HARAP SEMUA IKHLAS

Saya turut dalam kumpulan sarjana/ ketua pertubuhan Islam yang dijemput untuk bertemu dengan PM semalam, Rabu 11 Mei 2011. Saya tidak perlu menjelaskan segala pengucapan teman-teman dalam rombongan itu kepada PM. Saya boleh jelaskan sikit yang saya kemukakan kepada PM dalam ungkapan yang amat ringkas, kerana saya merupakan peserta terakhir yang dapat bersuara ketika masa terlalu pendek untuk PM mendengar semua pandangan.

Saya sebut dua perkara :
1. Kita harus sedar hakikat, dan kalau orang awam tak tahu atau tak sedar, kita perlu menerangkan, media perlu menjelaskan, bahawa peruntukan tentang agama Islam sebagai agama negara di dalam Perlembagaan tidak mungkin dapat dipinda walau pun dengan persetujuan 2/3 ahli Parlimen, iaitu sekiranya tidak mendapat perkenan dari Yang di Pertuan Agong.
2. Kalau itulah hakikatnya kenapakah terdapat orang yang masih menggertak untuk mengubah Perlembagaan tentang agama negara ini? Dan kalau hakikatnya demikian juga, kenapakah orang, dan media, masih mahu membesar-besarkan perkara ini sehingga membangkitkan emosi yang tidak perlu dengan niat yang di andaikan itu?

Hari ini PM bertemu dengan kumpulan yang mewakili agama Kristian. Mereka menafikan mempunyai niat untuk menggangu kedudukan Islam dalam Perlembagaan. Hal ini sama saja seperti yang selalu disebutkan oleh orang Islam, bahawa kita semua menghormati agama-agama yang lain, seperti yang dijamin oleh Perlembagaan.

Oleh itu harap semua pihak berhentilah membicarakan isu yang amat sensitif ini, dan media serta blog haruslah menjaga etika persuratkabaran dan pemberitaan, juga etika penulis ketika menulis tentang hal-hal sensitif ini.

Yang kita harapkan, semua pihak ikhlas dan jujur, semua yang dikeluarkan melalui mulut itu, maka itulah juga yang terbit dari hati. Lidah janganlah bercabang, kata pepatah Melayu, pepat di luar, runcing di dalam, sebut pepatah Melayu yang lain untuk menggambarkan tentang manusia yang bercakap satu perkara, tetapi niat di dalam hati satu perkara yang lain.

Kalau berdolak dalik, dan bercakap tidak benar, artinya orang agama juga telah menjelma menjadi orang politik partisan, yang usahanya hanya untuk mempolitikkan segala sesuatu di sekelilingnya.

Tolong jangan politikkan agama untuk kepentingan politik sempit, dan jangan bersengkongkol dengan parti politik yang sedang mencari undi kaum tertentu atas nama agama. Semua harus ikhlas dan jujur, terutamanya untuk mempertahankan Perlembagaan negara.


Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....