PILIHAN RAYA : KEHAKISAN ETIKA DAN AKHLAK……
Ketika saya menulis catatan ini, para pengundi di kawasan Dun Galas, dan Parlimen Batu Sapi, sedang berkira-kira untuk mengundi esok, 4 November 2010 bagi kedua-dua kawasan pilihan raya yang tersebut.
Para Calon, ketua dan penyokong parti politik yang bertanding untuk merebut kerusi kawasan tersebut pula sedang memalu gendang perang berhabis-habisan untuk mendapat sokongan orang ramai supaya mereka menang, mendapat kuasa dan calon mereka akan mendapat gelaran YB.
Dalam masa berkempen, banyak perkara yang berlaku. Ramai orang yang tidak tidur malam, kecuali hanya beberapa jam sahaja, ramai yang sakit tekak kerana terlalu banyak membuat pidato berapi-api, banyak pula orang yang memungut wang lebih daripada patut dengan mengenakan sewa yang berlipat ganda bagi tempat kediaman bagi orang luar kawasan yang terdesak untuk tinggal di kawasan pilihan raya.
Tetapi hal itu tidaklah amat serius jika dibandingkan dengan ramai pula orang yang rosak akhlak dan moralnya dalam proses berkempen dengan mengecam peribadi orang lain, manabur fitnah dan mengumpat melepaskan dendam kersumat di dalam hati, mengata nista dengan hal-hal yang tidak diyakini akan kebenarannya, dan berbagai-bagai lagi amalan dosa kering yang dilakukannya demi menagih sokongan orang ramai untuk menyokong parti masing-masing.
Demikianlah nampaknya perkara ini berlaku dengan berleluasa setiap kali diadakan pilihan raya, sama ada pilihan raya kecil, apa lagi pilihan raya umum. Demikianlah amalan kita dalam memilih wakil yang akan mewakili rakyat, iaitu mengikut sistem demokrasi berparlimen yang dilaksanakan dalam zaman tamadun dan moden ini.
Sistem pilihan raya ini adalah merupakan amalan demokrasi yang diciptakan Barat dalam membentuk Kerajaan sesebuah negara ialah dengan mengadakan pilihan raya, dan setiap orang rakyat, yang mencapai umurnya sekian tahun, berhak membuang undi, atas dasar satu orang satu undi, tidak kira statusnya.
Inilah sistemnya yang dilaksanakan oleh seluruh dunia dalam mencapai objektif demokrasi atas nama kuasa rakyat. Dan negara kita juga mengamalkannya atas nama negara demokrasi berparlimen
Mungkin tidak terdapat sebarang kelemahan atau kecacatan bagi satu-satu sistem itu, malah sistem pilihan raya merupakan sistem yang terbaik untuk rakyat keseluruhannya mengambil bahagian dalam membentuk Kerajaan mereka.
Sayangnya terdapat orang yang menyalah gunakan sistem pilihan raya ini, iaitu kalau kita melihat kepada sejarah pilihan raya dinegara kita yang dijalankan berdekad-dekad lamanya, maka nampaknya sekarang ini pilihan raya menjadi medan konflik yang melampaui adab dan nilai-nilai moral kerohaniaan serta akhlak yang baik.
Ketika diadakan pilihan raya di negara kita pada peringkat awalnya dulu, tidak banyak sangat kecaman dan kata nista yang dihamburkan oleh ketua atau penyokong parti politik yang bertanding terhadap ketua atau pengikut parti lawan.
Pada masa itu kebanyakan Parti politik akan mengemukakan agendanya dalam memerintah sekiranya mereka diberi kuasa oleh rakyat untuk membentuk Kerajaan.
Tetapi menjelang ke zaman ini, nampaknya pilihan raya telah bertukar menjadi medan fitnah, kecaman peribadi, prejudis dan umpat mengumpat secara terbuka, tanpa terikat kepada adab sopan dan tata susila tradisi bangsa lagi, kerana para penyokong parti-parti yang berkempen nampaknya amat ghairah untuk mendapat simpati dan undi orang ramai dengan apa-apa cara sekali pun..
