguh.

Dalam konteks ini, iaitu mengikut pengertian yang disebutkan itu, maka kita akan mengatakan bahawa Islam itu pada keseluruhan nya adalah agama "pertengahan" atau agama yang meletakkan dasar "sederhana" di dalam segala ajarannya, sama ada dalam ibadat , muamalat, cara dan gaya hidup, budaya serta semua tindakan dan perilaku Muslim di dalam semua bidang kehidupannya dalam urusan dunia dan akhirat.

Oleh itu, saya rasa, pengertian secara umum ini tidak dapat sebenarnya mengemukakan kefahaman yang menyeluruh tentang ajaran Islam keseluruhannya dalam konteks takrifan Islam dan umatnya sebagai agama dan umat "pertengahan".

Memang diakui bahawa "wasatiyyah" adalah berasal dari perkataan Arab "wasat" iaitu "tengah" atau "pertengahan" Malah terdapat satu pecahan kalimah "wasat" ini di dalam Hadis Nabi Muhammad SAW yang menyatakan bahawa (Sebaik-baik perkara itu ialah "pertengahan" nya") dan pengertian "pertengahan" ini disebutkan di dalam Hadis tersebut dalam bahasa Arab sebagai "Ausat" yang juga pecahan daripada kalimah "wasat", yang berarti bahawa sebaik-baik sesuatu amalan, perkataan, pekerjaan dan sebagainya itu adalah yang berasaskan kepada konsep pertengahan.

Berdasarkan Hadis ini juga, dan pengertian ayat Al-Quran yang menyebut tentang orang Islam sebagai "Ummatan Wasatan" (Surah Al-Baqarah ayat 143) maka konsep "wasatan" ini sering diterjemahkan sebagai "umat pertengahan"

Kesalah fahaman tentang konsep "pertengahan, kesederhanaan" malah "perseimbangan" yang juga merupakan konsep "wasatiyyah" yang sering digunakan oleh umat Islam ketika memahami konsep "wasatiyyah" ini, banyak mengakibatkan kekeliruan umat Islam sendiri dalam mencapai kemajuan di dalam segala bidang kehidupannya.

Jika kita mengamalkan dasar "kesederhanaan" sahaja dalam menuntut ilmu, mungkin kita hanya akan melakukannya sekadar biasa sahaja tanpa bercita-cita tinggi, maka dengan itu kita akan ketinggalan dari umat yang lain di dalam dunia ini, dan berdasarkan kefahaman inilah mungkin kita telah pun dapat menyaksikan kadar peratusan buta huruf dan kemunduran dalam bidang ilmu di kalangan umat Islam amat tinggi sekarang ini dibandingkan dengan umat dari negara-negara yang maju lainnya.

Kemunduran negara-negara Islam dalam pembangunan ekonominya, berkemungkinan besar kerana umat Islam tidak berusaha bersungguh-sungguh dalam memajukan negara masing-masing di dalam pembangunan ekonominya.

Perangkaan yang dibuat oleh World Bank, 53 peratus dari ahli Persidangan Negara Islam (OIC) adalah termasuk di dalam kategori negara-negara yang berpendapatan rendah, iaitu kira-kira separuh daripada negara-negara dunia yang berpendapatan rendah. Negara-negara OIC yang berpendapatan tinggi pula hanya terdiri daripada sembilan peratus sahaja dari keseluruhan negara anggota OIC.

Bagaimana pun hal ini tentulah tidak dapat dihubungkan dengan kesalah fahaman umat Islam dengan konsep "wasatiyyah" ini sahaja, kerana tentulah terdapat faktor-faktor lain lagi yang menyebabkan kemunduran ini berlaku seperti faktor penjajahan, sumber alam yang tidak dapat diuruskan dengan baik, atau kerana kekurangan tenaga manusia, teknologi dan sebagainya. Namun pada keseluruhannya, hal ini semua berlaku ialah kerana kemunduran yang dialami oleh negara Islam di dalam segala urusan kehidupan mereka, dan kemunduran minda dalam pentadbiran negara dan individu sendiri, dan kita bimbang bahawa kefahaman tentang dasar "wasatiyyah" ini juga telah menyumbang kepada kemunduran pemikiran dan pembentukan sikap yang lemah di kalangan umat Islam.

Oleh itu konsep "wasatiyyah" tidaklah seharusnya ditafsirkan sebagai cara hidup yang membawa umat Islam ke belakang, ke arah kemunduran dan ketinggalan di dalam segala bidang kehidupan mereka dunia dan akhirat, kerana dasar "wasatiyyah" lebih menjurus kepada pembentukan umat Islam yang mempunyai sikap dan tindakan serta amalan yang tidak ekstrem atau condong kepada sikap radikal dan melampaui batas dalam semua keadaan dan bidang kehidupannya.

Oleh itu konsep "umat sederhana" atau "umat pertengahan" haruslah ditafsirkan sebagai umat yang tidak melampaui batasan akhlak dan nilai-nilai tamadun dalam memperjuangkan hak dan kewajipannya. Umat Islam tidak seharusnya dianggap sebagai umat pelampau, radikal dan ekstremis dalam menuntut hak, melakukan amalan agama dan mempertahankan dirinya dari kezaliman dan penindasan

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....