Ketika Rasulullah SAW wafat, dan para sahabat berusaha mencari penggantinya, maka perlantikan Khalifah Abu Bakar telah dibuat oleh sekumpulan para bijak pandai yang terkemuka pada ketika itu yang dikenali sebagai Ahlul-Hal Wal-'Aqd. Rakyat keseluruhanya tidak terlibat dalam proses perlantikan ini.
Tetapi sistem itu tidak pernah dijalankan pada masa kini, kerana umat Islam tidak menjadikannya satu institusi dalam menegakkan demokrasi untuk membentuk Kerajaan, dan umat yang lemah ini kalau pun mahu mengemukakan sistem itu, tentulah tidak mampu meyakinkan pandangan dunia tentang kebaikannya, dan sebaliknya mungkin umat Islam akan dilihat sebagai umat yang hanya sesuai untuk zaman purba sahaja. Inilah kelemahan kita sekarang.
Maka sistem yang ada sekarang ialah sistem pilihan raya, atau bagi negara yang tidak mengambil sistem ini, maka negara itu berpusat kepada seorang Raja, atau Ketua Negara yang bertanggung jawab membentuk Kerajaannya sendiri.
Mungkin dalam keadaan sekarang, ketika sistem politik dan demokrasi keseluruhannya bergantung sepenuhnya kepada sistem demokrasi ciptaan Barat, maka kita terpaksa mengikut sistem tersebut untuk lahir ke mata dunia sebagai negara demokrasi berparlimen, iaitu dengan mengadakan sistem pilihan raya yang terbuka untuk sesiapa sahaja, dan semua orang boleh mengambil bahagiaan tanpa teerikat dengan sebarang syarat atas nama kebebasan dan hak asasi manusia.
Maka dalam pilihan raya yang berjalan sekarang ini, berlakulah tindakan dan perlakuan yang mencemarkan akhlak dan moral, termasuk akhlak Islam sendiri, yang juga dilakukan oleh orang Islam sendiri ketika berkempen, kerana setiap orang nampaknya terpaksa melakukan tektik yang sama untuk meraih undi.
Bagaimana pun, hal ini sebenarnya terserahlah kepada individu dan kumpulan yang tertentu itu sendiri, sekiranya semua pihak mempunyai etika dan adab dalam berselisih pendapat, dan mahu mematuhinya kerana kita mempunyai adab dan etika sendiri sebagai manusia dan orang Islam. Mungkin banyak sekali orang yang membaca dan memahami "adabul-ikhtilaf" adab berselisih pandangan dari perspektif Islam.
Namun bagi orang-orang yang berkempen , mana mungkin akan diikuti adab-adab ini, sedangkan orang-orang lain tidak mengikutinya, dan orang-orang yang terlalu menjaga adab-adab ini, mereka mungkin akan kalah dalam pilihan raya, sedangkan orang-orang yang tidak beretika itu pula yang akan memenanginya. Oleh itu semuanya haruslah mengikut peraturan permainan ini, malah kalau boleh akan mengikuti tektik yang lebeh "kotor" dan lebeh tidak beretika untuk mendapatkan undi orang ramai.
Alangkah baiknya, kalau dalam proses melaksanakan sistem demokrasi ini, kita semua dapat mematuhi etika dan nilai-nilai moral yang baik, walau pun undang-undang tidak digubal dalam aspek adab dan akhlak ini.
Semua orang yang berkempen haruslah menepuk dada dan tanya selera sendiri terhadap apa-apa yang hendak diperkatakannya. Kalau mengikut arus yang popular dan berpengaruh sekali pun, maka letakkanlah had dan sempadannya, supaya sistem yang baik ini tidak disalah gunakan dengan ketara setiap kali menjelangnya pilihan raya, dan ia tidak akan bertambah dosanya selama mana ia terlibat dalam kempen pilihan raya !
Comments
Post a Comment